Segala pujian terhadap Allah SWT yang telah menerangi kewujudan ini dengan kelahiran penghulu kita Nabi Muhammad SAW. Allah menjadikan baginda sebagai pembuka dan penutup. Dengan bagindalah Allah menutup salasilah para nabi.
Allah telah membuka kewujudan makhluk. Allah telah menjadikan perutusan baginda sebagai rahmat bagi seluruh alam. Baginda adalah nikmat yang terhebat yang dengan sebab bagindalah segala kenikmatan yang lain wujud dan nyata. Maka wajiblah kita bersyukur kepada Allah atas sebab kurniaan yang agung ini.
Hari Raya Teragung
Pagi kelahiran Rasulullah SAW adalah hari teristimewa berbanding hari-hari lain. Al-Imam Ibnu al-Jazariyy berkata: “Hakikatnya adalah sesungguhnya siang hari kelahiran baginda SAW adalah hari raya buat (agama) Islam”.
Bahkan malam kelahiran Rasulullah SAW adalah malam yang paling istimewa berbanding malam yang lain. Ia sebagaimana dinyatakan oleh al-Imam Ibrohim al-Bajuriyy: “Seafdal-afdal malam secara mutlak adalah malam kelahiran yang mulia disebabkan apa yang telah berlaku berikutan dengan kemunculan baginda SAW pada malam tersebut berupa manfaat yang menyeluruh dan kebaikan yang agung”.
Kelahiran Nabi SAW
Setiap kali tarikh kelahiran Nabi SAW Rabiulawal, para ahli kecintaan akan merayakan detik yang sangat bermakna ini sebagai menyahut seruan Allah SWT yang bermaksud: Ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. (Ibrahim: 5)
Al-Imam Abu Zur’ah pernah ditanya: “Adakah merayakan hari kelahiran Rasulullah SAW disunatkan atau ia adalah perbuatan yang makruh?
Lalu imam menjawab: “Sesungguhnya mengadakan kenduri dan memberi makanan (kepada orang lain) adalah disunatkan dalam semua keadaan. Maka bagaimana pula sekiranya kenduri dan pemberian makanan tersebut turut disertai dengan kegembiraan dan kesukaan hati disebabkan cahaya kenabian pada bulan yang mulia ini?!
Kami tidak mengetahui selain ini daripada (golongan) yang terdahulu. Tidak semestinya disebabkan perayaan ini adalah bidaah untuk terus menjadikannya sebagai perbuatan yang makruh.
Berapa banyak daripada (perbuatan yang) bidaah (tetapi ia adalah bidaah) yang disunatkan bahkan (ada juga bidaah yang) wajib”.
Al-Imam Hakim al-Naysaburiyy ada meriwayatkan satu hadis yang menurut beliau sanad hadis tersebut adalah sahih:
Daripada Umar bin al-Khattab (semoga) Allah meredai beliau, beliau telah berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Tatkala (Nabi) Adam telah melakukan kesilapan, baginda telah bersabda: Wahai Tuhanku. Daku memohon daripadaMu dengan hak (kemuliaan Nabi) Muhammad (dan janganlah Dikau mentakdirkan buatku) melainkan (hanya) Dikau telah mengampunkan buatku.
Lalu Allah berfirman: Wahai Adam. Bagaimana anda telah mengetahui (tentang) Muhammad sedangkan Aku tidak menciptakan baginda (lagi)? Baginda telah bersabda: Wahai tuhanku. (Daku mengenali Nabi Muhammad) kerana Dikau tatkala menciptakanku dengan tangan (iaitu kekuasaan)Mu dan (tatkala) Dikau telah meniupkan ke dalam (jasad)ku daripada roh (ciptaan)Mu, daku telah mengangkat kepalaku. Lalu daku telah melihat di atas kaki-kaki (bagi) Arasy tertulis: Tiada Tuhan melainkan Allah. Muhammad adalah rasul Allah. Maka daku telah mengetahui bahawa sesungguhnya Dikau tidak akan menyandarkan (sesuatu) kepada namaMu melainkan (dia adalah) makhluk yang paling Dikau cintai.
Maka Allah berfirman: Anda telah benar wahai Adam. Sesungguhnya baginda adalah makhluk yang paling Aku cintai. Serulah Aku dengan hak (kemuliaan) baginda. Maka nescaya Aku benar-benar akan mengampunkan buatmu. Kalaulah tidak kerana Muhammad, nescaya Aku tidak menciptakanmu”.
Mencintai Rasulullah SAW adalah termasuk seafdal-afdal ibadat yang mendekatkan seseorang dengan Allah.
Mencintai bererti tidak menyakiti yang dicintai. Maka semestinya berbicara dengan sesuatu yang buruk pada hak ayahanda dan bonda Rasulullah SAW akan menyakiti baginda.
Ahli sunnah berkeyakinan bahawa Allah SWT dengan limpahan rahmat-Nya tidak akan mengazab seseorang yang tidak sempat hidup pada zaman kerasulan.
Ini bermakna Allah tidak akan mengazab ayah dan bonda baginda. Bahkan firman Allah menunjukkan ayahand dan bonda Nabi SAW adalah orang yang sujud kepada Allah SWT. (rujuk al-Syua’ara: 219)
Menurut Saidina Abdullah bin Abbas; maksud ayat ini adalah Allah melihat perpindahan Nabi SAW dalam tulang-tulang sulbi para moyang iaitu Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim sehinggalah Allah mengeluarkan Nabi ke alam dunia sebagai seorang nabi.
Cuma ada dua hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang zahirnya seakan-akan menunjukkan ibu bapa SAW akan diazab oleh Allah:
Daripada Abu Hurayrah, beliau telah berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Daku telah meminta keizinan daripada tuhanku untuk daku memohon keampunan buat bondaku lalu Dia tidak mengizinkanku. Daku telah meminta keizinan-Nya untuk daku menziarahi kubur beliau lalu Dia telah mengizinkanku”.
Daripada Anas bahawa seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah. Di manakah ayahku? Baginda telah bersabda: “Di dalam neraka”. Maka apabila lelaki tersebut telah berpaling (untuk meninggalkan majlis), baginda telah memanggil beliau lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka”.
Sebenarnya hadis yang pertama tidak langsung menyatakan ibunda Nabi SAW di dalam neraka. Apabila Allah tidak izin Nabi SAW memohon keampunan buat ibunda baginda ini tidak bererti ibunda Nabi SAW adalah seorang wanita musyrikah.
Kalaulah ibunda baginda seorang musyrikah, nescaya baginda tidak akan diizin menziarahi pusara beliau kerana menziarahi kubur orang musyrik tidak dibolehkan.
Maksud ‘Ayahku’ dalam hadis yang kedua pula adalah bapa saudara baginda iaitu Abu Talib. Beliau meninggal dunia setelah Nabi SAW menyampaikan seruan Islam dalam keadaan tidak mengisytiharkan pengislaman dirinya. Orang Arab biasa memanggil bapa saudara dengan panggilan ‘bapa’.
Al-Qodhi Abu Bakr Ibnu al-Arabiyy pernah ditanya berkenaan orang menyatakan bahawa ayah dan bonda Nabi SAW di dalam neraka.
Lalu beliau menjawab, orang itu adalah orang yang dilaknat kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah telah melaknat mereka di dunia dan di akhirat dan Allah telah menyediakan untuk mereka azab yang menghinakan. (al-Ahzab: 57)
Al-Qodhi Abu Bakr Ibnu al-Arabiyy berkata: “Tidak ada kesakitan yang lebih besar daripada mengatakan tentang kedua ayah bonda baginda bahawa kedua-duanya di dalam neraka”.
- PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










