Tiada manusia mahu dijajah - Utusan Malaysia

Tiada manusia mahu dijajah

kemerdekaan yang lebih penting adalah membebaskan diri daripada penjajahan minda. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ar-Raudhah

“Sejak bila engkau memperhambakan orang lain sementara mereka telah dilahirkan oleh ibu mereka dalam keadaan bebas dari penghambaan (merdeka)”?

Demikian kata-kata masyhur dan dinisbahkan kepada khalifah Umar r.a ketika menghukum putera Amr bin Ash kerana memukul seorang bangsa Mesir yang beragama kristian dengan tidak adil.

Amr bin Ash r.a ketika itu adalah Gabenor Mesir. Putranya menggunakan kedudukan ayahnya untuk menghukum dan merendah-rendahkan orang lain.

Maka khalifah Umar r.a menuntut balas untuk seorang kristian itu terhadap putera Amr bin Ash sambil berkata: “Sejak bila engkau memperhambakan orang lain sementara ia dilahirkan oleh ibu mereka sebagai seorang bebas atau merdeka”.

Terlepas daripada kedudukan sanad cerita ini adakah sahih atau daif (lemah) namun ungkapan itu adalah benar.

Fitrah manusia tidak mahu diperhambakan oleh sesiapapun dan menolak penindasan serta penjajahan dari orang lain.

Ada pelbagai bentuk penjajahan, baik penjajahan wilayah atau daerah dengan kekuatan ketenteraan. Ini seperti berlaku pada perang dunia pertama dan kedua.

Ada juga penjajahan dalam pemikiran, mengeluarkan pendapat begitu juga dalam membuat keputusan. Oleh kerana itu, seseorang akan bertindak balas terhadap segala bentuk penindasan dan segala bentuk penjajahan.

Di antara pelbagai penjajahan itu adalah penjajahan dalam berfikir atau lebih dikenali ‘perang pemikiran’.

Perang pemikiran ialah satu upaya untuk mengekang cara berfikir kita sehingga kita berfikir dengan cara orang lain berfikir dan bukannya cara kita berfikir.

Dengan begitu kita tetap terjajah dalam berfikir walaupun penjajah sudah angkat kaki daripada sesebuah wilayah. Konsep perang pemikiran ini sudah lama wujud.

Bahkan al- Quran menyatakan bagaimana para penguasa terdahulu yang bertindak mengelirukan pemikiran orang lain dengan memanipulasi fakta dan hakikat, yang benar jadi batil dan sebaliknya.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud:… dan berkatalah pula ketua-ketua dari kaum Firaun: Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?” Firaun menjawab: “Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka”. (al-A’raf: 127-128)

Dalam ayat yang lain. Allah berfirman yang bermaksud: Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar agama kamu, atau ia menimbulkan kerosakan di muka bumi”. (al-Ghafir: 26)

Bukankah ayat ini menjelaskan tindakan keganasan dalam bentuk pembunuhan dan penodaan maruah berpunca daripada pemikiran yang salah dan juga ideologi yang terbalik?

Bukankah Nabi Musa a.s di pihak yang benar manakala Firaun dan konco-konconya di pihak yang batil? Namun yang terjadi adalah sebaliknya.

PENJAJAHAN PEMIKIRAN

Di antara bentuk penjajahan dalam pemikiran ialah manusia tidak diberi pilhan menentukan sikap berdasarkan dengan pemikiran sendiri. Sebaliknya mengikut pemikiran orang lain.

Hal ini disentuh dalam al-Quran yang bermaksud: Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi (Mesir dan sekitarnya; tetapi kiranya keadaan bertukar) maka siapakah yang akan membela kita dari azab Allah kalau azab itu datang menimpa kita?” Firaun berkata: “Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar”. (al-Ghafir: 29)

Ungkapan kata-kata Firaun: “Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan). Dengan kata lain ia bermaksud” “tiada pilihan bagi kamu”.

Islam datang untuk menunjukkan erti kemerdekaan dan kebebasan yang relevan dengan kepentingan manusia sejagat. Tidaklah manusia bebas mutlak sehingga boleh memudaratkan diri sendiri atau orang lain, tidak juga terikat sehingga tidak dapat bergerak.

Siti Aisyah r.a berkata, tiadalah Rasulullah SAW diberi dua pilihan melainkan beliau akan memilih yang lebih mudah selagi mana ia bukan dosa.

Rasulullah juga meminta pandangan orang lain dan terkadang mendahulukan pandangan orang lain selagi tiada wahyu yang menentukan pilihan.

Dalam kebebasan berfikir, wahyu tetap menjadi tali ukur dan keutamaan dalam bersikap. Firman Allah SWT: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. (al Ahzab: 36).

Pada ketika Abu Jahal ingin mengejek sahabat Abu Bakar r.a tentang peristiwa israk dan mikraj sebagai kejadian yang mustahil menurut akal.

Namun Abu Bakar dengan tegas berkata: kalau dia (Rasulullah SAW) yang berkata demikian (kisah perjalanan israk dan mikraj ke Baitulmaqdis) maka itu benar, bahkan saya percaya yang lebih hebat dari itu dari berita yang diterima dari wahyu langit”.

Satu bangsa yang merdeka dan bebas dengan patuh dan setia pada agama tidak mungkin akan dikalahkan dengan slogan kemerdekaan rekaan manusia. Ini persis seperti dikatakan oleh Saidina

Umar r.a: “Kita adalah satu bangsa yang dimuliakan dengan Islam, kalau kita mencari kemuliaan dari selain islam maka Allah akan hinakan kita”.

 

Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×