Selasa lalu adalah tarikh terakhir yang diberikan oleh kumpulan Taliban kepada tentera antarabangsa yang diketuai Amerika Syarikat (AS) untuk keluar dari Afghanistan selepas berperang sejak 2001.
Presiden AS, George W. Bush ketika itu menjadikan insiden serangan World Trade Center pada 11 September 2001 sebagai alasan untuk menyerang Afghanistan. Kononnya kerana Taliban ketika itu memberi perlindungan kepada Osama bin Laden dan pergerakan al-Qaeda yang dikatakan bertanggungjawab merancang serangan di AS itu.
Presiden AS, Joe Biden kemudiannya mengumumkan pengunduran tentera AS berakhir pada 31 Ogos hasil perbincangan antara wakil AS dan Taliban dalam Rundingan Doha di Qatar.
Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual bekas Profesor di Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), DR. KAMARUZAMAN YUSOFF untuk mengupas isu ini. Kepakaran beliau adalah politik Asia Barat.

Utusan: Boleh Dr. kongsikan secara ringkas susur galur kumpulan Taliban Afghanistan. Siapakah pemimpin mereka kini?
DR. KAMARUZAMAN: Kita tidak akan dapat memahami perkembangan Taliban tanpa memahami demografi dan kependudukan Afghanistan. Sejarah Afghanistan selalu dikaitkan dengan kewujudan beberapa kesultanan Islam yang terkenal di benua kecil India seperti Kesultanan Ghuri dan Ghaznawi sebelum wujudnya kesultanan Delhi.
Semasa British masuk ke benua India, seluruh kawasan itu dapat dikuasai oleh British kecuali Afghanistan. Selain faktor geografi, wilayah ini dikaitkan dengan semangat agama yang tinggi dan kesatuan rakyat yang sangat kental dalam menghadapi musuh dan penjajah.
Dari aspek kependudukan, Pashtun adalah etnik terbesar di Afghanistan. Ia meliputi 48% daripada keseluruhan 40 juta penduduk Afganistan pada masa ini. Dalam kalangan Pashtun pula terdapat lebih 40 sab-etnik yang tinggal di kawasan Timur dan Selatan.
Terdapat beberapa lagi etnik lain seperti Tajik, Hazara, Uzbek, Aimaq, Turkmen, Baloch, Pashai dan Nuristani.
Faktor kepelbagaian etnik inilah yang menjadikan solusi utama bagi perpaduan dan keharmonian rakyat adalah melalui meja rundingan. Peperangan akan memecah-belahkan rakyat dan akan terus menghancurkan negara.
Taliban adalah istilah bahasa tempatan yang bermaksud pelajar. Gerakan ini diasaskan pada 1994 dalam rangka menyelamatkan negara mereka daripada penguasaan Rusia dan Amerika Syarikat (AS).
Mereka juga tidak setuju kehadiran ramai kelompok Islam dari luar untuk menghalau musuh. Walhal mereka yakin keupayaan sendiri.
Apabila mereka berjaya menguasai Afghanistan, mereka telah mengambil langkah yang dianggap radikal pada masa itu. Taliban tidak ada pengalaman mentadbir, tidak menguasai sepak terajang politik antarabangsa dan ilmu yang cukup bagi memerintah negara. Selain itu, Taliban juga menghadapi tekanan ekonomi.
Dalam masa yang sama mereka didakwa melaksanakan peraturan Islam yang sempit dan rigid. Sehingga wanita tidak dibenarkan keluar rumah, lelaki diharamkan mencukur janggut selain merobohkan satu tinggalan lama Buddha di Bamiyan.
Dengan kekuatan 60,000 pejuang, mereka berjaya mempertahankan wilayah mereka walaupun Kabul dan beberapa bandar lain dikuasai oleh AS dan sekutunya.
Laporan pada 2018 menyebut Taliban berjaya menguasai 45% daripada wilayah Afghanistan. Pemimpin utama Taliban adalah Mullah Mohammed Omar yang dilantik sebagai amir pertama Taliban.
Pada 2015, Mullah Akhtar Mohammad Mansour menggantikan beliau. Sejak 2016, Mawlawi Haibatullah Akhundzada dilantik amir yang baru sehingga sekarang.
Kelemahan tentera proksi Barat menyebabkan wujudnya kekosongan penguasaan ketenteraan pasukan antarabangsa yang diisi oleh Taliban sehingga Mei 2021.
Apakah ada muslihat AS mengundurkan tenteranya dari Afghanistan mulai 31 Ogos ini selepas 20 tahun berperang?
Timbul persoalan mengapa Taliban dapat menguasai Afghanistan dalam masa yang singkat (Mei-Ogos).
Antara isu utama mengapa rakyat menolak pemimpin Afghanistan sedia ada adalah kerana gagal mentadbir tanpa rasuah.
Rasuah dikatakan jadi amalan pegawai kerajaan daripada yang paling rendah sehinggalah pemimpin tentera dan pegawai tinggi kerajaan.
Peraturan boleh diubah bergantung berapa banyak rasuah yang diberikan.
Terdapat juga dakwaan, ada kalangan pemimpin dahulu yang membawa lari wang tunai RM210 juta apabila keluar dari Afghanistan baru-baru ini. Begitu juga dakwaan bekas presiden yang membawa lari wang lebih RM7.4 juta dengan empat buah kereta.
Kejayaan Taliban 2.0 dalam siri pertembungan dengan pihak kuasa besar dan pemerintah tempatan menjadikan mercu tanda utama bagaimana mereka berjaya menggunakan slogan menghalau kuasa luar dan konco-konconya. Seterusnya menentang rasuah bagi mengembalikan kuasa mereka dalam krisis terbaharu ini.
Oleh sebab itu, apabila AS mengisytiharkan pengunduran askarnya, maka Taliban dengan mudah dapat menguasai seluruh wilayah kecuali Kabul.
Taliban memilih tidak masuk ke Kabul kerana berharap mengadakan perbincangan bagaimanakah cara terbaik meneruskan pentadbiran negara berasaskan kepada semangat kerjasama antara pihak mereka dengan pemerintah sedia ada.
Sejak menguasai beberapa bandar termasuk Kabul pada 15 Ogos lalu, kumpulan Taliban dilihat tonjol imej sederhana. Adakah ini dapat menarik sokongan rakyat tempatan?
Mullah Alim, antara pemimpin utama Taliban membuat beberapa perisytiharan penting dalam tempoh yang genting ini.
Antaranya, mereka berjanji menghalau semua rakyat asing dari tanah air mereka. Ini boleh kita umpamakan sebagai janji Taliban 2.0
Tentera AS diberi kata dua sama ada mereka dibunuh atau keluar sebelum atau pada 31 Ogos ini jika mahu selamat.
Mereka juga bersedia untuk menolak kerjasama dengan al-Qaeda dan ISIS termasuk ISIS-Khurasan (ISIS-K).
Ini adalah langkah terbaik bagi membuktikan kesungguhan mereka membina negara atas keupayaan sendiri dan kekuatan anak tempatan.
Pertembungan antara ISIS dan al-Qaeda juga digunakan oleh Taliban bagi menghalau kedua-dua kumpulan ini. Ia sesuai dengan janji Taliban dengan pihak AS di Qatar atas nama menentang pengganas antarabangsa.
Difahamkan Taliban akan melantik wakil pelbagai kaum dan etnik bagi membentuk kerajaan baru ini. Usaha ini dilihat dapat mengurangkan ketegangan antara kaum yang menjadi bom jangka jika tidak diuruskan dengan baik.
Hasil kejayaan Taliban 2.0 didapati gerakan mereka lebih matang dan inklusif terutama selepas melalui pengalaman 20 tahun berdepan dengan kuasa AS dan pemerintah tempatan yang korup.
Mereka dikatakan lebih pragmatik dan lebih bertolak-ansur hasil pengalaman pahit rakyat sepanjang tempoh yang lama. Mereka juga menjanjikan wanita kedudukan yang lebih baik dalam pentadbiran negara dan pendidikan.
Pengampunan umum juga diisytiharkan kepada semua pegawai kerajaan dulu dan tentera luar yang setia kepada kerajaan yang baru. Tentera Taliban juga diingatkan supaya tidak mengambil tindakan tidak patuh syariah.
Mereka juga berjanji menghapuskan kegiatan haram yang lain terutama penghasilan dadah. Perlu diketahui penghasilan bunga popi terbesar dunia datangnya dari Afghanistan apabila tanah seluas 250,000 hektar ditanam dengan popi.
Ada penganalisis berpendapat, Taliban 2.0 berubah daripada Taliban yang dulu bukanlah kerana mereka lebih sederhana dalam pendekatan Islam mereka.
Sebaliknya mereka tidak mahu mengulangi kesilapan yang lalu terutama memberi sokongan membuta-tuli kepada gerakan al-Qaeda yang menyebabkan mereka kehilangan kuasa.
Buat masa in, tindakan mereka dilihat berjaya menarik sokongan penduduk tempatan.
Bagaimana seharusnya penerimaan masyarakat antarabangsa dalam isu Taliban?
Antara isu utama yang dibincangkan adalah apakah strategi kerajaan Taliban dengan negara-negara jiran. Perlu difahami, Afghanistan berjiran dengan Iran, Pakistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Tajikistan dan China.
Dalam konteks kerjasama serantau, Afghanistan menyertai Organisasi Kerjasama Shanghai (The Shanghai Cooperation Organisation atau SCO) yang berpusat di Shanghai, China mulai Jun 2001.
Sebagai salah sebuah anggota pemerhati SCO, kita mengharapkan pelbagai pihak sedia menerima kewujudan negara baru Afghanistan.
Kerjasama ini boleh dimanfaatkan oleh Taliban bagi mengimbangi kekusutan ekonomi selepas PBB dan Dana Matawang Antarabangsa (IMF) menghentikan bantuan kepada Taliban.
Hal ini perlu difahami kerana SCO merangka kerjasama dalam semua aspek (politik, perdagangan, budaya, teknologi, pendidikan dan lain-lain).
Jika pihak AS gagal mengupayakan rakyat Afghanistan selepas mereka berada di sana selama 20 tahun, tidak salah untuk kita memberi masa dan peluang kepada Taliban dengan mengambil sikap tunggu dan lihat.
Perlu juga ditegaskan al-Qaeda dan ISIS adalah ciptaan AS bagi menentang Rusia dan fahaman komunis.
Usaha Barat menolak Taliban akan memberi kesan yang amat negatif kepada hubungan antara dua tamadun besar dunia, Islam dan Barat.
Amat tepat apabila kita membaca ungkapan pengkaji Barat yang menegaskan Afghanistan is the graveyard of the Empires (Afghanistan adalah kubur bagi semua kuasa besar). Sebabnya, semua kuasa besar gagal menguasai bumi bertuah ini.
Media antarabangsa banyak memberi imej antagonis atau pengganas kepada Taliban. Benarkah dakwaan itu?
Dapat saya simpulkan maklumat tentang Taliban banyak dipengaruhi oleh persepsi Barat yang banyak negatif. Persoalannya, bagaimana atau dimana nak dapat maklumat tepat berkaitan apa yang berlaku di Afghanistan terutama isu Taliban.
Sebabnya apabila kita baca sumber berita dari barat sama ada BBC, CNN, AFP, Reuters dan lain-lain mereka letak label atau polisi mereka adalah untuk label umat Islam secara umum sebagai pengganas atau fundamentalis.
Sebagai alternatif sekurang-kurangnya kita kena rujuk TRT World dari Turki dan al-Jazeera. Sebabnya analisis berita mereka lebih seimbang dengan apa yang sebenarnya berlaku.
Saya harap media kita juga dapat membaca maklumat daripada kedua-dua sumber ini untuk memberi kefahaman yang lebih baik.
Kalau begitu, Taliban sebenarnya adalah penyelamat Afghanistan?
Benar. Kalau dilihat kepada kehadiran Taliban, mereka sebenarnya adalah tentera pembebasan rakyat Afghanistan. Matlamatnya untuk bentuk kerajaan yang dipimpin oleh pemimpin tempatan. Sebuah negara yang dibangunkan semula atas dasar dan kepentingan rakyat tempatan.
Ada yang salah anggap Taliban sebagai penjajah sedangkan sebenarnya ia adalah masyarakat tempatan.
Mereka mewakili 48 peratus etnik Pashtun yang menjadi penduduk tempatan dan rakyat Afghanistan sejak dahulu.
Mereka cuba membebaskan semula rakyat yang dijajah. Penjajahan cuba dilakukan oleh British sebelum Perang Dunia Pertama, begitu juga Rusia dan yang dilakukan oleh AS kira-kira 20 tahun lalu.
Taliban 1.0 memang terlalu banyak kelemahan dari segi diplomasi politik dan kekurangan pengalaman praktikal mentadbir. Namun, Taliban 2.0 yang ada sekarang alhamdulillah.
Mereka telah dididik, didedahkan dan banyak belajar tentang perhubungan antarabangsa selama dua ke tiga tahun duduk di Qatar. Mereka sudah tahu bagaimana nak berinteraksi dengan kuasa besar seperti China, AS dan Rusia.










