‘Kembali’ ke zaman gemilang Melaka - Utusan Malaysia

‘Kembali’ ke zaman gemilang Melaka

Guru-guru perguruan silat Melayu yang menghadiri perhimpunan perguruan silat Melayu pertahankan institusi Raja-Raja Melayu di Balai Adat Tok Cindai Kepong, Selangor baru-baru ini. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perhimpunan 130 perguruan silat yang lengkap berbusana hulubalang Melayu di Balai Adat Tok Cindai, Kepong, Selangor baru-baru ini mencatat sejarah negara.

Program Melayu Islam Beraja anjuran Pertubuhan Nobat Malaysia ini adalah manifestasi bagi mengotakan ikrar mempertahan negara beraja dan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan.

Di samping itu perhimpunan adat seperti ini untuk menjalinkan semangat persaudaraan Islam dan titik temu pengamal silat Melayu pelbagai aliran di negara ini.

Penganjur Tok Cindai Sri Tribuana, Mohd. Khan Mohd. Salleh teruja kerana pengamal pelbagai aliran silat Melayu bersama panji-panji aliran perguruan masing-masing hadir ‘bersidang’ sebagaimana peristiwa zaman silam.

Katanya, kehadiran sebegitu ramai tokoh perguruan silat lengkap dengan busana dan membawa panji aliran masing-masing dalam satu majlis dicatat ditinta emas yang pertama seumpama ini.

“Para Tok Pendekar ini bersidang dan bersepakat berikrar mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mempertahankan kalimah Allah milik orang Islam

“Kehadiran pendekar Melayu daripada pelbagai aliran silat Melayu satu sejarah bumi ini milik Melayu Islam dan manifestasi persepakatan dan perpaduan orang Melayu menangani isu sensitif ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di Balai Adat Tok Cindai Kepong, Selangor.

Ia diadakan sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Tok Cindai @ Mohd. Khan Mohd. Salleh (kanan) menyampaikan sijil kehadiran kepada Guru Gayung Pelangi Pahang, Yusuf Mohamad.

Menurut Mohd. Khan, delegasi pendekar daripada pelbagai aliran silat memakai pakaian adat masing-masing, berdastar dan berkeris mengembalikan kegemilangan Kerajaan Melayu silam.

“Persidangan para pendekar Melayu yang setia kepada Rajanya mengajak rakyat Melayu Islam mempertahankan kalimah Allah daripada digunakan oleh orang bukan Islam,” katanya.

Manifestasi sokongan padu itu berjaya disampaikan ke pengetahuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, baru-baru ini.

Sementara itu, Mahaguru Persatuan Seni Silat Gayong Pelangi dan Pedang Pahang, Orang Kaya Laksamana Yusof Mohamad berkata, perguruan silat Melayu tetap setia dan mempertahankan institusi Raja di negara ini.

Dalam masa yang sama ujarnya, para pendekar membantah sekeras-kerasnya penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini.

“Bantahan keras ini supaya tidak mendatangkan kesan masalah akidah kepada umat Islam kepada generasi yang mendatang,” katanya.

Seorang pendekar muda, Muhammad Arfan Saleh, 19, dari aliran Silat Bambu Rencong Pahang berasa bertuah dapat menghadiri program sehebat ini seolah-seolah ‘kembali’ ke zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka.

Menurutnya, selain dapat bertemu muka dengan beberapa orang mahaguru silat, beliau juga terpesona melihat kepelbagaian pakaian adat perguruan silat serentak dalam satu majlis seperti itu.

Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Aripin Said pula berpendapat, perhimpunan perguruan silat perlu diadakan setiap tahun.

Katanya, program sedemikian dapat ‘menghidup’ dan menyegarkan kesenian budaya Melayu yang semakin disaingi cara berpakaian Barat.

Beliau menegaskan, pada masa ini guru tua dapat mengetengahkan dan mewariskan pakaian hulubalang aliran perguruan kepada pendekar muda.

Sementara itu, Datuk Laksamana Prof Dr. Ibrahim Ghaffar yang membaca 7 Wasiat Raja-Raja Melayu di Balai Adat Tok Cindai Kepong mengingatkan orang Melayu akan hak mereka sebagai rakyat asal negara ini.

Dr. Ibrahim Ghaffar, tokoh persilatan yang membacakan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu.

Katanya, rakyat Melayu perlu peka dengan keperluan dan hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan mengenai kedudukan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu, agama Islam agar tidak ketinggalan dan dipersendakan pihak lain.

‘Islam adalah agama rasmi maka adalah ditegaskan kalimah Allah adalah milik dan hak orang Islam manakala penganut Kristian tidak layak menggunakannya,’ katanya.

Tegas beliau, orang Melayu Islam bertanggungjawab mempertahankan pasak negara, kesucian agama Islam dan kalimah Allah daripada digunakan bukan Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN