Sekolah 3 Oktober wajar buat kelas peperiksaan - Utusan Malaysia

Sekolah 3 Oktober wajar buat kelas peperiksaan

Pihak sekolah diminta peka dengan emosi pelajar mereka yang mungkin sedang berdepan kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TARMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembukaan sekolah yang diumumkan 3 Oktober hanya sesuai buat pelajar kelas peperiksaan manakala murid-murid lain dicadangkan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga hujung tahun.

Ini berikutan tempoh persekolahan hanya berbaki dua bulan lagi dan cadangan semua murid kembali ke sekolah tidak banyak manfaat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, anjakan sesi persekolahan itu akan memberi peluang untuk pelajar dan guru melengkapkan vaksisani diri masing-masing terlebih dahulu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehingga tarikh tersebut, diharap murid, guru dan ibu bapa sudah divaksin terlebih dahulu kerana dikhuatiri ada pelajar menjadi pembawa virus ke rumah menjangkiti ahli keluarga lain terutama yang ada masalah kesihatan lain.

“Oktober ini wajar dibuka untuk pelajar kelas peperiksaan sahaja, pelajar lain sambung PdPR untuk elak kesesakan kerana sesi persekolahan tahun hanya tinggal sekitar dua bulan sahaja,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan sesi persekolahan dianjak kepada 3 Oktober berbanding perancangan asal, 1 September ini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dauk Dr. Radzi Jidin berkata, keputusan itu mengambil kira keadaan pandemik semasa dan pembukaan sekolah juga akan dilakukan berperingkat dengan melibatkan kelas peperiksaan terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Tokoh Guru Kebangsaan 2016, Azizul Rahman Abdul Rahman berkata, sebaiknya PdPR disambung hingga akhir tahun, tetapi, kerajaan perlu membantu pelajar memiliki peranti dan data internet.

Katanya, dalam tempoh seperti ini kaunselor kaunselor juga perlu aktif mencari kaedah untuk memberi motivasi kepada pelajar yang dikhuatiri sudah hilang `semangat’ untuk bersekolah.

“Program vaksinasi guru dan kakitangan sekolah dilaporkan meningkat tetapi masalahnya murid 12 tahun dan ke bawah yang tidak boleh divaksin,” kata beliau.

Selain itu, Azizul mencadangka, sesi persekolahan hibrid untuk kawasan hijau boleh diiktiarkan seperti tiga hari di sekolah dan dua hari di rumah.

“Masa persekolahan bersemuka pula disingkat iaitu seperti 8 pagi hingga 12.30 tengah hari sahaja bagi mengelakkan kontak lama antara pelajar dan kakitangan sekolah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×