Tidak cukup hormon bantutkan proses tumbesaran - Utusan Malaysia

Tidak cukup hormon bantutkan proses tumbesaran

Kekurangan hormon tumbesaran (GHD) punca seseorang itu rendah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT anak-anak membesar tanpa ketinggian normal seperti kanak-kanak lain pasti memberi sedikit kegusaran.

Pakar Perunding Kanan Pediatrik Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Muhammad Yazid Jalaludin berkata, tumbesaran terbantut tidak boleh dianggap sebagai pendek, secara semula jadi kerana ia mungkin petanda kurang nutrisi atau masalah perubatan lain yang boleh menjejaskan tumbesaran dan perkembangan mereka.

“Kanak-kanak yang tidak membesar pada kadar normal bagi umur mereka mungkin mengalami kekurangan hormon tumbesaran (GHD) namun ia bukanlah punca utama,” katanya.

DR. MUHAMMAD YAZID JALALUDIN

Tidak boleh diperbaiki

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan kanak-kanak terbantut sebagai ukuran ketinggian yang lebih rendah daripada 97 peratus kanak-kanak pada peringkat umur dan jantina sama.

Sedekad lalu, tumbesaran terbantut lebih kerap dialami oleh seorang daripada lima kanak-kanak bawah umur lima tahun. Ia meningkat dari 21.8 peratus pada 2019 daripada 17.2 peratus pada 2006.

Dr. Muhammad Yazid berkata, tumbesaran terbantut sebahagian besarnya tidak boleh diperbaiki.

Ini kerana ia melibatkan masalah perubatan asas yang boleh membawa kesan besar terhadap kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan dalam hidup kanak-kanak.

Beliau berkata, GHD rendah, menunjukkan kelenjar pituitari tidak menghasilkan hormon tumbesaran yang secukupnya untuk merangsang pertumbuhan ketinggian badan yang membolehkan kanak-kanak membesar pada kadar normal.

“GHD adalah sebahagian daripada keadaan genetik dalam kalangan sesetengah kanak-kanak tetapi dalam kebanyakan kes, punca kekurangan hormon tersebut adalah tidak diketahui (GHD Idiopatik).

“Kanak-kanak mengalami masalah ini adalah jauh lebih pendek dan membesar pada kadar sangat perlahan berbanding kanak-kanak lain seusia dan sama jantina. Malah mereka juga nampak muda daripada usia,” katanya.

Tambahnya, walaupun kependekan anak-anak jelas dilihat pada peringkat awal namun tanda-tanda GHD sering kali diabaikan kerana tubuh mereka kelihatan normal seperti kanak-kanak lain tetapi lebih kecil daripada segi saiz.

“Malangnya pengesanan kekurangan hormon hanya terpancar jelas apabila sudah mencapai usia akil baligh ataupun sudah terlambat.

“Pada peringkat ini, tiada lagi peluang untuk mendapat manfaat daripada rawatan awal,” katanya.

Beliau menambah, kanak-kanak mengalami GHD yang tidak dirawat bukan hilang peluang mencapai ketinggian dewasa, berasaskan potensi genetik malah berdepan masalah kesihatan yang lain.

Katanya, mereka juga menghadapi risiko isu kesihatan lain seperti kemerosotan kepadatan mineral tulang, tahap kolesterol yang tinggi, tekanan darah tinggi, obesiti dan penyakit jantung ketika mereka meningkat dewasa.

“Oleh itu diagnosa awal GHD amat penting bagi membolehkan kanak-kanak ini mendapat manfaat sepenuhnya daripada rawatan hormon tumbesaran.

“Rawatan hormon tumbesaran boleh membantu kanak-kanak yang mengalami GHD untuk mencapai ketinggian dewasa normal, mengembalikan tahap metabolisme, meningkatkan tumbesaran badan, dan mengurangkan risiko sakit jantung,” katanya.

Rawatan yang ada

Dr. Muhammad Yazid berkata, rawatan paling umum bagi GHD ialah suntikan harian hormon tumbesaran sintetik.

Ia diberikan menerusi pen suntikan yang membuat suntikan cetek ke dalam tisu lemak di bawah permukaan kulit.

Kata beliau, tempoh rawatan mengambil masa beberapa tahun sehingga kanak-kanak mencapai ketinggian dewasa atau potensi ketinggian maksimum, biasanya apabila selesai akil baligh.

“Dos suntikan juga berbeza mengikut kanak-kanak bergantung kepada pelbagai faktor termasuk tahap masalah tumbesaran terbantut yang dialami serta berat badan.

“Sebagai contoh, kanak-kanak akan memerlukan dos hormon tumbesaran yang lebih tinggi semasa mereka membesar kerana berat badan semakin bertambah,” katanya.

Bagaimana kesan GHD?

Di Malaysia, apabila kanak-kanak telah selesai menjalani imunisasi pada umur dua tahun, ibu bapa hanya akan membawa mereka berjumpa dengan doktor apabila mereka jatuh sakit dan tiada pemeriksaan susulan dilakukan bagi memantau tumbesaran anak selepas umur tersebut.

Dr. Muhammad Yazid berkata, ibu bapa boleh mengenal pasti tanda-tanda tumbesaran tidak normal dengan mengukur ketinggian anak.

Bagaimanapun katanya, kanak-kanak yang berada di bawah ketinggian piawai untuk umur dan jantina mereka iaiatu lebih pendek daripada kanak-kanak lain yang sebaya, atau tersasar daripada keluk tumbesaran terdahulu (kadar tumbesaran semakin perlahan) mungkin mempunyai masalah hormon tumbesaran dan perlu diperiksa oleh pakar pediatrik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN