Dari jururawat ke tenaga pengajar - Utusan Malaysia

Dari jururawat ke tenaga pengajar

Mohd. Malik (kanan) bersama sebahagian daripada pelatih yang mengikuti kursus Kaunseling HIV AIDS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tugas seorang jururawat, memenuhi keperluan asas ADL (activity daily living) pesakit. Sungguhpun dunia kejururawatan dimonopoli wanita, kian ramai lelaki menjadi jururawat, berikutan permintaan tinggi terhadap kerjaya itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengajar Jururawat (Pengkhususan Kaunseling HIV/AIDS) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sg Buloh, Selangor, Mohd. Malik Karyono, 39 berkata walaupun secara dasarnya kerjaya itu lebih ramai didominasi wanita, namun tidak menjadi penghalang bagi lelaki memberikan mutu perkhidmatan terbaik asalkan ada minat dan kesungguhan.

“Merawat pesakit bukan sahaja merangkumi penjagaan luka, ubat ubatan malah turut diselang seli dengan khidmat bimbingan kaunseling serta nasihat.

“Itu tidak termasuk kes pesakit menelefon waktu tengah malam dengan pelbagai masalah seperti cubaan bunuh diri, keputusan bekalan ubat dan enggan meneruskan rawatan susulan atas alasan ingin mencari alternatif rawatan daripada bomoh.

Malik (paling kanan) pada salah satu program anjuran ILKKM.

“Dalam hal ini, kita perlu bijak menangani setiap masalah dihadapi selain memujuk dan mententeramkan hati pesakit yang bercelaru,” katanya.

Mohd. Malik, meninggalkan kampung halamannya di Tawau, Sabah, berhijrah ke Semenanjung Malaysia bagi mengikuti Diploma Kejururawatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Sebaik tamat pengajian dia berkhidmat sebagai jururawat terlatih di Institut Jantung Negara (IJN).

Di situ dia membantu doktor di dewan bedah (Cardiothoracic Surgery) dan jagaan selepas pembedahan jantung bagi pesakit kanak-kanak dan dewasa serta bergiat aktif menerusi program Heart Transplant.

Selaku Pengajar Jururawat, Mohd, Malik berkata dia ditugaskan untuk mengajar dan membimbing pelatih menerusi kursus post basic Kaunseling HIV/AIDS, antara lain merangkumi skop perawatan serta kaunseling kepada pesakit HIV/AIDS dan juga golongan yang berisiko.

“Saya turut menerapkan nilai sosial kemanusiaan, kemahiran atau kaedah sebenar menghilangkan stigma buruk serta diskriminasi kepada pelatih bagi mempersiapkan diri agar mampu memberi tanggung jawab khidmat kaunseling berkualiti dan berkesan sebaik sahaja menamatkan kursus ini,” katanya mengenai tanggungjawab di galas kini.

Gelombang Covid-19
Gelombang ganas penularan Covid 19 memaksa Mohd. Malik terbabit sama sebagai barisan hadapan.

Sejak Jun lalu dia diarahkan bertugas di Hall A2 PKRC Maeps Mobilasi yang menempatkan pesakit wanita kategori tiga dan empat.

Malik dan rakan perlu memakai pakaian PPE sewaktu bertugas.

Berkongsi pengalaman sukar dilupakan, katanya sewaktu melakukan bantuan pernafasan kecemasan CPR kepada pesakit positif Covid-19, tiba-tiba ada seorang lagi pesakit mengalami kesukaran bernafas dan tekanan darahnya jatuh ke paras yang rendah.

“Apabila pesakit pengsan dan tidak sedarkan diri, saya bersama pasukan perubatan sedaya upaya melakukan CPR untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Keadaan pesakit menjadi kritikal dan kebetulan anak mangsa yang berumur sekitar enam tahun berada disisi beliau dan menyebut emak bangunlah berterusan sambil menangis. Mereka sekeluarga positif dan pada masa itu ayahnya pun berada dalam keadaan yang tidak stabil. Pesakit tidak dapat diselamatkan. Itulah yang membuatkan saya berasa sedih sangat dan sedikit emosi,” katanya menahan sebak.

Mengenai bagaimana beliau menenangkan hati pesakit, Mohd. Malik memberitahu dia sentiasa mengambil sikap peduli, menyantuni serta menasihati pesakit untuk sentiasa kuat dan bersemangat bagi melawan penyakit ini.

“Pesakit juga perlu beri kerjasama. Mereka mesti ikut arahan doktor, pada masa sama jangan berhenti berdoa untuk segera sembuh,” katanya.

Terima bekas pesakit
Tidak dinafikan bekas pesakit Covid-19 ada yang disisihkan oleh masyarakat seolah-olah mereka musuh.

Mohd. Malik berkata persepsi tidak wajar berlaku kerana ia boleh mengganggu emosi pesakit.

“Mereka pernah lalui fasa yang menakutkan kerana telah positif dan berisiko untuk mati. Penerimaan masyarakat sekeliling adalah sangat penting untuk menaikkan semangat serta keyakinan mereka untuk melawan penyakit dan terus hidup.

“Jika masyarakat dapat menerima mereka, harapan pesakit kembali pulih sepenuhnya adalah tinggi. Buanglah sifat stigma dan diskriminasi. Banyakkan membantu mereka untuk meneruskan hidup kepada
yang lebih baik,” katanya.

Masyarakat tegasnya, perlu menerima bahawa Covid-19 ada dalam komuniti. Apa yang perlu dilakukan ialah untuk terus mengamalkan norma baharu dalam kehidupan.

Cari ilmu untuk berjaya
Mohd. Malik menitip pesan, bagi anak muda yang ingin menceburi dunia kejururawatan, mereka perlu memiliki keikhlasan di dalam melaksanakan penjagaan kesihatan kepada pesakit.

Mohd. Malik bersama keluarga tercinta.

“Carilah maklumat info berkaitan kejururawatan dan penjagaan pesakit. Bidang ini memiliki prospek kerjaya yang luas dan khidmatnya di tagih seluruh dunia,” katanya.

Sebagai perancangan masa depan, figura barisan hadapan ini turut berhasrat melanjutkan pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana Psikologi atau Kaunseling bagi memantapkan pengetahuan dan teknik pengajaran serta kaunseling kepada pesakit HIV.

Hasil perkongsian hidup dengan suri hati, Fatimah Mohd Isa, pasangan ini dikurniakan sepasang cahaya mata berumur 15 dan 11 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN