Seni ukir penyeri rumah kayu tradisional - Utusan Malaysia

Seni ukir penyeri rumah kayu tradisional

MOHD. Nur Hamidi Haron dan isteri, Roshasidayati Saidin gigih memartabatkan khazanah warisan Melayu. – UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAR lagi dalam ingatan pengukir kayu, Mohd. Nur Hamidi Haron, 46, saat dipelawa salah seorang pelangggannya membina semula dan mengukir sebuah rumah kayu tradisional.

Rumah kayu berusia 100 tahun itu dipindahkan dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke Sungai Petani, Kedah untuk merealisasikan impian ibu pelanggannya itu yang menginginkan sebuah rumah kayu di tepi sawah.

Menurut Mohd. Nur Hamidi yang mula mengukir sejak belasan tahun, pengalaman seumpama itu sangat berharga dan demikian nilai seni tersebut yang diibaratkan hanya jauhari mengenal manikamnya.

Berkecimpung secara serius dalam bidang seni ukir kayu sejak 2018 setelah meninggalkan pekerjaan di sebuah syarikat automotif, beliau terbiasa dengan sentimen nilai sentimental pelanggannya seperti itu.

“Nilai-nilai sentimental seperti ini yang membuatkan saya bersemangat untuk terus mempertahankan seni budaya Melayu ini,” kata pemilik syarikat Bina Ukir Global ini ketika ditemui di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

UKIRAN bermotif bunga dan tumbuhan menjadi pilihan pengukir kayu.

Minat Mohd. Nur Hamidi dalam bidang seni ukir kayu itu turut dikongsi dengan isteri, Roshasidayati Saidin, 45, yang kini gigih mengembangkan khazanah lama itu.

Sepanjang berkecimpung dalam bidang itu, Mohd. Nur Hamidi membina dan mengukir puluhan rumah kayu tradisional termasuk di Kompleks Tahfiz Darul Murtadha di Sungai Jagung dekat Sungai Petani, dua tahun lepas.

Kompleks tersergam indah dengan rumah berukiran kayu itu sentiasa menarik perhatian ramai.

Katanya, pembinaan kompleks itu melibatkan sebuah rumah tinggi, dua chalet, satu balai dan empat rumah penginapan pelajar.

“Setiap rumah lengkap dengan ukiran dan mengambil masa kira-kira sembilan bulan. Masa lama diambil kerana setiap rumah mempunyai ukirannya,” katanya.

Jika dilihat daripada hasil kerjanya, Mohd. Nur Hamidi gemar memilih motif bunga dan tumbuhan dalam ukir tembus terutama pada kekisi, cucur atap, sekatan dan pagar musang di anjung rumah.

Teknik ukiran yang hanya terdapat di istana lama dan rumah bangsawan suatu ketika dahulu menambah keunikan sesebuah rumah tradisi.

Ukiran seperti ini bukan sahaja sekadar hiasan menyerikan rumah malah untuk membantu pengudaraan yang baik di rumah berkenaan.

“Sebab itu rumah-rumah kayu seperti ini sejuk sahaja,” kata Mohd. Nur Hamidi.

Teknik ukir layang jadi pilihan

Pengukir ini juga memilih teknik ukir layang untuk kayu pada bahagian tiang dan pintu rumah.

Untuk proses ukiran kayu, awalnya dia melakar motif yang diinginkan pelanggan selanjutnya memahat yang mengambil masa empat hari hingga seminggu bergantung kepada jenis atau ramai motif.

Pemilihan kayu memainkan peranan katanya, hasil hutan seperti cengal, merbau, meranti dan jati menghasilkan karya yang berkualiti dalam penghasilan ukiran kayu.

Untuk mendapatkan kayu tersebut, Mohd. Nur Hamidi akan mencari rumah kayu lama yang ingin dijual.

“Kayu berkualiti penting untuk memastikan ia tahan lama,” katanya.

Pertimbangan ekonomi menjadi alasan kenapa seni ukiran pada rumah tradisi seperti ini tidak berkembang.

Selain menghasilkan sesuatu karya itu memerlukan masa lama dan ketekunan.

“Boleh dikira dengan jari berapa ramai pengukir kayu seperti ini di Kedah.

“Banyak yang meminati seni ini tetapi tidak mampu. Perkara ini yang saya ambil kira kerana saya akan menghasilkan sesuatu ukiran itu berdasarkan bajet mereka,” katanya.

RUMAH tinggi di Kompleks Tahfiz Darul Murtadha di Sungai Jagung Sungai Petani, Kedah.

Tambahnya, walaupun keuntungan tidak banyak namun dia masih berpuas hati kerana dapat berkongsi hasil seni itu dengan peminat lain.

Tidak dapat dinafikan rumah kayu tradisional yang kaya dengan seni ukir itu hampir pupus kerana semakin kurang dibina barangkali antara alasannya kekurangan tukang ukir yang mahir lantas kesungguhan Mohd. Nur ini Hamidi wajar dipuji.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN