Mukadimah
Vaksinasi Covid-19 sudah umpama parti politik, memisahkan masyarakat kepada dua kelompok. Ada yang bersetuju dan sukarela mengambil suntikan, sementara segelintir pula menolak sekeras-kerasnya. Maka, umpama penyokong satu-satu parti, wujudlah jurang pemisah antara satu dengan lain.
Sebagai manusia yang mempunyai hak membuat pilihan, semestinya ramai pihak prihatin terhadap nasib yang bakal menimpa kumpulan enggan divaksin ini. Ini kerana, segala pergerakan dan aktiviti mereka akan disekat, seolah-olah terpenjara dalam kebebasan. Merumitkan lagi keadaan, mereka ini pula terdiri dalam kalangan profesional, maka susahlah mahu keluar bekerja mencari rezeki.
Perlukah mereka ini dikenakan sekatan demi sekatan? Apakah ini satu bentuk diskriminasi, dan tidakkah ini akan mewujudkan jurang pemisah antara masyarakat, malah mencetuskan prasangka antara kumpulan ini dengan kerajaan?
Bagi mendapatkan perspektif, wartawan Mingguan Malaysia, FAHMI FAIZ menemu bual Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar.
MINGGUAN MALAYSIA: Apakah itu PPPKAM, bila dan mengapa ia ditubuhkan?
ZAINAL ARIFFIN: Persatuan ini adalah satu persatuan profesional, yang mana ahlinya terdiri dari pakar-pakar kesihatan awam, yang diwartakan di Malaysia. Syaratnya, ahli kami ini mestilah diwartakan sebagai pakar perubatan kesihatan awam. Ahli kita kira-kira 800 orang, kebanyakan berkhidmat di kementerian, hospital dan pejabat-pejabat kesihatan, malah dalam tentera pun ada ahli kita. Ia ditubuhkan sekitar 1990-an, jadi kita dah lama bertapak dan matlamatnya untuk memberi sumbangan kepada kerajaan dalam bentuk pandangan.
Sumber kewangan persatuan?
Melalui yuran ahli, kemudian kita buat seminar, jadi itu kita punya sumber dana utama, malah kita juga ada terbitkan jurnal, dan ada bayaran untuk mendapatkannya. Kita tiada terima sebarang geran atau dana korporat.
KONTROVERSI VAKSIN
Apa pendirian PPPKAM berhubung program vaksinasi Covid-19?
Pendirian kita, walaupun banyak pendapat, tapi pada kita adalah konsensus. Maknanya pendapat sebahagian besar daripada ahli, bukan saja di dalam malah di luar negara. Juga, melalui pandangan agensi seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), CDC Amerika dan lain-lain autoritatif.
Jadi pendirian kita dalam soal ini ialah, vaksin Covid-19 ini mustahak dan perlu, malah adalah salah satu senjata kita untuk melawan Covid-19 yang berkesan untuk sekumpulan orang. Jadi untuk yang berumur 12 tahun ke atas, maknanya memang sangat perlu dan berkesan.
Apa komen terhadap dakwaan bahawa vaksin Covid-19 dari Barat khususnya adalah berbahaya?
Pada kita mudah, pendapat ada macam-macam, ada yang ekstrem ke kiri, ada ke kanan dan ada yang bersifat tengah-tengah. Jadi, vaksin ini ada tiga teknologi, iaitu messenger ribonucleic acid (mRNA), kemudian vector carrier dan virus yang dilemahkan. Sebenarnya tiada satu jaminan seratus peratus berkesan dan selamat.
Sama saja ketiga-tiga jenis ini. Tapi mengikut konsensus dan pengalaman kita, vaksin yang mempunyai specificity dan sensitivity 90 peratus ke atas itu, sudah bagus. Jadi pada kita walaupun ada kesan sampingan, namun jika ia mampu diurus dan tidak membahayakan kepada populasi umum, itu yang penting. Posisi kita adalah ia selamat, berkesan dan boleh digunakan untuk semua vaksin yang telah diluluskan.
Ada mendakwa, isi kandungan vaksin mengandungi unsur haram?
Pada kita, yang penting berkesan, selamat dan halal. Ini sebenarnya isu yang sangat teknikal dan ada banyak kategori. Jadi yang paling mudah, kita ikut fatwa. Kedua, di peringkat antarabangsa pun ada konsensus para ulama seluruh dunia. Jadi kalau majoriti konsensus mengatakan bahawa ia halal, jadi insya-Allah kita yakin bahawa vaksin adalah bahan yang halal, walaupun orang cakap macam-macam.
Macam mana dengan pandangan yang mendakwa kandungan mRNA dalam vaksin khususnya dari Barat, masih tidak diketahui kesan jangka panjangnya?
Kesan jangka panjang memanglah kita masih belum pasti, sebab kebanyakan vaksin Covid-19 ini baru digunakan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Jadi kalau kita mahu tengok kesan 10 tahun, itu kita tak berapa nampak lagi. Tapi dari segi teorinya, akan ada. Covid ada kesan pasca covid, iaitu penyakit long covid.
Jadi mungkin ada sebahagian orang yang mendapat vaksin itu, ada kesan sampingan masa panjang. Sakit-sakit, lemah badan dan sebagainya, ada tapi peratusannya kita kena tengok, rendah atau tidak. Jadi, kita kena timbangkan faedah masa sekarang ataupun andaian masa hadapan. Jadi pada masa sekarang, yang paling penting adalah untuk mengawal Covid-19.
AGENDA PENGELUAR VAKSIN
Apa reaksi terhadap dakwaan, kononnya agenda pengeluar vaksin adalah untuk mengaut seberapa banyak keuntungan yang boleh, malah melobi kerajaan-kerajaan seluruh dunia untuk mendapat kontrak membekalkan jenama mereka?
Kalau kita tengok dari segi pemikiran biasa, malah kalau kita tengok data-data pun memanglah, sebab ada beberapa syarikat sahaja yang mengeluarkan vaksin ini. Sangat terhad, itu satu. Kemudian, harganya pula agak mahal kalau dibandingkan dengan vaksin untuk sakit lain. Ketiga, jumlah pengeluarannya besar, berbilion dollar. Kita tahu juga, bahawa keuntungan memang agak besar. Jadi agenda perniagaan itu, kita tahu dan kita tak boleh nafikan, kalau orang kata ada agenda, memang ada sebab itu mereka punya perniagaan. Jadi pihak kerajaan kita, malah WHO juga berunding dengan pengeluar. Rundingan ini penting kerana perkara itu yang perlukan kuasa solidariti dunia secara global.
Solidariti macam mana?
Maknanya, bercakap dengan syarikat-syarikat farmaseutikal besar ini supaya jangan buat untung lebih. Untung mestilah untung, sebab berniaga, dan kalau nak cakap agenda, memang agenda lah sebab ini perniagaan.
IVERMECTIN
Sejauh mana keberkesanan Ivermectin kerana banyak video ditularkan menunjukkan beberapa negara beri Ivermectin dalam kit rawatan Covid-19 kepada rakyatnya? Adakah ini tanda aras, ia berkesan?
Ivermectin ini membahagikan kita kepada dua golongan yang besar. Satu yang yakin Ivermectin itu boleh digunakan, dan satu lagi yang tak yakin ia boleh digunakan.
PPPKAM pula golongan yang mana, yakin atau tidak dengan ivermectin?
Kami pun malah saya sendiri banyak menghadiri forum dan sebagainya. Pada kita dalam perubatan ini, kita gunakan evidence based medicine. Dalam itu ada yang disebut sebagai ujian klinikal. Kemudian, yang tertinggi sekali kita panggil sebagai analisis meta, iaitu kumpulan ujian klinikal yang beribu-ribu dikumpulkan. Jadi ada tiga atau empat analisis meta yang kita tengok, diguna pakai sekarang. Pada masa ini, walaupun dalam kajian kecil penggunaan Ivermectin, menunjukkan ada penurunan dan boleh digunakan dengan 10, 20 peratus kesan, tapi untuk digunakan bagi seluruh populasi, kita rasa tidak patut.
Kenapa?
Ini kerana kesan sampingan mungkin lebih besar, dan kita pun tidak pasti kalau ia benar-benar berkesan. Jadi posisi kita adalah ikut konsensus evidence based medicine. Yang penting buat masa ini kita tidak gunakan untuk seluruh populasi, dan kita sedang tunggu dua kajian yang besar tentang keberkesanannya, satu dari Universiti Oxford dan satu lagi adalah Cochraine Review.
Adakah analisis meta juga dibuat ke atas vaksin Covid-19 yang menggunakan teknologi mRNA, sedangkan ia masih baru?
Ini banyak orang tanya. Kita ada satu yang dipanggil ujian klinikal, kemudian ada yang dipanggil ujian komuniti. Jadi di dalam ini kita ada dua kaedah, pertama dikenali sebagai kegunaan kecemasan, dan kedua adalah surveillance. Maknanya kita melihat kesan sampingan. Ini juga ibarat ujian lapangan. Ketiga, kita kena lihat kepada kesan. Kalau vaksin itu, kita dah tahu, 90 peratus kesan positif. Kita tahu pada masa sekarang, penyakit Covid-19 sangat bahaya, maka dengan keberkesanan vaksin sebanyak 90 hingga 95 peratus, maka kita boleh gunakan.
KEMATIAN SEBAB VAKSIN?
Komen terhadap laporan dan dakwaan vaksin Covid-19 mengakibatkan kematian?
Dari mula dulu, apabila vaksin AstraZaneca di United Kingdom, kemudian di Amerika, malah termasuk di negara kita, ada yang mengatakan bahawa ada kes-kes kematian. Tapi bila kita lihat kajian kes-kes tersebut, terutama di Eropah, ini bergantung kepada penyakit seperti sakit jantung dan kardiovaskular. Jadi benda ini kalau dikatakan akibat kesan langsung vaksin, itu tak berapa tepat. Macam di Malaysia lah, diberi vaksin, kemudian mati sakit jantung. Kita mahu katakan itu disebabkan vaksin pun, tak dapat disahkan secara sahih. Tapi apa yang penting ialah pemantauan, namun tak dapat dinafikan kemungkinan ada kes-kes yang menyebabkan kematian. Tapi sehingga hari ini, tidak ada satu pun laporan yang sah mengatakan bahawa, kes yang telah dibuat post-mortem dan sebagainya, adalah kes yang diakibatkan oleh vaksin.
PPPKAM ada terima sebarang laporan kematian akibat vaksin?
Secara keseluruhan, kita tiada terima yang sahih, cuma ada terima satu, dua laporan daripada orang yang cakap, ini kematian yang disebabkan oleh vaksin. Tapi biasanya kita akan semak dengan Kementerian Kesihatan, kita mohon rakan kita di sana untuk buat siasatan dan laporan, maka disahkan itu bukan disebabkan vaksin.
Maksudnya, vaksin tidak mendorong kematian?
Ada dua perkara, pertama ada risiko, maknanya kita tak boleh cakap 100 peratus tak akan mati, itu tak bolehlah bukan? Ada kemungkinan kematian, memang ada, tapi untuk kata penyebab utama itu atau peratusan tinggi itu, sehingga kita takut ataupun tak boleh bagi vaksin, tidak. Risiko tetap ada, tapi terlalu kecil.
Tapi mungkinkah vaksin memang tak mengakibatkan kematian, tapi reaksi tubuh terhadap vaksin yang jadi pencetus kematian?
Ya, sebenarnya itu yang banyak dikatakan. Pertama, kalau orang itu ada alahan teruk, atau ada penyakit auto imun, maknanya antibodi mereka ada masalah, ketiga penyakit-penyakit kronik yang teruk misalnya sakit jantung. Ini kerana sistem vaksin ini akan mewujudkan sistem pertahanan badan, itu reaksinya. Tapi setakat ini, kesan langsung yang mendorong kematian itu, risiko sangat kecil. Tapi ia akan mencetuskan masalah bagi mereka yang memang ada penyakit kronik, seperti jantung, yang makan ubat cair darah, kalau kena vaksin memang akan bermasalah. Jadi ini yang kena dipantau dan berhati-hati.
ENGGAN TERIMA VAKSIN
Mengapa ada pihak enggan disuntik vaksin? Apa faktor mereka menolak?
Sebenarnya, kita tak nafikan baik golongan yang tak berapa tahu, ataupun golongan yang terlebih tahu, kami ada berbahas dengan kumpulan-kumpulan ini. Ada mengatakan vaksin ini akan mencetuskan penyakit, vaksin ini boleh jadi zombie, vaksin menyebabkan DNA kita berubah dan sebagainya, tapi ini teori sedangkan dari segi praktikalnya, tidak begitu. Malah ada juga berdasarkan kepada teori konspirasi, dajjal, Yahudi, ini kumpulan yang lain pula, yang ekstrem. Kemudian ada pula kumpulan yang marah dengan kerajaan, apa saja kerajaan buat, salah. Jadi pada kami, golongan anti-vaksin ini, satu terdiri dari kumpulan yang tegar, cakap apa pun sampai kiamat dia tak mahu ambil. Kedua, kumpulan yang ragu-ragu, tapi hujungnya tetap ambil. Kemudian, golongan yang melawan-lawan ini, bila kena paksa sikit, mereka ambil.
Wajarkah rakyat dipaksa ambil vaksin, sedangkan sebagai manusia masing-masing ada hak asasi?
Sebelum kita pergi ke soalan itu, sekarang ini ada dua isu. Pertama isu mandatori, kedua isu ada cadangan doktor-doktor, kalau individu yang tak vaksin itu sakit, suruh dia bayar rawatan. Ini seolah-olah mahu hukum individu yang tak vaksin. Tapi pada kita, kita ada etika perubatan. Maksudnya perubatan ini bersifat universal, semua orang harus dapat akses. Kedua, kena ada informed choice, kita bagi maklumat. Ketiga, yang kita panggil kebebasan memilih. Jadi kita yakin, etika perubatan kita masih sama dengan yang lain. Kita memberi kebebasan, maknanya kalau mahu ambil vaksin atau tidak, itu hak masing-masing. Tapi pada masa sama, pandemik teruk dan beban hospital tinggi, maka kemaslahatan komuniti itu lebih utama berbanding individu.
Tapi bukankah kita sudah capai imuniti kelompok 90 peratus divaksin, jadi apa masalahnya kalau 10 peratus yang tak divaksin itu diberi kebebasan hidup seperti orang lain?
Baki 10 peratus ini, kalau kena Covid-19 mereka akan membebankan sistem kesihatan kita. Kerana kalau kena masuk unit rawatan rapi (ICU) sebab Covid-19 misalnya, orang yang mahu dapatkan rawatan lain dah tak boleh masuk, ini yang doktor hospital marah. Sebab kamu tak ambil vaksin, kena Covid maka ICU penuh semula. Orang diabetes kena potong kaki, tak boleh sebab ICU dah penuh contohnya.
MAJIKAN, PEKERJA
Macam mana pula sikap sesetengah majikan wajibkan pekerja disuntik vaksin? Adakah ini diskriminasi?
Kita tahu, beban kepada majikan sekiranya berlaku kes Covid-19, produktiviti syarikat atau organisasi akan berkurangan, perkhidmatan terganggu dan ini akan memberi beban kepada syarikat sekiranya kakitangan mereka tiada vaksin. Contohnya satu-satu restoran itu, kalau kita tahu pekerja mereka tiada vaksin, pelanggan pun tak mahu pergi restoran itu, jadi mereka yang akan rugi. Jadi itu adalah hak organisasi, dan pekerja mesti patuh kepada organisasi selagi ia tak melanggar peraturan negara.
TERPENJARA DALAM BEBAS
Memandangkan golongan yang tak divaksin ini disekat segala aktiviti, jadi apakah bermaksud mereka ini ibarat terpenjara dalam kebebasan?
Itu betul. Pada masa ini kita nampak kes Covid-19 masih tinggi, kita ada 7,000 lebih kes semalam (13 Oktober). Kemudian kita ada beberapa varian baru seperti Delta dan sebagainya. Jadi apa yang penting, orang yang tiada vaksin ini, mereka kena faham. Kerajaan sudah memberikan vaksin secara percuma, kemudian bermacam-macam kempen penerangan sudah dibuat, malah sudah berpuluh juta rakyat Malaysia ambil vaksin, tiada pula orang mati kena vaksin, atau sakit teruk sebab vaksin. Jadi kita tak nampak, apa sebab mereka tak ambil? Jadi bila kamu dah tiada alasan kenapa tak mahu ambil, maka kamu kena terimalah hakikat pada masa ini, kamu akan hadapi sekatan-sekatan.
Betullah kalau sebut mereka ini seperti memenjarakan diri sendiri?
Betullah, terpenjara itu maknanya pilihan sendiri. Kamu pilih mahu dipenjara. Contohnya, orang yang suka bawa kereta laju, setahun ada 10 saman. Jadi dia kena terima hakikat, kalau dia tak mahu kena saman, dia kena bawa perlahan. Itu saja.
PILIHAN RAYA KECIL MELAKA
Wajarkah dibuat pilihan raya kecil (PRK) di Melaka, sebab negara sudah capai 90 peratus imuniti kelompok?
Ini soalan paling popular minggu ini. Berdasarkan kepada analisis semasa dan pengalaman lepas semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Waktu itu, kita ada bukti mengatakan berlaku kes selepas PRN Sabah, itu yang pertama kita kena akui. Kedua, keadaan kes sekarang berkurangan, dan kadar vaksin telah tinggi. Tapi kemungkinan untuk berlakunya kluster-kluster itu masih ada, sebab sekarang ada varian baru. Jadi pada pendapat kami, PRK ini kalau boleh elaklah.
Sebab risiko itu ada. Kedua, kalau terpaksa juga, dah tiada cara lain kena juga buat pilihan raya, maknanya kena gunakan pengalaman lepas, gunakan SOP lengkap. Misalnya kurangkan kempen secara fizikal dan perhimpunan awam, hadkan pergerakan, jadi ini mungkin menurunkan risiko.










