Kealiman Dr Muhammad Abdullah Diraz dan pemikirannya yang pertengahan menjadikan beliau lambang kepada pemikiran wasatiah di Universiti al-Azhar al-Syarif. Seorang ahli falsafah yang berakhlak mulia. Menjadikan al-Quran sebagai bacaan harian, memahami dan tadabur sehingga layak digelar ‘Lelaki al-Quran’.
Sheikh Abu Zahrah berkata, Dr. Muhammad Diraz membaca al-Quran enam juzuk setiap hari. Ini bermakna beliau khatam setiap lima hari.
Beliau dilahirkan pada 8 November 1894 di Mesir.Ayahnya, Sheikh Abdullah Diraz adalah seorang alim yang memberi khidmat yang besar dalam mensyarah kitab al-Muwafaqat karangan Imam Syatibiy yang terkenal dalam bidang maqasid.
Kealimannya juga mendapat perhatian Sheikh Muhammad Abduh dan telah melantik Sheikh Abdullah Diraz sebagai penyelia bagi seluruh Maahad Azhari di daerah Iskandariah, Mesir.
Dr. Abdullah Diraz mendapat ijazah pertama dari Universiti al-Azhar pada tahun 1916. Kemudian dilantik sebagai pensyarah fakulti Usuluddin. Pada tahun 1936, Sheikh Azhar ketika itu, Sheikh Mustafa al-Maraghi mengambil keputusan menghantar pensyarah muda Universiti Azhar agar menimba ilmu dan pengalaman dari negara barat.
Ketika itu antara universiti yang menjadi tumpuan dalam akademik ialah Universiti Sorbon, Perancis.
Semasa 12 tahun di sana, Dr. Muhammad Diraz selalu berinteraksi dengan orientalis tetapi beliau tetap teguh dengan Islam dan mempertahankan kitab suci itu.
Sifat jati dirinya yang kuat dan keilmuannya tidak memberi kesan kepada identitinya sebagai ulama walaupun suasana di Paris ketika itu amat kuat dengan pemikiran bebas dan ideologi orientalis.
Sebaliknya beliau memberi kesan pengajian al-Quran dan keindahan Islam kepada guru-gurunya di Universiti Sorbon. Sehinggakan guru-gurunya berkata kepada pelajar siswazah dari timur tengah yang datang ke universiti itu: “Sama ada kamu keluar nanti menjadi sebagaimana keilmuan Diraz atau kamu balik ke negara kamu sebagaimana kamu datang. Semua kamu yang datang ke sini adalah untuk belajar daripada kami kecuali Abdullah Diraz dia datang ke sini untuk mengajar kami”.
Dr Muhammad Diraz menamatkan PhD di Universiti Sorbon pada 1947 dengan kepujian kelas pertama. Bidang kajian tesisnya adalah falsafah agama.
KITAB AL-NABA AL-AZHIM
Karya Dr. Muhammad Diraz ini dianggap permata yang amat mahal. Menyinari alam dan menarik perhatian pembaca. Kitab ini membawa maksud satu perkhabaran yang besar iaitu perkhabaran al-Quran dan menerangkan ‘ijaz al-Quran dalam semua bentuknya seperti perundangan, keilmuan, bahasa dan sastera.
Dalam penutup kitab ini dibawa satu anologi yang menunjukkan al-Quran mempunyai kesatuan tajuk.

Penulisnya menyusun kandungan dengan cermat dan berhati-hati. Menggunakan pemikiran yang mendalam dan tenang ketika mengkaji pandangan yang menghentam al-Quran dan merendah-rendahkan kedudukannya.
Dr. Muhammad Diraz telah menarik perhatian manusia untuk meninjau pandangan yang dibawa dalam bentuk ilmiah yang teliti dan keterangan yang jelas. Memperakui kebenaran al-Quran, segala permasalahan dihuraikan dan segala syubhat keraguan terhadap al-Quran dihancurkan.
Al-Quran tidak mungkin datang daripada mana-mana makhluk kecuali Allah. Kitab al-Naba al-Azhim mempunyai hujah yang amat kuat dan jelas al-Quran hanya datang daripada Allah. Pembaca kitab ini akan terkesan dalam jiwanya.
Penulisan kitab ini berkisar kepada dua perkara utama. Perkara pertama, kajian berkaitan situasi pada masa Nabi SAW membawa dakwah di Mekah.
Kajian ini menatijahkan bahawa tidak mungkin al-Quran ini datang dari sumber persekitaran Mekah. Bukan daripada Rasul. Bukan juga dari bangsa Quraisy atau dari bangsa Yahudi.
Perkara kedua, kalaulah al-Quran dijumpai di padang pasir dan tidak mengetahui siapakah penulisnya dan siapakah yang meletakannya di tempat tersebut.
Yakinlah dengan hanya melihat kandungan al-Quran dan berusaha untuk mengetahui siapakah yang memiliki kalam ini, ia dengan yakin memberi satu jawapan iaitu al-Quran bukan dari bumi tetapi mesti datang daripada sumber yang lain iaitu Allah SWT.
Nabi SAW tidak pernah menyatakan al-Quran adalah hasil penulisannya. Baginda hanya berkata: “Aku menyampaikan al-Quran kepada kamu. Aku adalah rasul”. Sirah Rasulullah SAW menunjukkan fakta tersebut.
Banyak hujah menyokong al-Quran datang daripada Allah. Peristiwa Ifk iaitu golongan munafik yang melakukan pembohongan dan tohmahan terhadap Ummu al-Mukminin Aisyah r.ha. Ia berlaku dalam tempoh hampir sebulan.
Akhirnya turun 10 ayat surah Nur mulai ayat 11 hingga 20 yang menegaskan Aisyah tidak terlibat dengan perkara tersebut dan bersih daripada tohmahan golongan munafik.
Dr. Muhammad Diraz berkata, jika al-Quran itu datang daripada Nabi SAW sudah tentu Baginda akan terus membaca ayat berkenaan tanpa menunggu dalam tempoh yang lama.
Selain itu, dalam beberapa surah menceritakan perkara yang berlainan dengan kehendak Nabi SAW. Sebagai contoh peristiwa tawanan perang Badar.
Baginda SAW memilih untuk menerima tebusan bagi tawanan yang mempunyai harta. Allah SWT menjelaskan perkara berlainan dengan keputusan yang dibuat. (rujuk al-Anfal: 67)
Kaum Quraisy melabelkan Nabi SAW yang membawa risalah al-Quran dengan pelbagai tuduhan seperti ahli sihir, gila, penyair dan lain-lain. Ada juga yang menuduh seorang manusia berbangsa asing mengajar al-Quran kepada Nabi SAW.
Perkara ini dinyatakan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka yang musyrik itu berkata: Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia”. Padahal bahasa orang yang mereka sandarkan itu ialah bahasa asing sedang al-Quran ini berbahasa arab yang fasih nyata. (al-Nahl:103)
Tuduhan ada orang asing mengajar al-Quran kepada Nabi SAW secara tuntas menegaskan orang Quraisy tidak mampu menandingi al-Quran sedangkan mereka mahir dalam bahasa Arab dan menguasai sastera Arab.
Kitab Naba al-Azhim dikaryakan selepas penulisnya melihat orientalis banyak menghentam al-Quran dan memasukkan rasa syak umat Islam terhadap kesahihan al-Quran.
Penulisnya pernah hidup bersama mereka berhujah dan berforum. Tidak sama dengan mereka yang mendengar hujah sahaja dengan mereka yang melihat dan berhujah secara berhadapan.
Dr. Muhammad Diraz juga menguasai bahasa Perancis dengan baik. Beliau menulis dua tesis di peringkat ijazah dan PhD dalam bahasa Perancis.
Beliau juga dilantik sebagai anggota Kibar Ulama Azhar dan meninggal dunia pada 1958 ketika menghadiri muktamar di Lahor, Pakistan.
- PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.










