Endemik suatu penerimaan- Fasa baharu dijangka hujung bulan ini - Utusan Malaysia

Endemik suatu penerimaan- Fasa baharu dijangka hujung bulan ini

Sebagaimana mudahnya kita memasuki fasa endemik, maka semudah itu juga kita boleh kembali ke fasa pandemik. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suka atau tidak, kita perlu menerima hakikat bahawa kita perlu menjalani hidup bersama-sama virus Covid-19. Tanpa kita sedar perkataaan pandemik juga sudah tidak lagi menimbulkan perasaan gerun.

Pro Naib Canselor Penyelidikan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, walaupun negara bakal memasuki fasa endemik, ia tidak bermakna virus Covid-19 akan pupus.

Sebaliknya peralihan itu merujuk kepada sejumlah besar masyarakat yang semakin imun kepada virus Covid-19, iaitu bekas pesakit yang dijangkiti secara semula jadi lalu sembuh dan mereka yang telah divaksinasi.

“Apabila tidak ramai orang dijangkiti, maka jumlah kes akan menurun,” katanya membincangkan peralihan dari pandemik kepada endemik.

DR. LOKMAN HAKIM SULAIMAN

Kementerian Kesihatan baru-baru ini menyatakan negara berada di landasan yang betul untuk beralih ke fasa endemik hujung bulan ini.

Data seluruh dunia turut menunjukkan penurunan jumlah kes serius selepas pelaksanaan suntikan vaksin. Perkembangan itu akan mempercepatkan proses memasuki fasa endemik.

“Memasuki fasa endemik tidak bermaksud negara sudah menang sepenuhnya, sebaliknya perlu terus berwaspada. Sebagaimana mudahnya kita memasuki fasa endemik, semudah itu jugalah kita boleh kembali ke fasa pandemik kerana varian baharu yang ada, boleh melonjakkan balik jumlah kes jangkitan ke kadar yang tinggi.

“Contohnya varian Delta yang menyebabkan kes jangkitan kembali meningkat di beberapa negara. Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memantau mengenai kemunculan varian baharu seperti Lambda dan Mu,” kata beliau.

WABAK KE ENDEMIK

Dr. Lokman yang juga Pengarah Institut Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (IRDI) IMU menjelaskan, masyarakat perlu memahami bagaimana sesuatu penyakit itu bermula sebagai wabak, lalu menjadi epidemik seterusnya pandemik dan kemudiannya diisytiharkan endemik.

Wabak adalah apabila berlakunya peningkatan mendadak jumlah kes dalam kawasan yang terhad, baik dalam kawasan di mana adanya kes yang pernah dilaporkan atau di kawasan yang baharu.

“Misalnya, jumlah kes denggi yang tinggi daripada biasa dalam bulan tertentu dalam setahun. Ini disebut sebagai wabak denggi.

Apabila wabak itu merebak dan melibatkan kawasan yang lebih luas dan besar dengan angka kes yang lebih tinggi, maka epidemik telah berlaku.

“Epidemik denggi pernah berlaku di Malaysia pada 2014 di mana jumlah kes meningkat begitu tinggi iaitu hampir 110,000 kes berbanding tidak lebih 50,000 kes yang direkodkan dalam tiga dekad sebelumnya,” katanya yang menjelaskan, istilah wabak, epidemik, pandemik dan endemik bukan hanya digunapakai untuk penyakit berjangkit tetapi untuk keadaan kesihatan yang lain juga.

“Pandemik adalah satu keadaan epidemik yang sudah merebak secara global seperti Covid-19. Contoh lampau adalah Spanish Flu pada 1918 yang meragut lebih 50 juta nyawa.

“Manakala kira-kira 10 tahun lalu, pandemik Influenza H1N1 menjejaskan seluruh dunia dalam waktu yang amat singkat. H1N1 kini diklasifikasi sebagai endemik di banyak negara yang mana kemunculannya agak terkawal.

“Cuba fikirkan Covid-19 ini seperti denggi dan malaria yang mana kedua-duanya adalah endemik di negara kita. Laporan kes adalah kerap setiap tahun,” tegasnya.
Sifar Covid-19 & Endemik.

Setiap negara perlu menjalankan kajian mengenai pola jangkitan.

Beberapa buah negara termasuk New Zealand, mengamalkan strategi sifar Covid-19 dengan harapan untuk menghentikan jangkitannya.

Antara strategi diambil ialah mengenakan perintah berkurung dan mengetatkan had perjalanan. Namun begitu, kebanyakan negara menerima hakikat bahawa intervensi kesihatan sahaja tidak akan dapat menghentikan jangkitan Covid-19.

“Pada tahap endemik, kita perlu memberi tumpuan kepada tanggungjawab orang awam untuk membantu mengawal penyakit ini. Orang ramai perlu terus dididik mengenai peri pentingnya penilaian dan pengurusan risiko supaya mereka dapat bertindak dengan berkesan bagi meminimumkan risiko dijangkiti dan menjangkiti orang lain.

“Ini kerana lambat laun sekatan pergerakan akan dihentikan. Penekan an perlu diberi kepada pendekaan lain seperti pengukuhan sistem penjagaan kesihatan yang mampu menangani ancaman jangkitan yang berterusan.

“Walaupun kita sudah memasuki fasa endemik, kita perlu sentiasa beringat-ingat bahawa epidemik ini masih berlaku,” ujarnya.

Statistik juga perlu dilihat daripada sudut baharu iaitu dengan memberi perhatian khusus kepada kes berisiko tinggi berbanding jumlah kes yang dijangkiti.

“Sepertimana yang kita lihat sekarang, angka harian sudah dibahagikan kepada beberapa kategori risiko. Berdasarkan statistik tersebut dapatlah kita mengetahui dengan lebih tepat sama ada sistem penjagaan kesihatan kita terbeban atau sebaliknya,” katanya.

MENINGKATKAN IMUNITI

Apakah dos penggalak boleh membantu kita untuk kekal berada dalam zon endemik?

Dr. Lokman menjelaskan, semuanya bergantung kepada keberkesanan vaksin dan pola jangkitan epidemiologi dalam populasi tertentu, iaitu bagaimana virus itu merebak dan apakah faktor mempengaruhi penyebarannya.

“Risiko jangkitan tidak sama di semua kawasan dan negara. Justeru setiap negara perlu menjalankan kajian mengenai pola jangkitan di negara masing-masing dan prestasi vaksin yang mereka gunakan. Kita perlu memahami keadaan kita sendiri dan membuat keputusan sama ada kita memerlukan dos penggalak, bila dan seberapa kerap,” katanya.

Mengenai persoalan dan kebimbangan dari sudut moral dan etika apabila bercakap mengenai pemberian dos penggalak, ketika ramai masih menunggu untuk disuntik vaksin dos pertama, kata

Dr. Lokman, banyak negara yang masih belum mencapai liputan vaksinasi yang sewajarnya, sedangkan negara maju sudah mula mengumpulkan vaksin dos penggalak.

Begitupun katanya, penghasilan rawatan atau ubat berkesan untuk merawat jangkitan Covid-19 adalah sama pentingnya dalam mempertingkatkan keberkesanan pengurusan pandemik ini.

“Ubat-ubatan berkesan dapat menghapuskan virus ini dan mengurangkan sumber jangkitan kepada orang lain. Rawatan yang berkesan juga mampu mengubah strategi vaksinasi,” katanya.

MERAWAT jangkitan sama pentingnya mempertingkatkan keberkesanan pengurusan pandemik.

MENERUSKAN KEHIDUPAN

Hidup perlu diteruskan dan fasa endemik ini akan membantu kita mengharunginya.

Begitupun, kata Dr. Lokman, sehingga masyarakat lebih memahami penyakit ini, maka hendaklah terus berjaga-jaga dan tidak leka.

“Berita baik adalah kita boleh kembali kepada kehidupan dan rutin yang hampir normal atau norma baharu dalam fasa endemik.

“Namun perlu diingati, jangkitan masih berlaku dan pastinya tetap ada ketidaktentuan.

“Langkah kesihatan awam masih perlu kita teruskan.

“Pemakaian topeng separa muka, penjarakan fizikal, kawalan khalayak dan pengudaraan yang lebih baik perlu terus dilaksanakan di kawasan-kawasan aktif jangkitan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×