Harga besi diramal terus naik - Utusan Malaysia

Harga besi diramal terus naik

Kontraktor merayu kerajaan melakukan sesuatu mengawal harga bahan binaan terutama besi yang didakwa melonjak 100 peratus. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Golongan kontraktor di seluruh negara mengeluh dan terus berisiko gulung tikar apabila harga barang binaan terutama besi yang melambung sehingga mencecah 60 hingga 100 peratus sejak awal tahun ini dan diramal akan berterusan.

Lebih membebankan, dalam tempoh dua minggu lalu, harga besi dilaporkan meningkat lagi antara 20 sehingga 30.

Meluahkan kepada Utusan Malaysia, seorang kontraktor berpengalaman 10 tahun membina rumah, Hazrol Hafiz Hashim, 35, berkata, dalam tempoh dua minggu lalu, harga sebatang besi meningkat dari RM250 hingga RM300 dan RM320.

Menurut beliau, kedai-kedai memaklumkan harga tersebut tidak kekal malah diramal akan terus melonjak dalam tempoh terdekat.

Katanya, kenaikan demi kenaikan harga barang asas pembinaan membebankan namun mereka yang masih bertahan terpaksa meneruskan projek pembinaan seperti dipersetujui dengan harga berdasarkan harga bahan binaan lama.

“Kenaikan harga terutama besi bukan baharu, malah sudah lama berlarutan dengan kebelakangan ini makin teruk.

“Jika keadaan berterusan, saya percaya hari ke hari ramai kontraktor gulung tikar kerana tidak mampu menampung kos barang asas yang melambung.

“Tolonglah (kerajaan) ambil tindakan segera menyelesaikan isu kenaikan harga barang binaan. Kami sudah tidak tahan berdepan masalah seperti ini,” rayunya ketika ditemui minggu lalu.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kontraktor pembinaan mendakwa harga besi naik mendadak baru-baru ini daripada RM2,800 bagi satu tan sehingga RM4,000 satu tan.

Susulan kenaikan tersebut, rata-rata kontraktor sama ada terpaksa menangguhkan pembinaan atau menanggung kerugian dengan meneruskan projek yang sudah dipersetujui.

Tambah Hazrol Hafiz, selain besi, harga barangan asas lain seperti simen, pasir, bata, wayar, paip juga semakin mahal antara 20 sehingga 100 peratus.

Katanya, kenaikan harga barangan tersebut bukan sahaja di kedai-kedai sebaliknya sudah bermula daripada pembekal atau di kilang-kilang.

Seorang lagi kontraktor, Muhamad Ikmal Hakim Abdullah,28, berkata, kenaikan harga barangan asas binaan sememangnya memberi kesan sehingga menyebabkan margin keuntungan terus mengecil.

“Harga sekarang tidak menentu, harga sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lain dan selepas PKP harga lain. Besi antara yang mengalami kenaikan ketara.

“Penangan selepas PKP ini kebanyakkan harga barang semua naik mendadak dan ia sangat memberi kesan kepada kontraktor,” katanya.

Di Kuantan, Naib Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Mohd. Yusof Mohd. Tahir berkata, nasib kontraktor binaan terus malang apabila kenaikan harga bahan binaan terutama besi antara 60 peratus hingga 100 peratus di seluruh negara pada tahun ini.

“Harga besi daripada RM2,600 satu tan, meningkat kepada RM3,900 satu tan. Besi ringan, C Channel juga naik daripada RM17 kepada RM39 kepada RM40 sebatang,” kata beliau.

Selain itu, menurut beliau, harga simen, sebelum ini antara RM16 ke RM17 kini meningkat kepada RM19 ke RM20 satu bag.

“Harga bitumen dan premix juga mengikut harga minyak. Sebelum ini, harga premix dalam kadar harga RM140 satu tan, kini meningkat RM190 satu tan.

“Boleh dikatakan keseluruhan bahan binaan, besi, simen (konkrit), premix, batu baur, batu bata dan kayu naik berterusan antara 60 hingga 100 peratus,” katanya.

Mohd. Yusof berkata, jika kenaikan harga tiada kawalan, golongan kontraktor akan berdepan kesukaran menjalankan kerja-kerja pembinaan yang dianugerahkan sedangkan harga siling kerajaan masih tidak berubah.

“Tambahan lagi, ketika ini pun harga buruh bukan ditakuk lama, dulu upah buruh RM80 sehari, sekarang telah mencecah RM120 sehari,” katanya.

Di Ipoh, Yang Dipertua Kontraktor Melayu Perak, Datuk Wira Jamaludin Abd Rahim berkata, harga barang asas binaan dikesan melonjak sebaik kerajaan melonggarkan aktiviti di sektor pembinaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, kenaikan harga tidak sahaja melibatkan besi tetapi semua bahan asas binaan lain.

Jamaludin yang juga Setiausaha Agung Kontraktor Melayu Malaysia berkata, malah pasir untuk kerja pembinaan turut naik selepas PKP.

“Kalau dahulu satu lori pasir berharga sekitar RM150 tetapi sekarang antara RM220 hingga RM230, naik 20 hingga 30 peratus, namun kenaikan berbeza mengikut tempat, disebabkan kos pengangkutan” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, harga besi paling ketara mencatat kenaikan sehingga menjejaskan keuntungan kontraktor.

“Katalah kita masuk tender projek hari ini ketika harga besi RM3,500 satu metrik tan, namun apabila tender dibuka dua bulan lagi, kemungkinan harga besi naik jadi RM3,800 bagi satu metrik tan.

“Ini bermakna bagi setiap satu tan besi, kontraktor rugi RM300, kalau 100 tan besi, sudah rugi RM30,000.

“Dahulu, kontrak Kelas F yang melaksanakan kerja pembinaan RM20,000 boleh untung 20 peratus, tapi disebabkan kenaikan ini, nak untung lima peratus pun susah,” katanya.

Menurut beliau, harga bahan mentah membina siling untuk bumbung rumah dan batu bata turut mencatat kenaikan.

“Ini menjejaskan kontraktor bagi projek Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Untuk siling, dahulu materialnya berharga RM3.80 semeter tetapi kini sehingga RM6 semeter,” katanya.

Menurutnya, kenaikan barang asas binaan bangunan disebabkan sektor pembinaan dijangka kembali rancak selepas dibuka semula selepas PKP hampir dua tahun.

“Setelah sektor pembinaan lama ditutup akibat PKP, pembekal mungkin mahu ‘cover’ semula sebab lebih setahun tidak dapat beroperasi,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN