Pertama elok, kedua pandai… - Utusan Malaysia

Pertama elok, kedua pandai…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH Melayu sering menggunakan pantun untuk menggambarkan ciri-ciri utama seorang pemimpin yang baik:

Kalau mencari tempat mandi,
Pertama keluk kedua pantai,
Kalau mencari pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai.

Perkataan bijak dan berani merupakan ciri-ciri kelayakan untuk menjadi seorang pemimpin, selain daripada sudah semestinya peringkat teratas – jujur. Nilai lain adalah kesanggupan seorang pemimpin meletakkan Raja dan negara sebelum dirinya sendiri.

Ahli politik berjiwa besar sebenarnya tidak mudah menzahirkan perasaan dalam hatinya terhadap orang lain. Bak kata pepatah, lebih elok jika sesuatu pecah di perut daripada pecah di mulut. Dalam kilat ada kilau, terserah kepada orang untuk diduganya.

Daya persepsi dan daya pengamatan seseorang pemimpin itu perlu ditajamkan sentiasa. Ibarat pisau, akan hanya berguna jika tajam. Apabila pisau sudah tumpul dan berkarat, penggunanya tidak memandangnya lagi.

Lantaran itu jugalah ada berpendapat, jika terus berguna dan berkesan dalam politik, seseorang itu perlu terus tajam dan terus berkilat. Jika tidak, tamsil pisau berkarat tadi akan menusuk badan sendiri ke dalam arena gelap.

Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Henry Kissinger pernah mengakui, kuasa adalah sejenis aphrodisiac yang paling unik dan mempengaruhi. Tiada siapa yang harus dipersalahkan apabila trend hempas-pulas berebut kuasa berlaku dan berterusan.

Trend itu lahir daripada sistem itu sendiri dalam keadaan di mana sistem itu tidak mempunyai mekanisme kawalan yang boleh dikuatkuasakan. Sepatutnya dari awal lagi sistem itu mempunyai jentera perimbangan semak dan imbang (check and balance) supaya politik menjatuhkan seseorang, parti atau kerajaan di luar demokrasi dapat dibanteras di peringkat putik.

SAHSIAH

Bagi seseorang ahli politik, untuk berangan-angan tinggi bukanlah perkara ganjil atau satu kesalahan. Malah ahli politik yang tidak ada angan-angan tinggi, bukan ahli politik namanya. Pepatah mengatakan bila dapat betis hendakkan paha dan bila dapat paha, hendakkan badan pula. Ini naluri manusia biasa, apatah lagi dunia politik.

Tidak salah memasang angan-angan. Terutama angan-angan untuk sampai ke kemuncak karier. Cuma daya dorong ini harus dikawal dengan kukuh melalui personaliti atau sahsiah berserta dengan sistem nilai yang berimbang.

Agak biasa bagi seorang pemimpin itu mempunyai golongan yang dipanggil ‘orang kita’, yakni mereka yang dikenali sebagai penyokong dan pembantu. Dalam golongan itu pula akan ada kumpulan yang berupa tegar (hard core) iaitu mereka yang sentiasa menyokong walau apa pun kesilapan atau kekurangan pe­mimpinnya. Ini terutamanya jika budi pemimpin itu sudah termakan budi.

Situasi ini sebenar­nya boleh disamakan dengan keadaan di penanggah semasa kenduri – ada yang sebagai kayu api, tungku dan ada sebagai batu api. Ini semua diketahui belaka oleh setiap yang bernama pemimpin. Cuma yang tergolong sebagai batu api tadi peranan mereka adalah membakar. Yang dalam amalan sebenar menghasilkan adu domba dan cucuk radak.

Pemimpin yang jurang fakulti pemikirannya agak ­dangkal dan tidak meluas akan mudah dikuasai oleh golongan batu api ini. Dan akhirnya menjadi mangsa olahan sendiri.

Mereka akan menjolok pera­saan sehingga kita akan berasa marah dan tidak lagi dapat menim­bang sesuatu dengan fikiran yang waras.

Harus diingat, tujuan pilihan raya untuk membentuk kerajaan. Tetapi jika tersalah pilih, mereka akan mendapat kerajaan dan para pemimpin yang hanya asyik untuk berkuasa sahaja. Bak kata pepatah Barat, A people deserves the Government it gets. Atau lebih kurang maksudnya “Sesuatu bangsa mendapat kerajaan yang padan bagi bangsa itu.” Jika kita hendak kerajaan yang baik, kita akan dapat kerajaan yang baik. Tetapi jika sengaja memilih kerajaan yang buruk, akibatnya mendapat kerajaan yang buruk.

BANGSA-AGAMA

Dengan kemelut kalangan parti-parti Melayu hari ini, tak terfikirkah akan kita kenapa Melayu tidak bersatu dalam perjuangan bangsa-agama dan negara supaya kuasa politik mereka tetap kukuh dan berkuasa? Dengan penguasaan komposisi majoriti ini, bukankah ia bermanfaat kepada semua? Sekali gus menjamin kehidupan masyarakat majmuk di negara ini?

Setiap orang Melayu atau bumiputera harus memikirkan hal ini dan bertindak. Bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah kendur berdenting-denting, tegang berjela-jela.

Perjelas budaya Melayu adat bersandarkan syarak dan syarak bersandarkan kitabullah. Adat bersandarkan yang benar, yang benar tegak dengan sendirinya. Perjelas fasal-fasal yang terdapat dalam parti-parti Melayu yang dominan tentang berpegang teguh kepada tali Allah dan jangan berpecah-belah.

Bersatulah para pemimpin Melayu. Tunjukkan kewibawaan anda dalam perjuangan bangsa-agama dan negara.

Baju Melayu berbutang lima,
Ada juga berbutang tiga,
Orang Melayu jangan lupa,
Hilang kuasa hilang semua.

Pulau kelapa jauh di hulu,
Dulang suasa terhempas di seberang,
Walau apapun akan berlaku,
Kuasa jangan dirampas orang.

Namun, waima apa pun, saya tetap berpegang teguh kepada falsafah – jangan dihiraukan sangat bagaimana dan kenapa seseorang itu berjaya dalam sesuatu perjuangannya.

Ada yang berjaya, ada yang gagal. Pokoknya, jangan berdendam dalam perjuangan, lantaran lumrah alam bahawa tiada yang kekal dalam politik: kawan boleh jadi musuh dan musuh boleh jadi kawan.

Yang kekal ialah perjuangan, yakni perjuangan positif menolong rakyat dan berkhidmat untuk rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN