Tegas, profesional, berdedikasi dan penuh karisma. Itu karakter yang dilihat serta ditonjolkan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
Namun di sisi lain, arwah sebenarnya seorang yang penuh humor dan sangat mementingkan masa bersama keluarga.
Farah Nabila Ayesha Abd. Rahman, 29, berkata, arwah datuknya merupakan seorang yang suka bergurau dan kelakar.
“Bila orang jumpa dia, mesti semua ingat dia seorang yang serius dan tak boleh dibawa bergurau. Tetapi hakikatnya, arwah seorang yang kuat mengusik dan memang kelakar,” kata Ayesha berbicara mengenai Allahyarham kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Ahmad Sarji meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras pada 28 Ogos lalu.
TRADISI BERI UCAPAN
Berbicara mengenai arwah datuk yang digelar Ongki, Ayesha berkata, memberi ucapan ketika sambutan hari jadi dan majlis lain bersama ahli keluarga adalah lumrah bagi datuknya.
Menurut Ayesha, menjadi kebiasaan arwah menyediakan teks ucapan setiap kali mereka berkumpul untuk majlis makan malam, majlis ulang tahun kelahiran dan sebagainya. Teks ucapan itu akan dicetak dan diedarkan kepada mereka semua.
“Memberi ucapan adalah perkara biasa namun salinan teks ucapan yang dicetak dan diberi kepada tetamu lebih-lebih lagi sekadar majlis bersama keluarga adalah perkara yang luar dari biasa.
Lagaknya seperti majlis rasmi yang dihadiri golongan ternama,” katanya tersenyum.

Walaupun datuk tidak memberitahu rasional mengedarkan ucapan itu, jauh di sudut hatinya, dia tahu, teks ucapan itu adalah suatu doa dan harapan buat individu yang menyambut hari istimewa dalam hidup, hasil naluri seorang datuk.
Ayesha adalah cucu ketiga daripada anak kedua Ahmad Sarji. Ibu, Farah Salizah Ahmad Sarji, 56, berkhidmat sebagai Ketua Komunikasi di Cempaka Schools, Cheras dan bapa, Abd. Rahman Abdullah Thani, 56, berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak.
Allahyarham memiliki lima anak, 12 cucu dan dua cicit.
TELITI
Teliti dalam kerja. Itu yang dapat digambarkan Ayesha tentang datuknya.
“Arwah datuk seorang yang sangat teliti dalam kerja, meskipun cuma memberi ucapan kepada keluarga, arwah akan memastikan perancangan teliti dilakukan.
“Apabila usaha sebegitu ditonjolkan, kami semua sangat menghargai ucapan tersebut.
“Ucapan terakhir beserta teks yang disampaikan oleh arwah adalah pada 15 September 2020 semasa hari lahirnya. Ucapan tersebut khas disampaikan untuk cucu dan cicit sahaja.
“Bila mengingati hari tersebut, baru saya sedar, dari awal arwah sudah menunjukkan salah satu tanda yang dia akan pergi,” katanya dalam nada sedih.
Menurutnya lagi, apabila arwah memberikan ucapan perkara yang paling utama arwah tegaskan adalah, “keluarga tetap nombor satu”.
HOBI MENGAMBIL GAMBAR
Bercerita mengenai hobi pula, Ayesha berkata, arwah datuknya gemar mengambil foto ahli keluarga secara rawak dan senyap-senyap. Kemudian beliau akan mencuci gambar-gambar tersebut untuk disimpan dalam album. Sebab itu, banyak gambar yang diletakkan di meja kerja arwah datuknya
Menurutnya, arwah hanya akan menggunakan kamera jenis ‘leica’ untuk menangkap gambar ini kerana hobi itu sudah sebati dalam diri beliau sejak dulu.
Baginya masa yang diluangkan bersama keluarga sangat bermakna dan perlu disimpan dalam memori digital.
Kongsi Ayesha lagi, jika pada saat itu arwah datuknya tidak membawa kamera tersebut, beliau akan menangkap gambar menggunakan telefon bimbitnya.

PESANAN UTAMA
Ayesha berkata, pesanan-pesanan utama disampaikan arwah masih segar dalam ingatannya dan semakin dia meningkat usia, dia semakin memahami apa yang dimaksudkan.
Nasihat pertama, sekiranya ada keluarga atau kenalan yang meninggal dunia, mereka yang masih hidup perlu menziarah kerana satu hari nanti giliran mereka juga akan menyusul.
“Nasihat kedua, bila ada orang sakit, kita perlu melawat orang itu. Arwah datuk saya akan memastikan dia melawat mana-mana ahli keluarga yang tidak sihat.
“Manakala nasihat yang selalu arwah tekankan ialah sentiasa taat kepada Allah dan jangan abai keluarga.
“Arwah pesan ini adalah perkara paling penting kerana bila kita berpegang pada Allah dan menyayangi keluarga, hidup akan terjamin bahagia,” ujar Ayesha.
LAGU P. RAMLEE KEMBALIKAN MEMORI
Tidak dinafikan, sesetengah lagu memang mampu membuatkan seseorang teringat akan kenangan lama.
Itulah apa yang dirasakan oleh ayah Ayesha. Beliau sentiasa teringat akan arwah setiap kali lagu Getaran Jiwa nyanyian Allahyarham Tan Sri P.Ramlee berkumandang.
“Apabila mendengar lagu tersebut, ia seolah membawa saya untuk lebih mengingati arwah, kepimpinan yang ditunjukkan serta kasih sayang yang diberi,” katanya sayu.
Berbicara mengenai datuk, tidak boleh dipinggirkan neneknya, Toh Puan Sagiyah Salikin atau lebih mesra dipanggil Nyai.
Mengenai situasi neneknya selepas pemergian suami tercinta yang dikahwini sejak 59 tahun lalu Ayesha berkata, neneknya terlalu rindukan arwah datuknya disebabkan itu dia menghadapi kesukaran untuk tidur malam.
“Setiap malam saya akan melihat ke sisi katil arwah suami dan memori bersamanya akan bermain di minda, saya sering berdoa untuk berjumpa dengannya di dalam mimpi, namun doa saya masih belum dimakbulkan,” kongsi Ayesha sayu mengenai apa yang dirasai neneknya.
Lebih terharu apabila Sagiyah berkata, ada kala dia menganggap arwah suaminya itu hanya sekadar bertugas ke luar negara dan akan kembali ke pangkuannya semula, namun dia sedar semua itu tidak lagi akan terjadi kerana suaminya telah pergi buat selama-lamanya.

MOMEN DAN MEMORI INDAH
Ayesha turut berkongsi mengenai momen paling diingati ayahnya bersama arwah datuknya adalah ketika mereka berdua pergi dan balik dari Perak menggunakan kereta klasik arwah.
“Bagi ayah itu adalah antara momen terindah kerana ayah dapat meluangkan masa berdua bersama arwah. Bagi ayah ia juga adalah momen yang kelakar kerana kereta tersebut tidak mempunyai pendingin hawa.
“Selalunya arwah akan menyambut hari lahir bersama dengan sepupu saya iaitu pada Hari Malaysia 16 September, namun mulai tahun ini… semuanya akan berubah,” luahnya sedih.
Menurut Ayesha, sepupunya, Zainal Adam Zainal Amanshah, 23, sangat rapat dengan arwah dan mereka sering bermain golf bersama. Oleh itu pemergian arwah turut memberi impak mendalam pada Adam.
Yang pergi tetap pergi yang tinggal akan hidup dengan memori.
Kata Ayesha, antara nasihat paling memberi kesan oleh datuk kepada dirinya ialah untuk sentiasa menjaga nama dan reputasi.
“Nasihat itu sebati dengan diri saya..malah untuk semua anak cucunya juga,” katanya.











