SM4RT TANI uruskan tanaman lebih efisien - Utusan Malaysia

SM4RT TANI uruskan tanaman lebih efisien

Ketua Pengembangan Perniagaan SAT, Afif Badrulhisham menunjukkan demonstrasi SM4RT TANI kepada pengusaha.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bidang pertanian kini bukan seperti dahulu lagi. Ia mengalami pelbagai revolusi seiring kemajuan teknologi bagi meningkatkan hasil serta memudahkan operasi.

Jadi, tidak hairan bidang itu kini semakin mendapat perhatian daripada golongan muda untuk mengusahakan tanah sebagai salah satu sumber pendapatan.

Terus merancakkan lagi bidang berkenaan, syarikat Singularity Aerotech (SAT) tampil dengan sistem pertanian digital baharu, SM4RT TANI. Ia bagi membantu petani menguruskan penanaman dengan lebih efisien dan teratur.

Sistem yang dibangunkan sekitar dua tahun itu mendapat sambutan baik para petani dan peladang. Lebih-lebih lagi dalam kalangan pengusaha muda yang melihat ia sebagai alat bantu untuk menguruskan ladang dengan lebih efektif.

Direka khas berasaskan Internet Segalanya (IoT), sistem agrikultur ini menggunakan sensor dan rangkaian untuk mengumpulkan data daripada tanah dan keadaan sekeliling.

Ia bagi membolehkan maklumat pertanian diakses di hujung jari menggunakan telefon pintar.

Pengasasnya, Hafeiz Hassan berkata, platform itu membolehkan petani memperoleh maklumat dan bacaan tepat mengenai tanaman dalam masa nyata bagi memaksimumkan kecekapan dan hasil.

Dengan menggunakan Rangkaian Zero-G Sigfox dan sambungan IoT lain, sistem ini memastikan petani mempunyai akses kepada pemantauan cuaca masa nyata, kawalan perosak, penggunaan baja, pemantauan tanaman dan banyak lagi.

HAFEIZ HASSAN

Pada awalnya, kata beliau, sistem itu dibangunkan bagi menyelesaikan beberapa isu yang dihadapi oleh rakan petani tanaman nanas. Antara isu yang mereka hadapi adalah penggunaan baja yang terlalu tinggi, kerosakan tanaman akibat banjir serta jangkitan penyakit.

“Jadi, kami telah berbincang dengan beberapa syarikat yang menyediakan perkhidmatan sensor dan kemudiannya membangunkan sistem ini di tapak tanaman nanas di Hulu Bernam, Selangor.

“Aplikasi sistem ini adalah dengan menanam sensor berkenaan di setiap plot tanaman. Apa yang kita dapati apabila sensor ini dipasang, ia dapat memberi maklumat mengenai keperluan baja yang secukupnya.

“Selain itu ia dapat mengesan sekiranya bakal berlaku banjir di kawasan berkenaan. Maklumat dapat diakses melalui telefon pintar, tablet dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Justeru, penilaian hasil mendapati dalam masa satu kitaran penanaman dapat mengurangkan penggunaan baja sehingga 20 hingga 30 peratus.

Malah, kejadian pokok rosak akibat banjir juga dapat dielakkan dengan kehadiran fungsi stesen cuaca masa nyata yang mengesan perubahan cuaca.

Keadaan itu sekali gus menyumbang peningkatan hasil sebanyak 10 hingga 15 peratus bagi setiap ekar kawasan penanaman.

“Setakat ini kita memasang sensor ini di 10 kawasan pertanian di seluruh Malaysia iaitu Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Kedah.

“Amat membanggakan lebih daripada separuh jumlah petani itu terdiri daripada golongan muda yang komited mahu mengaplikasikan pertanian digital untuk mendapatkan hasil lebih lumayan,” tambahnya.

Fleksibel

Selain penanaman nanas, sistem ini juga dibangunkan dengan ciri-ciri fleksibel yang membolehkan ia digunakan di pelbagai lapangan seperti akuakultur.

Ia direka untuk memenuhi keperluan unik setiap pengguna dan hanya memberikan maklumat khusus berkaitan dengan jenis tanaman atau ternakan.

Oleh itu, ia turut digunakan dalam penternakan ikan dan udang kara untuk membantu memberikan kaedah ternakan yang lebih berkualiti.

Wakil SAT bersama salah seorang pengusaha penanaman nanas di Kedah, Zulkafli Saidin.

Urus Tani

Bagi melengkapkan lagi pertanian pintar, sistem pengurusan ladang digital, Urus Tani turut dibangunkan di bawah syarikat yang sama.

Sementara SM4RT TANI memberikan data-data penting persekitaran ladang, Urus Tani berperanan merekod segala data operasi termasuk inventori, tenaga pekerja serta pengurusan pelan.

Ia dibangunkan dengan teknologi antara muka pengguna yang mematuhi standard pengurusan pertanian seperti myGAP, platform ini mampu melengkapkan sistem SM4RT TANI untuk mewujudkan pertanian pintar yang holistik.

“Aplikasi ini akan membekalkan maklumat kepada pekerja mengenai pekerjaan di ladang, mengumpul maklumat mengenai penggunaan baja, hasil tuaian, rekod jualan dan banyak lagi yang pastinya akan membantu pengusaha untuk meluaskan penanaman pada masa akan datang,” tambah Hafeiz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×