Ibu tiri dilayan seperti orang gaji - Utusan Malaysia

Ibu tiri dilayan seperti orang gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cabaran terbesar seorang wanita yang berkahwin dengan seorang duda adalah untuk membina hubungan baik dan sihat dengan anak-anak tiri.

Proses tersebut bukan sehari dua, sebaliknya memakan masa dan agak sukar terutama apabila anak-anak tiri sudah berusia remaja dan dewasa. Pendekatan menawan hati mereka tidak sama dengan cara memujuk anak kecil.

Minggu ini saya kongsikan pengalaman dilalui oleh Zarina (bukan nama sebenar), ibu tiri kepada empat orang anak daripada perkahwinan pertama suaminya, Hisham (bukan nama sebenar).

Dalam pertemuan dengan saya baru-baru ini, Zarina berkongsi cerita tentang kehidupannya sepanjang 10 tahun menjadi ibu kepada anak-anak tiri yang ketika itu berusia 10 tahun hingga 24 tahun.

Sebagai ahli baharu dalam keluarga tersebut, tentu banyak menuntut kesabaran kepada wanita berusia penghujung 30-an itu.

Akui Zarina, menjadi ibu tiri bukanlah perkara yang mudah. Di sebalik dia menerima bapa mereka sebagai suami, dia juga harus menerima anak-anak suami sebagai sebahagian daripada hidupnya.

Tahun pertama menjadi ibu tiri, Zarina juga tertekan. Dia diperlakukan seperti orang gaji oleh anak-anak tiri. Dirinya seolah-olah tidak wujud di rumah suami sendiri.

Bukan sahaja tidak dihargai jauh sekali mahu dihormati, tetapi Zarina tetap positifkan diri.

Zarina tahu mereka juga tertekan dengan kehadiran orang lain bagi menggantikan ibu kandung sendiri. Ditambah punca penceraian disebabkan ibu kandung mereka melarikan diri dengan lelaki lain.

Bagaimanapun, Zarina mempunyai harapan yang tinggi dalam hubungan dengan kesemua anak-anak tirinya itu. Zarina sentiasa berdoa dan berharap hubungan mereka berakhir dengan kebahagiaan.

Sepanjang tempoh berumah tangga, Zarina tetap berusaha membina ikatan yang baik dengan anak-anak tirinya.

Justeru, Zarina sentiasa memberi masa dan ruang kepada anak-anak tirinya menyesuaikan diri lantas menerimanya sebagai sebahagian daripada keluarga mereka sendiri.

Ketika itu, dia lebih mudah mendekati Amin (bukan nama sebenar) anak bongsu suaminya berbanding menyantuni ketiga-tiga anak tirinya yang lain.

Mungkin faktor umur Amin yang baru 10 tahun lebih mudah untuk menerima kehadiran Zarina. Berbeza dengan Arman (bukan nama sebenar) 24 tahun, Salwa (bukan nama sebenar) 22 tahun dan Amirul (bukan nama sebenar), 17 tahun yang sudah remaja. Jiwa remaja memungkinkan mereka sukar untuk menerima ‘ibu baru’ dalam hidup mereka.

Hari berganti tahun. Masa terus berlalu. Zarina terus menjalankan tanggungjawab sebagai isteri kepada Hisham dan ibu kepada anak-anak tirinya namun hubungan mereka masih tidak seperti yang Zarina harapkan.

Bukan sekadar berusaha menjadi ibu terbaik untuk mereka, malah pengorbanan paling besar dilakukan Zarina adalah memilih untuk berhenti kerja selepas setahun berumahtangga demi menumpukan perhatian kepada keluarga.

Walaupun masih menerima layanan buruk daripada anak-anak tirinya, terutama Arman dan Salwa, Zarina tetap bersabar. Dia sentiasa ingat dan berbalik kepada niat asalnya berkahwin
dengan Hisham hanya kerana Allah SWT. Bagi Zarina jodoh yang ditentukan Allah untuk dirinya ini adalah yang terbaik waima terpaksa berdepan dengan cabaran ekoran sikap anak-anak tirinya.

Kesediaan Zarina menguruskan majlis perkahwinan Arman dan Salwa pada penghujung 2017, termasuk mengeluarkan sebahagian wang simpanannya juga menjadi bukti kasih sayang kepada anak-anak tiri.

Sayangnya, Arman dan Salwa masih tidak nampak kebaikannya. Sebaliknya tetap menganggap Zarina mengahwini bapa mereka kerana harta dan wang ringgit.

HASUTAN

Rupa-rupanya, di sebalik semua sikap dan layanan buruk Arman dan Salwa terhadap Zarina ada campur tangan dan hasutan daripada ibu kandung mereka.

Termakan hasutan bahawa perceraian kedua ibu bapa mereka disebabkan kemunculan Zarina dalam hidup bapanya, Amin dan Salwa berterusan tidak menerima kehadiran ibu tiri dalam keluarga tersebut.

Arman dan Salwa bukan sahaja melemparkan tuduhan tidak benar tetapi turut mengugut Zarina agar bercerai dengan bapa mereka. Malah Zarina turut menerima panggilan daripada ibu kandung mereka mengugut agar berbuat perkara yang sama.

Bagi mendapatkan kepastian, Zarina meminta penjelasan daripada Hisham sendiri. Zarina lega kerana dia bukan punca penceraian Hisham dengan bekas isterinya.

Sebaliknya cerita itu hanya diada-adakan bagi membolehkan ibu kandung anak-anak tirinya kembali semula kepada bapa mereka.

Menyambung cerita, Zarina berkata, Hisham adalah lelaki pertama dan terakhir yang dicintai. Mana mungkin dia mahu meninggalkan lelaki itu hanya kerana ugutan dan layanan buruk daripada anak-anak tirinya.

Mengimbas detik pertemuan dengan Hisham, mereka bertemu ketika sama-sama menghadiri seminar di Pulau Pinang awal Januari 2011. Zarina mengakui, kejujuran Hisham yang berterus terang tentang status diri membuatkan Zarina jatuh hati kepadanya.

Zarina tidak pernah menyesal mengahwini Hisham yang kini berusia 62 tahun itu. Baginya Hisham seorang lelaki yang baik dan jika benar lelaki itu sendiri sudah tidak mahu kepada dilepaskan.

Kedudukan ibu tiri menurut Islam sama dengan ibu kandung. Malah dalam Islam hubungan ibu diri dengan anak tiri adalah mahram.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji dan dibenci (oleh Allah) serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan). (al-Nisa’: 22)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya