Kampung Acheh tumpuan ulama hebat - Utusan Malaysia

Kampung Acheh tumpuan ulama hebat

PAPAN tanda Kampung Acheh yang dibuka oleh ulama, Teungku Muhammad Arsyad. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SALAH sebuah kampung di kaki Gunung Jerai, Yan, Kedah yang terlibat dalam bencana kepala air pada 18 Ogos lalu ialah Kampung Acheh.

Sebahagian daripada kira-kira 200 penduduk di kampung tersebut terjejas dalam ‘Tsunami Jerai’ itu apabila rumah mereka dimasuki air bersama lumpur sehingga merosakkan harta benda.

Selepas bencana kepala air di Gunung Jerai itu meletus, ramai sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara datang menghulurkan sumbangan dan bergotong-royong membersihkan rumah penduduk terlibat.

Antara kampung lain yang turut terlibat dalam bencana terburuk di Yan ialah Kampung Perigi, Kampung Teroi Bukit, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar dan Kampung Setol.

Bagaimanapun, kebanyakan sukarelawan dan orang ramai yang datang ke kampung itu tidak mengetahui sejarah kewujudannya yang mempunyai nama seperti sebuah daerah di hujung utara pulau Sumatera, Indonesia.

Mengikut sejarah, Kampung Acheh itu dibentuk oleh pendatang dari daerah Aceh, Indonesia yang berhijrah pada akhir abad ke-19 atau sekitar 1870-an.

Seorang penduduk asal di Kampung Acheh, Abdul Malik Taib, 83, memberitahu, kampung tersebut dibuka oleh seorang ulama yang berasal dari Ie Leubeu Pidie, Aceh iaitu Teungku Muhammad Arsyad.

Menurutnya, Teungku Muhammad Arsyad bersama sejumlah pengikutnya berhijrah ke Kampung Acheh selepas daerah asalnya di Aceh berhadapan ancaman tentera Belanda yang melancarkan peperangan ke atas Kerajaan Aceh pada 1873.

 

ABDUL Malik Taib menunjukkan salah sebuah buku mengenai sejarah berkaitan dengan Acheh yang masih dalam simpanannya di Kampung Acheh, Yan, Kedah.

“Peperangan di Aceh berlarutan dalam tempoh lama sehingga ramai tokoh ulama mati syahid. Teungku Muhammad Arsyad kemudian bermusyawarah dan memutuskan untuk berhijrah ke Semenanjung Malaysia,” katanya ketika di rumahnya di Kampung Acheh, Yan baru-baru ini.

Gelaran Teungku di Aceh diberi kepada seseorang yang mempunyai pengetahuan agama Islam yang sangat mendalam.

Kebiasaannya gelaran ini diberi kepada seorang ulama yang menghafal surah-surah al-Quran. Ini seperti penghormatan kepada seorang bijak pandai dalam agama.

Abdul Malik yang merupakan generasi keempat masyarakat Aceh di kampung itu dan bekas tentera berpangkat Prebet Kanan di Military British Training Centre di Singapura berkata, ulama-ulama lain yang turut datang ke Kampung Acheh antaranya Teungku Shik Lam U, Teungku Lam Suro dan Teungku Shik Lam Bhuk.

“Ulama-ulama tersebut bersama-sama membangunkan Kampung Acheh termasuk membina sebuah madrasah yang diberi nama Menasah Al-Irsyadi dan sebuah sekolah agama At-Tarbiah Auladiniah Ad-Diniah yang sekarang dikenali Maktab Mahmud, Yan.

“Madrasah tersebut yang beberapa kali diubahsuai kini masih kekal di Kampung Acheh,” ujarnya.

Madrasah yang diberi nama ‘Menasah Al-Irsyadi’ ini pada awalnya dibina oleh Teungku Muhammad Arsyad.

Bagaimanapun, tambahnya, Teungku Muhammad Arsyad selepas itu pulang ke Aceh sebelum meninggal di Ie Leubee Pidie.

Jelasnya, tokoh ulama terkenal itu juga mewakafkan semua harta miliknya untuk masyarakat Kampung Acheh, Yan sebelum meninggal dunia.

“Kampung Acheh dalam tempoh tersebut menjadi seperti sebuah perkampungan ulama-ulama hebat,” katanya yang banyak mengumpul buku-buku berkaitan dengan sejarah Acheh, Yan dan Aceh di Indonesia.

Dalam pada itu, Abdul Malik berkata, Teungku Shik Lam U juga meninggalkan beberapa orang anak yang hebat dalam bidang agama iaitu Teungku Indra Puri, Teungku Mohd. Dahan dan Teungku Aneuk Batee.

Seorang penduduk di Kampung Setol, Shahidi Abdullah, 65, yang juga generasi keempat masyarakat Aceh di Yan berkata, dia sempat belajar agama termasuk mengaji al-Quran di rumah Teungku Mohd. Dahan di Kampung Acheh ketika berusia tujuh tahun.

Menurutnya, Teungku Mohd. Dahan adalah seorang tokoh agama yang hebat dan menyayangi kanak-kanak.

“Saya dan beberapa rakan belajar mengaji al-Quran dengan Teungku Mohd. Dahan selepas pulang dari sekolah.

“Tengku Mohd. Dahan juga baik dan suka mengosak kepala kanak-kanak.

“Malah rumah peninggalan Teungku Mohd. Dahan juga masih ada di Kampung Acheh tetapi ditinggalkan terbiar,” katanya yang masih fasih berbahasa Aceh.

SHAHIDI Abdullah membersih kubur Teungku Mohd. Dahan di sebuah tanah perkuburan Islam di Kampung Setol Acheh, Yan, Kedah

Malah, Shahidi memberitahu, dia sempat melihat jenazah Teungku Mohd. Dahan dikebumikan di Kampung Setol Acheh, Yan yang meninggal dunia pada 1975.

Tambahnya, kubur Teungku Mohd. Dahan juga dikebumikan bersebelahan dengan kubur Teungku Shik Lam U, Teungku Indra Puri dan Teungku Aneuk Batee.

Selain itu, jelasnya, beberapa kubur lama yang lengkap dengan batu nisan juga terdapat di sebuah tanah perkuburan lama orang Aceh di Kampung Acheh.

Pengurus Pengurus Kem Kampung Acheh Management Centre (KAMC), Jazni Ghani pula memberitahu, pihaknya masih menyimpan dua mushaf al-Quran tulisan tangan dipercayai berusia 600 tahun milik ulama dari Aceh yang berhijrah di Kampung Acheh.

Katanya, kedua-dua al-Quran tulisan tangan itu kini disimpan di Galeri Aceh yang terletak dalam KAMC.

“Difahamkan beberapa naskhah al-Quran tulisan tangan lagi telah dijual oleh penduduk Kampung Acheh kepada pihak-pihak tertentu sebelum ini,” katanya.

SENASKAH al-Quran tulisan tangan yang berusia 600 tahun yang disimpan di Galeri Aceh yang terletak dalam Kem Kampung Acheh Management Centre (KAMC), Kampung Aceh, Yan, Kedah

Jazni berkata, beliau bersyukur kerana kedua-dua al-Quran yang diletakkan dalam Galeri Aceh itu terselamat dalam bencana kepala air walaupun hampir 50 peratus infrastruktur di KAMC mengalami kerosakan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.