TANGGUNGJAWAB menjaga negeri yang terletak di sempadan negara Malaysia-Thailand seperti Perlis bukannya sesuatu yang mudah untuk digalas oleh Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad.
Selain perlu menjaga ketenteraman dan mengawal keselamatan dalam negeri, jentera di bawahnya juga perlu sentiasa peka dengan aktiviti jenayah di sempadan.
Lebih-lebih lagi penyeludupan dalam kalangan sindiket antarabangsa merentasi dua negara ini.
Tambahan pula, negeri paling utara di tanah air ini terkenal dengan aktiviti penyeludupan daun ketum.
Apabila Thailand kini ‘menghalalkan’ tumbuhan tersebut di negara itu, cabaran mengekang aktiviti penyeludupan bakal lebih mencabar.
Namun, Surina sama sekali tidak berputus asa dalam mengetuai kontinjen Perlis memerangi secara habis-habisan aktiviti penyeludupan tersebut.
Surina berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi mengekang aktiviti penyeludupan daun ketum.
Ini termasuk menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam operasi menebang pokok ketum di kawasan Felda di negeri ini.
Menurutnya, tindakan tersebut dilaksanakan atas perjanjian dengan Felda yang menghalang peneroka untuk mengusahakan tanaman yang boleh memudaratkan seperti pokok ketum serta ganja dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11 (4), Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960.
Katanya, operasi menebang pokok ketum melibatkan Felda Mata Ayer, Felda Rimba Mas dan Felda Chuping sebelum ini ternyata berjaya mengurangkan jumlah daun ketum yang dihasilkan di negeri ini.
“Bekalan daun ketum di Perlis ketika ini sudah tidak banyak hasil daripada tindakan menebang pokok di kawasan Felda pada tahun lalu.
“Selain itu, kita juga sentiasa membuat pemantauan dan berhubung dengan pihak Felda supaya peneroka ini tidak cuba untuk menanam semula pokok tersebut di tanah mereka,” katanya.

Jelas Surina, walaupun bekalan ketum di negeri ini tidak banyak kerana tiada kebun ketum yang besar namun pihaknya masih berdepan dengan aktiviti penyeludupan bahan tersebut yang dibawa masuk dari Kedah sebelum dibawa ke lorong-lorong tikus di negeri ini untuk diseludup ke negara jiran.
Beliau berkata, Perlis menjadi laluan bagi para penyeludup untuk membawa keluar daun ketum ke Thailand yang mendapat permintaan sangat tinggi.
Katanya, jika penguatkuasaan dan rampasan sudah dapat dilakukan di Kedah, maka jumlah yang masuk ke Perlis dapat dicegah lebih awal.
“Kita lihat pihak penguatkuasa di Kedah juga giat memainkan peranan dengan membuat rampasan untuk sama-sama membanteras aktiviti terlarang ini.
“Tawaran harga yang lumayan di Thailand sehingga boleh mencecah RM180 sekilogram menjadi tarikan kepada aktiviti penyeludupan ini walaupun dengan penguatkuasaan yang ketat,” katanya.
Tambah Surina, pihaknya turut bergantung kepada kepakaran dan kekuatan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan darat Malaysia-Thailand.
“Cabaran utama di sempadan adalah kita terpaksa berdepan dengan 44.55 kilometer (km) kawasan sempadan yang tidak berpagar.
“Jadi, sudah tentu banyak lorong tikus di sana. Bila kita menemui sesuatu jalan itu, mereka akan mencari jalan yang lain pula.
“Oleh itu, kita memang perlu lebih bergantung kepada kekuatan pihak PGA di sana,” ujarnya.
GUNA DRON
Beliau berharap peralatan teknologi dron berkuasa tinggi seperti diumumkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim baru-baru ini yang akan digunakan untuk mengawal kawasan sempadan tidak berpagar dapat membantu pihaknya mengawal kegiatan jenayah di sempadan negara.
Sementara itu, Surina memberitahu, pihaknya juga tidak melupakan kawalan di jalan laut di Kuala Perlis yang dijadikan laluan alternatif penyeludup daun ketum untuk membawa keluar bahan terlarang tersebut ke negara jiran.

Polis juga sentiasa memantau 59 jeti haram pesisir Kuala Perlis yang dilaporkan sebelum ini termasuk jeti-jeti yang tidak digunakan kerana penyeludup akan mengambil peluang untuk kembali aktif di sana.
“Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sentiasa mengetatkan pemantauan di perairan negara dan ini dapat dilihat melalui pelbagai kejayaan rampasan selama ini,” katanya.
Menurutnya, sejak awal tahun ini sehingga 25 Ogos lalu, sebanyak 121,141 kg daun ketum bernilai kira-kira RM1.24 juta dirampas di negeri ini.
Manakala rampasan daun ketum bagi keseluruhan tahun lalu pula adalah sebanyak 183,265 kilogram yang bernilai RM1.83 juta.











