Risiko bawah 17 tahun dijangkiti Covid-19 - Utusan Malaysia

Risiko bawah 17 tahun dijangkiti Covid-19

Seorang kanak-kanak melakukan saringan Covid-19 secara percuma di Dewan Serbaguna Bukit Antarbangsa di Ampang Jaya pada 18 Mei 2021. -UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Wabak Covid-19 telah menjangkiti seramai 298,364 kanak-kanak dan remaja sejak bermula pandemik pada 25 Januari tahun lalu di negara ini.

Virus itu telah pun mengorbankan sejumlah 40 individu golongan tersebut dalam kumpulan umur bayi hingga 17 tahun dalam tempoh kira-kira 20 bulan sehingga 25 Ogos lalu.

Jumlah itu sekali gus menunjukkan peningkatan drastik kira-kira 95 peratus bagi kes positif yang dicatatkan untuk lapan bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak 285,744 kes berbanding hanya 12,620 kes dengan enam kematian direkodkan sepanjang tahun lalu, selain angka terbanyak berlaku pada bulan ini berjumlah 109,192 kes.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan (KKM) diperoleh Utusan Malaysia, daripada jumlah itu, majoriti pesakit dalam kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun iaitu seramai 102,278 orang dengan lapan kematian direkodkan, diikuti pesakit dalam kalangan umur 13 hingga 17 tahun iaitu 86,131 orang melibatkan 16 kematian.

Turut menyedihkan, wabak berkenaan mengorbankan 16 bayi dan kanak-kanak dalam kumpulan umur bawah empat tahun dengan sejumlah 77,881 pesakit yang dijangkiti wabak berkenaan, manakala sebilangan 31,574 kes pula dalam peringkat umur lima hingga enam tahun namun tiada kematian direkodkan.

“Sebanyak 148 kes kritikal yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dalam golongan itu, dengan hanya sembilan kes sahaja direkodkan pada tahun lalu.

“Daripada jumlah pesakit dalam golongan tersebut yang dijangkiti, 64 peratus adalah tidak bergejala, manakala 36 peratus ada gejala. Bagi tempoh bulan Julai tahun ini sahaja, mereka yang berada dalam Kategori 1 – 58.17 peratus; Kategori 2 (41.49 peratus), Kategori 3 (0.27 peratus); Kategori 4 (0.05 peratus) dan Kategori 5 (0.03 peratus),” kata KKM di sini semalam.

Menurut KKM, hanya 17.6 peratus daripada kes kanak-kanak ini berpunca daripada kluster seperti kluster komuniti atau kluster pendidikan.

Katanya, sebanyak 47.4 peratus pula dikesan daripada saringan kontak rapat dan kebanyakan kanak-kanak ini mendapat jangkitan daripada ibu atau bapa atau ahli keluarga yang lain.

Justeru, ibu bapa perlu berperanan sebagai pelindung kepada kanak-kanak dan dinasihatkan tidak membawa golongan tersebut ke tempat-tempat yang berisiko seperti pasar raya, pasar awam dan tempat sesak yang lain.

“Hanya wakil keluarga perlu keluar untuk membeli barang keperluan keluarga. Gunakan pembelian atas talian bagi membantu mendapatkan keperluan seharian.

“Pantau pergerakan anak-anak remaja agar tidak mengunjungi tempat-tempat awam yang sesak dan melibatkan aktiviti perhimpunan orang ramai. Anak-anak perlu dinasihatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka apabila keluar dari rumah,” katanya.

Mengulas lanjut, KKM berkata, pada masa ini, kanak-kanak bawah 12 tahun belum layak untuk mendapat vaksin, maka ibu bapa dan orang dewasa di sekeliling mereka perlu mendapatkan vaksin untuk melindungi kanak-kanak ini.

Bagaimanapun, kerajaan dalam perancangan untuk memberikan vaksin kepada remaja berumur 16 hingga 17 tahun dan kanak-kanak 12 hingga 15 tahun yang mempunyai komorbid melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN