Eksesais Para Predator tingkat kesiagaan - Utusan Malaysia

Eksesais Para Predator tingkat kesiagaan

SEBUAH kenderaan Vamtac daripada Kompeni Bantuan Para menyeberangi sungai menggunakan bot Catamaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDEMIK Covid-19 tidak menghalang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terus memberikan fokus mengawal keselamatan negara.

Latihan kesiapsiagaan diteruskan melibatkan tiga cabang utamanya iaitu Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut dengan rutin latihan untuk melengkapkan diri bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

PANGLIMA 10 Briged (Para), Brigadier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal (kiri) memberi penerangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) diiringi Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain (tengah) sempena lawatan ke Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Bera, Pahang, baru-baru ini.

Pada 28 Ogos lalu, pasukan elit Tentera Darat, 10 Briged (Para) melaksanakan Eksesais Para Predator di kawasan Bera, Pahang bagi mengekalkan tahap kesiagaan yang tinggi pasukan berkenaan.

10 Briged (Para) merupakan sebuah ketumbukan pasukan elit dalam Tentera Darat, iaitu Briged Payung Terjun dengan tahap kesiagaan yang tinggi.

Briged yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka itu merupakan komponen utama Tentera Darat yang turut dikenali sebagai Pasukan Aturgerak Cepat (PAC).

Pasukan itu merupakan elemen tempur yang akan memberikan tindak balas pantas terhadap sebarang kemungkinan ancaman, serta mampu memberi opsyen ketenteraan kepada negara dalam menghadapi sebarang kontingensi dari dalam atau luar negara untuk melindungi kepentingan dan kedaulatannya.

Latihan ketenteraan keperluan paling penting dan menjadi teras utama kepada Tentera Darat semasa berada dalam keadaan aman untuk mengekalkan tahap kesiagaan yang tinggi pada sebilang masa.

PENUTUP Demonstrasi Eksesais Para Predator Siri 1/2021 menggunakan Letupan Bom Asap berwarna-warni simbol kibaran Jalur Gemilang.

Berhubung Eksesais Para Predator, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat dalam kenyataan berkata, ia bertujuan meningkatkan tahap kesiagaan dan kompetensi setiap Leading Para Battle Ground (LPBG) dalam atur gerak briged itu untuk melaksanakan operasi di barisan belakang musuh.

Katanya, eksesais berkenaan juga dirangka bagi menilai tahap kepimpinan setiap lapisan pemerintahan, tahap kompetensi atau keupayaan setiap pasukan tempur dalam pasukan 10 Briged (Para).

“Latihan ini juga bagi menguji ketahanan fizikal dan mental anggota briged ini untuk berhadapan dengan tekanan realisme yang tinggi sebagaimana situasi sebenar ketika perang dan krisis,” katanya.

TIGA OBJEKTIF UTAMA
Pendekatan Eksesais Para Predator berkenaan terarah kepada tiga objektif utama iaitu:

 to train (troop) – bagi memberikan pendedahan keadaan ancaman sebenar melalui latihan.

 to project (the army) – bagi memberikan gambaran kesiagaan dan keupayaan atur gerak Tentera Darat.

 to educate (create public awareness) – bagi mendidik dan menerapkan kesedaran umum tentang peranan Tentera Darat dalam aspek keselamatan.

Kenyataan itu turut memaklumkan, eksesais berkenaan akan mensimulasikan gerakan kemaraan anggota 10 Briged (Para) dengan disokong oleh pelbagai jenis aset tempur, termasuklah aset kenderaan tempur dari Kor Armor Diraja (KAD) dan juga jambatan tempur dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

“Keanggotaan yang terlibat dalam eksesais ini adalah kira-kira 2,000 terdiri daripada pelbagai elemen daripada Markas 10 Briged (Para), Kompeni Infantri Mekanis, Pasukan Udara Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia, elemen tempur, bantuan tempur dan bantuan khidmat tempur 10 Briged Para.

“Antara aset-aset yang diaturgerakkan pula melibatkan helikopter LOH dan EC 725, kenderaan perisai Adnan, AV8 Gempita, aset jambatan tempur dan Pontoon serta lain-lain aset,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, eksesais ketenteraan sebegini akan terus dilaksanakan pada masa hadapan bagi mempertingkatkan tahap kesiagaan dan kompetensi formasi tempur Tentera Darat, khususnya untuk pasukan elit dan khusus.

“Ia juga sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung yang gariskan oleh Panglima Tentera Darat iaitu, ‘Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan’ yang memberi penumpuan kepada peningkatan tahap kesiagaan Tentera Darat bagi diaturgerakkan sebilang masa.

“Tentera Darat akan terus komited dan memberi komitmen tinggi dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara.

“Ia termasuklah perancangan dan tindakan untuk mempersiapkan keupayaan tempur dan kesiagaan Tentera Darat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN