Aset ATM gegar, ‘serang Lanun Land’ - Utusan Malaysia

Aset ATM gegar, ‘serang Lanun Land’

AFFENDI Buang (depan) dalam acara bergambar selepas sambutan Hari ATM ke-88 di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seakan-akan medan perang sebenar. Itu yang dirasakan penulis apabila berpeluang menyaksikan demonstrasi dinamik keupayaan dan kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dipertontonkan di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Melibatkan 2,500 pegawai dan anggota tentera daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan, Latihan Kesiagaan Aset dan Kompetensi ATM dan Perbarisan Statik Tempur itu adalah bersempena sambutan Hari ATM ke-88 yang julung kalinya diadakan di kem tersebut.

Dimulakan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, acara demonstrasi bermula kira-kira pukul 9.30 pagi.

Kawasan berhampiran termasuk di persisiran pantai berdekatan dengan kem tentera berkenaan yang biasanya sepi pada waktu pagi, tiba-tiba bergegar dengan tembakan dan letupan ditambah dengan bunyi bingit kehadiran aset-aset ATM yang ditampilkan.

Ia termasuklah pesawat tempur SU 30 Sukhoi dan helikopter EC 725 dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selain kereta kebal PT-91M Pendekar, kenderaan perisai 8X8 Gempita, kenderaan berperisai berantai Adnan dan helikopter Loh A109 Agusta milik Tentera Darat Malaysia (TDM).

Turut diperlihatkan kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seperti KD Mahawangsa, KD Jebat, KD Lekir dan KD Lekiu.

Bersama terlibat ialah pegawai dan anggota dari ketumbukan 10 Briged Pasukan Aturgerak Cepat (Para), 4 Briged (Mek), Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (Paskal) serta Pasukan Khas Udara TUDM (Paskau).

LATIHAN kesiagaan aset dan kompetensi ATM yang melibatkan aset Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut di Kem Segenting, Port Dickson, baru-baru ini.

Kesemuanya diatur gerak mengikut segmen sebagai operasi ofensif dalam senario yang diwujudkan iaitu menentang ‘musuh’ tanah air yang merupakan sebuah negara kepulauan yang dikenal sebagai ‘Lanun Land’.

Mata penulis tidak mahu terlepas walau sesaat dan tidak sabar menanti satu demi satu aset ATM yang ditonjolkan dalam ‘serangan’ terhadap ‘Lanun Land’ itu.

Paling mencuri tumpuan adalah segmen awal demonstrasi yang melibatkan tembakan oleh pesawat tempur SU 30 Sukhoi diikuti kehadiran armada TLDM yang jarang-jarang dilihat berada hampir di kawasan perairan Port Dickson.

Turut mendebarkan adalah sewaktu serangan amfibi daripada kumpulan Leading Para Battle Group (LPBG) 10 Briged Para yang mara ke pantai menggunakan landing craft.

Memang tidak ubah seperti dalam perang ataupun setidak-tidaknya seperti filem peperangan yang pernah penulis tonton sebelum ini.

Demonstrasi tersebut kemudian diteruskan dengan acara perbarisan statik yang melibatkan lapan detasmen yang terdiri daripada detasmen Tentera Darat Malaysia, TLDM, TUDM, Anggota Batalion Malaysia (Malbatt), Paskau, GGK, Paskal dan Para.

AKSI anggota tentera berjaya menumpaskan musuh dalam serangan di ‘Lanun Land’.

Affendi ketika menyampaikan perutusan menyifatkan demonstrasi yang ditampilkan berkenaan sebagai sesuatu yang menggerunkan.

“Saya ucapkan syabas atas pertunjukan tadi, di mana saya ingin mengatakan bahawa itu adalah satu pertunjukkan yang menggerunkan. Sekarang saya boleh katakan bahawa kamu semua sudah bersedia untuk demonstrasi berkelas dunia,” kata beliau lagi.

Beliau juga dalam majlis itu turut menyampaikan Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera yang merupakan anugerah tertinggi dalam ATM kepada tiga orang penerima.

Mereka ialah Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal, Pegawai Pemerintah KD Lekir, Komander Asri Dasman dan Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brigedier Jeneral Zulkiffli Musa.

Secara jelas, demonstrasi yang dijalankan itu secara tidak langsung memberikan jaminan ATM berupaya untuk menggalas tugas memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Dalam masa yang sama, keupayaan yang ditonjolkan adalah sebagai keyakinan kepada rakyat bahawa kesiagaan ATM pada tugas utama tidak terjejas walaupun tumpuan kini diberikan kepada pelaksanaan membantu menangani penularan wabak Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×