ARAU: Denda lebih tinggi serta kempen kebersihan khususnya di perkampungan nelayan perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat itu.
Selain itu, perangkap sampah juga dicadangkan di muara Sungai Kuala Perlis di sini bagi mengelak sampah hanyut ke laut sehingga mendatangkan ancaman serta menjejaskan eko sistem laut yang menjadi habitat hidupan marin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Teknologi Marin, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Rosnani Nazri, 37, berkata, sebuah pasukan khas melibatkan agensi penguatkuasaan di laut juga perlu diadakan bagi memantau bot nelayan membuang sampah di perairan.
Katanya, selain pemantauan, denda yang lebih tinggi perlu dikenakan bagi memberi peringatan serta kesedaran untuk menjaga perairan daripada tercemar.
“Punca kematian hidupan laut khususnya ikan lumba-lumba selalunya apabila spesies tersebut tercedera terkena jaring-jaring nelayan yang banyak terbuang di laut.
“Kewujudan sampah-sarap di perairan boleh memberi kesan cukup besar kepada hidupan dan ekosistem laut dan kesedaran untuk tidak membuang sampah ini perlu ada dalam diri masing-masing,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, hidupan laut bernilai tinggi terutama ikan lumba- lumba dan penyu mungkin tidak akan dapat dilihat lagi di perairan negara andai masalah pencemaran sampah di laut dan pantai negara ini tidak diatasi segera.
Kesan awal kepada masalah itu sudah dapat dilihat sekarang apabila enam insiden ikan lumba-lumba ditemukan terdampar di pesisiran pantai Kuala Perlis sepanjang bulan ini dengan tiga darinya tidak dapat diselamatkan.
Sementara itu, Pengasas Pencinta Hijau dan Hidupan Liar Perlis (PNW) Syamil Abd. Rahman berkata, fenomena itu menimbulkan persoalan sama ada perairan negara ini termasuk di Pulau Langkawi, Kedah selamat untuk hidupan marin.
Mengulas lanjut, Rosnani yang juga merupakan ketua NGO, Pahlawan Sampah Perlis berkata, peranan persatuan-persatuan nelayan juga dituntut dalam memberi kesedaran dan pendidikan dalam kalangan nelayan mengenai pencemaran sampah ini.
“Fokus pendidikan tersebut pada peringkat awal perlu ditumpi ke kawasan tertentu seperti perkampungan-perkampungan nelayan ini. Pendidikan dan kesedaran mungkin sedikit sebanyak membantu mengatasi masalah pencemaran di laut ini,” katanya. – UTUSAN










