JELEBU: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hubungan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal baik tanpa sebarang permasalahan, meskipun berdepan perkembangan politik semasa.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau bersama BN akan terus memberikan komitmen berdasarkan perjanjian dan keputusan yang telah dibuat untuk menyokong kerajaan sehingga penghujung penggal.
“Tidak kira bagaimana keadaan kebelakangan ini. Saya tidak nampak sebarang permasalahan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di Kampung Tohor, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Perdana Menteri, selain menjelaskan pantun yang disampaikan sebelum ini merupakan balasan terhadap pantun yang diberikan Anwar kepadanya.
Ahmad Zahid berkata, hubungan kerja antara mereka turut berjalan seperti biasa selepas mesyuarat Kabinet yang diadakan pada Rabu lalu.
“Hubungan sangat-sangat baik dan kami merupakan kumpulan profesional yang dapat membezakan isu nasional dan isu negeri.
“Ini cuma masalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan keutamaan kami adalah menangani serta menyantuni isu-isu nasional.
“Ini kami tangani dengan baik dan tidak ada sebarang perbezaan pandangan, apatah lagi dalam pelaksanaan dasar-dasar dan isu yang mahu diselesaikan di peringkat nasional,” katanya. – UTUSAN










