Kehilangan orang disayangi akibat Covid-19 memberi impak psikologi yang cukup besar pada kanak-kanak.
Ia mempengaruhi pembentukan personaliti si kecil apatah lagi sekiranya kehilangan itu berlaku secara tiba-tiba dan meragut ramai ahli keluarga yang lain.
Laporan statistik daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyebut sehingga 13 September lalu, seramai 4,422 murid kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat Covid-19.
Menjadi yatim atau yatim piatu pada usia masih muda, nyata memberi impak kepada psikologi dan personaliti mereka.

Sekiranya tidak diberi sokongan dalam bentuk bimbingan yang sistematik mereka boleh mengalami stres yang mendalam dan membawa kepada kemurungan. Seterusnya memberi kesan negatif kepada pembentukan personaliti anak-anak yatim.
Oleh itu, sangat penting untuk mengkaji dan menangani psikologi anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa kerana Covid-19.
Psikologi
Anak yatim adalah golongan yang perlu diberi perhatian bukan setakat keperluan fizikal tetapi juga keperluan psikologi, personaliti dan spiritual mereka.
Kehilangan ibu bapa dalam usia yang masih muda meninggalkan kesan trauma dan psikologi mendalam.
Kesan psikologi terutama dari aspek emosi iaitu mereka mengalami stres dan kemurungan terutama kepada anak perempuan.
Ketidakstabilan emosi pula boleh mengganggu pembentukan personaliti anak-anak. Mereka boleh menjadi anak yang agresif atau terlalu pendiam.
Jika terlalu pendiam dan kurang keyakinan diri pula, mengakibatkan mereka menjadi sangat pemalu hingga menyebabkan mereka ragu-ragu dalam membuat keputusan dan kurang keyakinan diri.
Keadaan ini memerlukan sokongan moral dari pihak lain terutama keluarga yang terdekat dan boleh dipercayai.
Kajian dilakukan terhadap anak-anak yatim, mendapati mereka berpersonaliti pendiam, pemendam, tabah dan rendah diri.
Kajian berkaitan emosi turut mendapati mereka mempunyai emosi sedih, gembira, takut , malu dan marah.
Hakikatnya faktor keluarga merupakan faktor penting dalam pembentukan anak-anak.
Namun bagi anak yatim, apabila kehilangan ibu bapa atau salah seorang, sudah pasti mengganggu proses tersebut dan keadaan ini boleh menyumbang kepada tekanan emosi dan membawa kemurungan jika tidak ditangani awal.
Guna pendekatan spiritual Islam
Pembentukan personaliti yang baik, memerlukan proses intervensi tersusun dan sistematik serta sesuai dengan psikologi mereka.
Proses intervensi spiritual Islam yang menggunakan pendekatan agama amat sesuai dipraktikkan untuk anak yatim agar jiwa mereka menjadi lebih tabah, kuat dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Proses intervensi dapat dilakukan dengan mengenal pasti terlebih dahulu trait personaliti, dengan menilai tahap kestabilan emosi, kemesraan, keterbukaan, persetujuan dan ketelitian.
Maklumat ini membantu dalam membina modul intervensi bersesuaian dengan mereka.
Cara ini boleh membantu pihak yang menguruskan penjagaan anak-anak yatim seperti keluarga dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Pendekatan spiritual Islam yang memfokus kepada memberi perhatian dan kasih sayang sangat membantu dalam membina psikologi dan pembentukan personaliti yang positif bagi anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa kerana Covid-19.
Ini berikutan anak-anak yatim yang tinggal di Rumah Kebajikan kadang-kadang tidak mendapat perhatian dari ahli keluarga dan juga masyarakat.
Ini memberi kesan kepada psikologi dan pembentukan personaliti mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang.
Merujuk kepada kajian lepas kehilangan ibu bapa pada usia muda tentang emosi anak-anak yatim di rumah kebajikan, mendapati mereka mempunyai personaliti kurang keyakinan diri dan merasa rendah diri.
Pembentukan personaliti anak disokong oleh keluarga, pendidikan, sokongan moral dan persekitaran tetapi tidak terdapat di rumah kebajikan anak-anak yatim.
Ia mengganggu proses pembentukan personaliti yang positif. Bimbingan untuk anak-anak yatim seringnya juga tidak terlalu diberi perhatian. Mereka hanya diberi makan minum, pakaian dan tempat tinggal.
Tetapi dari aspek psikologi kurang diberi perhatian.
Proses intervensi juga tidak dilakukan secara sistematik dan tiada modul khusus untuk bimbingan anak-anak yatim terutama dari aspek spiritual Islam.
Oleh itu, adalah disarankan bagi membantu anak-anak yatim membentuk daya tahan psikologi dan personaliti yang positif dengan menggunakan intervensi spiritual Islam.
————–
Penulis ialah Prof. Psikologi Dakwah Remaja & Pengarah, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










