Fasa menopaus bukan sahaja petanda berakhirnya zaman kesuburan wanita, tetapi menandakan perisai kesihatan diri juga kian terhakis.
Dalam fasa ini, wanita berisiko berhadapan masalah kesihatan seperti sakit jantung dan barah. Jadi tidak hairanlah menopaus antara perkataan paling merisaukan wanita.
Menopaus boleh berlaku secara semula jadi akibat atau berpunca daripada rawatan tertentu seperti pembedahan histerektomi.
Noor Ashikeen Ab. Hamid antara wanita disahkan menopaus pada usia 47 tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Noor Ashikeen, 55, berkata, menopaus awal berpunca daripada pembedahan histerektomi atau membuang rahim yang dilakukan pada 2013.
Katanya, rawatan itu sekali gus menyebabkan mengalami menopaus lebih awal daripada biasa.
“Selepas saya melakukan pembedahan, doktor menerangkan hormon estrogen saya berkurang dan sistem reproduktif saya tidak berfungsi. Inilah fasa pertama menopaus yang akan saya lalui.
“Saya tidaklah terkejut kerana sebelum pembedahan saya sudah sedia maklum kesan yang bakal dilalui. Suami juga sentiasa menemani saya sebelum dan selepas pembedahan, ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kempen Your Most Precious One baru-baru ini. Turut serta suaminya, Roslan Abu Mansur, 55.
Kempen anjuran bersama Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dengan syarikat pengeluar suplemen, Herbalmeds (Bio-Life) bertujuan meningkatkan tahap kefahaman masyarakat tentang menopaus.
Ia sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup wanita menerusi pendedahan berhubung pengurusan gejala menopaus secara proaktif melalui sokongan lelaki untuk pasangan mereka.

Ibu kepada empat cahaya mata ini memberitahu, pada peringkat awal dia sudah dimaklumkan oleh doktor dan sedikit sebanyak dia bersedia. Namun realitinya tidak seperti dijangkakan.
“Doktor jelaskan kepada saya bahawa menopaus selepas pembedahan boleh menyebabkan saya berasa cepat panas dan berpeluh.
“Dalam masa sama saya perlu memberi perhatian lebih kepada aspek pemakanan supaya saya tidak mengalami kesan menopaus yang teruk dan saya dapat memperbaiki tahap kesihatan.
“Walaupun keadaan sukar selepas pembedahan kerana saya bakal melalui rutin kehidupan yang berbeza. Saya cepat sukar tidur dan emosi kadang-kadang lebih sensitif,” katanya.
Noor Ashikeen bagaimanapun bersyukur kerana waktu itu, suami dan anak-anak sentiasa memberi sokongan emosi dan fizikal kepada dirinya.
“Apabila menopaus, vagina juga akan kering dan ini mungkin mengganggu hubungan intim suami isteri. Namun, masalah ini bukan penamat hubungan kerana perubatan zaman kini boleh membantu contohnya terapi hormon dan makanan tambahan lain.
“Perubahan gaya hidup sihat dan berkongsi pandangan dengan rakan-rakan sebaya juga membantu kerana kita akan menjadi lebih positif,” jelasnya.
Bagi Noor Ashikeen, wanita perlu mendapatkan nasihat ahli farmasi atau doktor untuk rawatan menopaus yang bersesuaian.
“Jika wanita ada mengalami simptom awal menopaus, janganlah segan berjumpa doktor. Wanita tidak perlu berlengah dalam mendapatkan maklumat tentang rawatan yang sesuai,” jelasnya.
Sementara itu, Roslan menjelaskan, dia menerima hakikat menopaus boleh mengakibatkan isterinya mengalami perubahan emosi dan fizikal.
Katanya, sebagai suami, beliau sentiasa memberi sokongan kepada isterinya bahkan setiap kali mendapatkan rawatan, dia akan berada di sisi isteri tersayang.
“Sebagai suami, kita sentiasa tahu peranan dalam keluarga dan bukan hubungan intim semata-mata. Apabila kita hidupkan suasana kekeluargaan dan agama dalam hubungan bersama isteri dan anak-anak, kita tidak akan menjadikan masalah kesihatan sebagai sesuatu kekurangan.
“Sebagai suami, saya mahu dia gembira dan bersama dengannya walau apa pun keadaannya,” ujar Roslan.
Pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga selama 29 tahun itu berharap perkongsian pengalaman itu mampu mendidik dan memberi inspirasi kepada pasangan lain yang melalui perjalanan itu secara positif.
“Jika pasangan kita mengalami sebarang jenis gejala berkaitan dengan menopaus, galakkan mereka untuk mendapatkan nasihat daripada pakar penjagaan kesihatan.
“Terdapat pelbagai pilihan rawatan dan cara untuk melegakan simptom menopaus seperti suplemen atau terapi hormon.
“Sebaiknya, dapatkan nasihat dari ahli farmasi atau bincang dengan doktor untuk mengetahui lebih lanjut mengenai menopaus, bagaimana anda boleh meningkatkan kualiti hidup anda semasa menopaus atau cara membantu wanita yang disayangi untuk kekal sihat dan sejahtera,” katanya.
Roslan dan anak-anak juga sangat prihatin menyokong dan membantu isterinya dari segi emosi dan mental.
Misalnya, perbualan terbuka tentang cabaran yang dihadapi, menggalakkan isteri mendapatkan nasihat pakar penjagaan kesihatan atau motivasi untuk bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
“Justeru, ahli keluarga khususnya suami memahami gejala atau kesan menopaus untuk membantu wanita tersayang mereka menjalani perubahan kesihatan dan mengatasinya bersama,’ katanya.
Bagi mengatasi kesan ketara menopaus, Noor Ashikeen kini mengamalkan gaya hidup sihat dari segi pemakanan, bersenam dan mengekalkan fikiran positif untuk membantunya menghadapi cabaran menopaus dengan lebih baik.
Dalam pada itu, sokongan pasangan untuk meningkatkan kualiti hidup wanita yang menjalani menopaus boleh menjadi bukti cinta dan penghargaan yang paling tinggi selain memberikan hadiah dan kejutan kepada mereka.
Kehidupan yang sihat dan memuaskan tiada bandingan. Sokongan daripada lelaki juga adalah cara berkesan untuk mengatasi ketakutan dan kebimbangan yang mungkin dihadapi oleh wanita yang melalui fasa menopaus.
Ramai wanita keliru antara penuaan dengan menopaus
BERAT badan meningkat, kulit kering, muka sembab, rambut rapuh dan gugur, kerap letih, mengantuk, pergerakan dan tindak balas menjadi perlahan.
Simptom-simptom ini sering dianggap sebagai perkara semula jadi dalam proses penuaan, terutama bagi wanita yang memasuki era 40-an.
Presiden NCWO, Prof. Emerita Tan Sri Dr. Sharifah Habsah Syed Hasan Shahabudin berkata, hampir tiga perempat wanita mengalami gejala menopaus seperti rasa panas melampau dan mendadak, perubahan mood dan masalah tidur yang boleh merosakkan kualiti hidup mereka.

Katanya, terdapat 34 gejala biasa yang mungkin dialami wanita semasa menopaus tetapi hanya tujuh peratus wanita mendapat rawatan yang mereka perlukan.
“Hanya 20 peratus daripada 2.3 juta wanita Malaysia mendapatkan nasihat penjagaan kesihatan profesional tentang cara mengendali simptom menopaus pada 2019.
“Ini bererti 60 peratus wanita negara ini mungkin mengalami ‘derita dalam senyap’, sedangkan kualiti kehidupan mereka boleh dipertingkatkan menerusi bantuan sewajarnya daripada profesional,” katanya.
Purata usia wanita mengalami menopaus ialah antara 50 hingga 51 tahun dan wanita dijangka hidup selama 25 tahun seterusnya selepas mereka mengalami menopaus.
Ini bererti satu pertiga dari seluruh kehidupan mereka pada tempoh peri menopaus dan pascamenopaus.
“Ramai wanita memahami dan menyedari bahawa menopaus adalah sebahagian proses semula jadi penuaan. Namun, kesedaran mungkin masih kurang berkaitan dengan ketersediaan bantuan dan rawatan yang dapat menolong mereka melalui menopaus dengan lebih selesa.
“Jurang kesedaran tentang bantuan, nasihat dan sokongan merupakan cabaran yang menghalang wanita untuk meminta sokongan. Oleh itu, wanita memilih untuk menderita dalam diam,” katanya
Justeru Dr. Sharifah Habsah berkata, menopaus tidak harus menjadi pengalaman yang membebankan dalam hidup wanita dan wanita tidak harus melaluinya seorang diri.
“Dalam hal ini, ahli keluarga terutamanya suami atau pasangan seorang wanita memahami simptom-simptom dan kesannya untuk bantu mereka melalui perubahan ini bersama-sama.
“Perubahan gaya hidup dalam diet dan senaman, menjaga berat badan yang ideal, bersikap proaktif untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, seperti mamogram dan pemeriksaan ketumpatan tulang dapat membantu meringankan perubahan ke era pasca-menopaus,” katanya.
Dr. Sharifah Habsah turut menggalakkan wanita menyertai kumpulan berkaitan menopaus bagi membolehkan mereka melalui fasa tersebut bersama-sama secara positif dan gembira.










