Malaysia sudahpun mengecap kemerdekaan ke 64 tahun namun kini kita berdepan dengan musuh baharu lebih berbahaya iaitu pandemik yang banyak merubah rutin kehidupan kita.
Begitupun, apa yang perlu dilakukan kini adalah mencari jalan ke arah memerdekakan jiwa dan minda.
Berikut antara tips boleh diamalkan dalam memerdekakan jiwa yang gusar, yang dapat membawa kehidupan lebih bahagia:
Lupakan yang lepas
Cari waktu dan kaedah untuk berdamai dengan perkara lepas. Tinggalkan masa lalu supaya tidak mengganggu gugat kehidupan masa kini dan masa depan anda.
Masa lepas tidak menggambarkan masa hadapan apatah lagi tindakan dan kepercayaan anda. Masa lepas hanyalah sejarah dan waktu untuk anda hidup, bertindak dan membuat perubahan adalah masa kini dan hari ini.
Jangan fikir apa kata orang tentang kita
Selalu ingat apa yang orang lain fikir tentang anda bukanlah urusan anda. Yang paling penting adalah sebanyak mana anda hargai diri dan mensyukurinya.
Dari suatu sudut ia nampak agak keakuan tetapi jika melihat ia daripada pandangan positif, sayangi diri akan melangkaui orang lain.
Sebahagian besar parut luka yang ada pada anda berpunca dari luar seperti kata-kata yang boleh menyakitkan lebih daripada senjata. Jujur dengan diri sendiri dan lupakan apa orang kata tentang anda.
Apabila berjaya melepaskan diri daripada kebimbangan terhadap pandangan orang luar, anda boleh menumpukan tenaga kepada perkara lain yang dapat memajukan anda.
Beri masa untuk sembuh
Beri sedikit masa untuk sembuhkan kedukaan. Lama kelamaan rasa sakit akan berkurang dan bekas parut ini akan menyedarkan siapa diri anda.
Bersahabatlah dengan kesabaran agar dapat berkembang di atas peristiwa sedih yang memberi tekanan kepada langkah seterusnya.
Bertanggungjawab atas kebahagiaan
Ini adalah kehidupan anda. Jangan bimbang tentang perkara yang di luar kawalan dan lakukan apa yang anda mahukan untuk diri anda.
Kehidupan ini terlalu singkat untuk dipenuhi perkara yang anda tidak boleh ubah. Anda menentukan kebahagiaan sendiri. Tempuhi semua risiko, yang penting anda harus membahagiakan diri terlebih dahulu.
Apa yang anda ingin hanya akan dipenuhi oleh diri sendiri. Rasai dalam diri, sentuh hati dan di situlah kebahagiaan.
Elak membanding
Jangan sesekali membandingkan diri anda dengan orang lain kerana anda tidak tahu bagaimanakah perjalanan hidup mereka.
Adakah hidup mereka lebih indah dari anda atau lebih sengsara. Hanya anda dan mereka sahaja yang merasainya. Memang mudah untuk menghakimi orang lain tanpa mengetahui liku perjalanan mereka.
Tidak ada faedahnya menilai diri dengan orang lain dan lebih teruk lagi ia hanya akan menyakiti diri sendiri jika obsess dengan kehidupan orang lain.
Cuba fokuskan kepada masa dan tenaga untuk perjalanan hidup seterusnya.
Menurut Mark Twain perbandingan adalah pemusnah kebahagiaan. Semakin kurang membuat perbandingan, semakin tinggi keupayaan untuk berempati.
Bertemulah dengan pelbagai jenis manusia supaya anda lebih rasa bersyukur.
Jordan Peterson berkata: “Jangan bandingkan diri anda dengan orang lain tetapi bandingkan diri anda hari ini dan dengan diri anda yang semalam”.
Jangan terlampau berfikir
Sudah sampai masanya untuk berhenti berfikir terlalu banyak kerana kadang-kadang persoalan ini tidak ada jawapannya, tidak boleh dijawab dan tidak pernah ada jawapannya.
Semakin meningkat usia semakin banyak yang akan lalu di fikiran seperti memikirkan tarikh akhir tugasan atau urusan peribadi atau mungkin juga urusan keluarga.
Kadang-kala ada baiknya jika tidak mempunyai jawapan untuk setiap masalah itu. Percaya pada diri sendiri bahawa semuanya akan berjalan seperti sepatutnya pada waktu yang tepat.
Bawa bertenang
Dunia ini memang penuh dengan masalah dan bukan tanggungjawab anda untuk menyelesaikan semua masalah itu. Oleh itu, bertenang dan senyum. Ia dapat meningkatkan kebahagiaan dalaman.
Fikir perkara positif dan nikmati hidup dengan cara anda sendiri akan buat anda bahagia. Cuba untuk cipta satu pemikiran positif setiap hari.
Setiap hari adalah hari yang baharu dan pastinya ada sesuatu dapat dikenang. Tenang akan menjadikan hidup lebih indah dan senyum dapat mencerahkan hari anda.
Berhak bahagia
Jangan penuhi kehidupan yang pendek ini dengan perkara negatif kerana ia hanya akan mempengaruhi kualiti hidup dan cara anda melihat serta melayan orang di sekeliling.
- Penulis dari Pusat Kaunseling Universiti, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










