Dunia moden dikejutkan dengan peralihan kuasa di Afghanistan yang kini berada di tangan kumpulan Taliban. Hari ini Afghanistan dilihat sebagai negara yang mundur kerana kesan siri peperangan yang panjang.
Namun sekitar 800 tahun yang lampau, dunia menyaksikan keajaiban ilmu yang terpancar hebat daripada sosok tubuh yang tinggal di Afghanistan yang digelar sebagai Fakhruddin al-Roziyy.
NAMA, TARIKH LAHIR
Nama beliau ialah Muhammad bin Umar bin al-Husayn bin al-Hasan bin Aliyy al-Roziyy. Beliau dilahirkan pada bulan Muharam.
Namun berlaku perbezaan pandangan dalam kalangan para sejarawan terhadap hari dan tahun sebenar kelahiran beliau.
Dari sudut tarikh kelahiran, ada pandangan yang menyatakan beliau lahir pada 15 Ramadan. Ada yang berpandangan beliau lahir pada 25 Ramadan dan ada juga yang mengatakan beliau lahir pada 10 terakhir Ramadan.
Dari sudut tahun kelahiran pula, ada pandangan yang menyatakan bahawa al-Imam Fakhruddin al-Roziyy lahir pada tahun 543 Hijrah.
Namun pandangan yang kuat adalah beliau lahir pada tahun 544 Hijrah.
Al-Imam Fakhruddin al-Roziyy lahir di Ray sehingga beliau digelar sebagai al-Roziyy yang bermaksud ‘orang Ray’. Ray hari ini terletak di Tehran, Iran. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang sangat mementingkan ilmu pengetahuan.
Ayahanda beliau adalah ulama mazhab Imam al-Syafie yang terkemuka iaitu Diyauddin Umar bin al-Husayn bin al-Hasan al-Roziyy. Beliau juga tokoh yang terkenal dalam ilmu akidah aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
PARA GURU
Para sejarawan telah menyatakan sejumlah para ulama yang mendidik al-Imam Fakhruddin al-Roziyy.
Antaranya, ayahanda beliau iaitu al-Imam Dhiyauddin Umar al-Roziyy. Sang ayah telah mempelajari ilmu akidah daripada Abu al-Qosim Salman bin Nasir al-Ansoriyy yang merupakan murid Imam al-Haromayn al-Juwayniyy.
Al-Imam Dhiyauddin Umar juga mempelajari fiqh al-Imam al-Syafie daripada al-Imam Abu Muhammad al-Baghowiyy atau nama asalnya al-Husayn bin Mas’ud bin Muhammad yang merupakan murid al-Qodhi Husayn.
Ayahanda al-Imam Fakhruddin al-Roziyy memberi kesan yang sangat mendalam terhadap keilmuan al-Imam Fakhruddin al-Roziyy sehingga saya secara peribadi tidak menemui sebarang catatan al-Imam Fakhruddin al-Raziyy yang menyatakan dengan jelas nama guru-guru beliau melainkan ayahandanya.
Sekiranya kita membaca tafsir beliau, kita akan dapati kenyataan seumpama “… ayahku dan guruku Abu Hafs Umar bin al-Husayn al-Roziyy”. Ayahnya terus mencurahkan ilmu kepada beliau sehinggalah menghadap ilahi pada tahun 559 Hijriah saat si anak berusia sekitar 15 tahun.
Al-Imam Fakhruddin al-Roziyy mempelajari ilmu fiqh dan ilmu akidah daripada ayahanda beliau secara bersanad. Dari sudut ilmu akidah, al-Imam Fakhruddin al-Roziyy mempelajarinya daripada ayahnya.
Ayah beliau mempelajarinya daripada Abu al-Qosim Salman bin Nasir al-Ansoriyy, daripada Imam al-Haromayn al-Juwayniyy daripada al-Ustaz Abu Ishaq al-Isfiroyiniyy daripada al-Syeikh Abu al-Hasan al-Bahiliyy daripada al-Imam Abu al-Hasan Aliyy bin Ismail al-As’ariyy selaku orang yang mengembangkan akidah ASWJ.
Dari sudut fiqh pula, al-Imam Fakhruddin al-Roziyy mempelajarinya daripada ayahnya yang mempelajarinya daripada Muhyi al-Sunnah al-Baghowiyy daripada al-Qodhi Husayn al-Marwarruziyy daripada al-Qoffal al-Marwaziyy daripada Abu Zayd al-Marwaziyy daripada Abu Ishaq al-Marwaziyy daripada Ibnu Suroyj daripada Abu al-Qosim al-Anmatiyy daripada al-Imam al-Muzaniyy dan daripada al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafie.
Selain itu, al-Imam Fakhruddin al-Roziyy turut menuntut ilmu daripada sejumlah para ulama besar di zaman beliau.
ANTARA KARYA
Al-Imam Fakhruddin al-Roziyy menghasilkan amat banyak karya sama ada dalam bahasa Arab atau bahasa Parsi. Sehingga ada sejarawan yang menyatakan jumlah karya yang ditulis beliau berjumlah 200 buku.
Walaupun begitu sehingga ke saat ini, tidak semua karya tulisan beliau sampai kepada umum. Apatah lagi setelah berlaku pemusnahan kitab-kitab karangan para ulama yang begitu banyak pada zaman peperangan Tatar yang telah menjatuhkan kerajaan Abbasiah.
Berikut adalah sebahagian buku yang disahkan benar-benar hasil karangan al-Imam Fakhruddin al-Roziyy dan telah dicetak:
Al-Arba’in Fi Usul al-Din, Irsyad al-Tolibin Ila al-Manhaj al-Qowim Fi Bayan Manaqib al-Imam al-Shafi’iyy, Asror al-Tanzil Wa Anwar al-Ta’wil, I’tiqodat Firoq al-Muslimin Wa al-Musyrikin, Ta’sis al-Taqdis, al-Tafsir al-Kabir (turut dikenali dengan nama Tafsir al-Imam al-Roziyy atau al-Tafsir al-Kabir atau Mafatih al-Ghoyb), al-Riyadh al-Muniqoh, Su’al al-Nasroniyy Li al-Roziyy, Sharh ‘Uyun al-Hikmah, ‘Ismah al-Anbiya, Lawami’ al-Bayyinat Fi al-Asma Wa al-Sifat, al-Mabahith al-Masyriqiyyah Fi Ilm al-Ilahiyyat Wa al-Tobi’iyyah, al-Mahsul Fi ‘Ilm al-Usul, al-Matolib al-‘Aliyah, al-Ma’alim Fi Ilm Usul al-Fiqh, Munazorot Fakhriddin al-Roziyy Fi Bilad Ma Waro al-Nahr dan Nihayah al-‘Uqul Fi Diroyah al-Usul.
Berikut pula adalah sebahagian buku yang disahkan hasil karangan al-Imam Fakhruddin al-Roziyy tetapi masih belum dicetak sehingga ke hari ini:
Al-Burhan, al-Kholq Wa al-Ba’th, al-Tibb al-Kabir, al-Qiyas, al-Muharror Fi Daqoiq al-Nahw, al-Mulakhhos dan al-Huda.
Berikut pula adalah sebahagian buku yang berkemungkinan besar adalah hasil karangan al-Imam Fakhruddin al-Roziyy:
Al-Isyaroh Fi Ilm al-Kalam, Kitab al-Nafs Wa al-Ruh Wa Sharh Quwahuma Fi Ilm al-Akhlaq, Muhassil Afkar al-Mutaqoddimin Wa al-Mutaakhkhirin Min al-‘Ulama Wa al-Hukama Wa al-Mutakallimin, al-Masail al-Khomsun Fi Usul al-Din, Ma’alim Usul al-Din dan Muntakhob al-Mahsul Fi al-Usul.
Terdapat banyak lagi karya yang dikatakan bahawa ia adalah karya al-Imam Fakhruddin al-Roziyy seperti al-Tasyrih, Kitab al-Firosah dan al-Mantiq al-Kabir.
WAFAT
Setelah lama berkecimpung dalam dunia ilmu pengetahuan, Allah telah memanggil al-Imam Fakhruddin al-Roziyy pulang menghadap-Nya pada 1 Syawal tahun 606 Hijriah di Herat, Afghanistan.
Sebahagian sumber menyatakan bahawa punca kewafatan beliau adalah disebabkan diracun oleh kumpulan al-Karromiyyah iaitu satu kumpulan yang diketuai oleh Muhammad bin Karrom yang menyeru pengikutnya agar mempercayai bahawa Allah adalah berjasad dan bertempat.
Jenazah al-Imam Fakhruddin al-Roziyy disemadikan di kampung Muzdakhon yang pada hari ini berada di kawasan Herat, Afghanistan.
Selain meninggalkan karya dan ilmu yang begitu menakjubkan, al-Imam Fakhruddin al-Roziyy juga meninggalkan harta yang begitu banyak untuk diwarisi oleh keluarga.
Beliau meninggalkan 80,000 keping dinar emas iaitu emas seberat 340 kilogram yang nilainya pada hari ini adalah lebih RM90 juta tidak termasuk aset-aset yang lain. Al-Fatihah buat beliau.
- PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










