Mukadimah:
Wabak Covid-19 banyak mengubah cara hidup masyarakat. Selain ramai yang terkesan dari segi ekonomi, tidak dinafikan ramai turut kehilangan orang tersayang.
Ibu bapa Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, meninggal dunia dalam jangka masa tiga hari akibat Covid-19 pada 20 Julai lalu. Ini menjadikan Nazurah yatim piatu bersama tujuh adiknya yang berumur antara 18 hingga empat tahun.
Ini menimbulkan persoalan, bagaimanakah waris boleh membantu menguruskan harta peninggalan akibat kematian.
Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemubual Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, ZAHARI MAHAD MUSA bagi mengupas isu ini.
UTUSAN: Dalam berhadapan wabak Covid-19, banyak berlaku kematian secara tiba-tiba melibatkan golongan ibu bapa. Ia memberi implikasi kepada anak-anak atau waris yang ditinggalkan. Malah ada yang membawa kepada perpecahan keluarga. Bagaimana wasiat boleh membantu dalam hal ini?
ZAHARI: Pengetahuan tentang wasiat perlu dilihat daripada dua dimensi iaitu menurut amalan masyarakat di Malaysia dan terma yang digunakan dalam Islam. Bagi dimensi pertama, wasiat merujuk kepada pesanan akhir untuk mengurus harta yang bakal ditinggalkan.
Perkara ini adalah seiring dengan konsep wisayah iaitu pengamanahan untuk mengurus harta dalam Islam. Seseorang digalakkan melantik pemegang amanah sama ada daripada ahli keluarga atau pihak luar dalam mengurus harta keluarga yang bakal ditinggalkan terutama atas faktor kematian.
Bagi dimensi kedua pula, terma wasiat dalam Islam itu sendiri perlu difahami sebagai perakuan sumbangan atas suatu hak yang disandarkan pemberiannya selepas berlaku kematian pemberinya. Istilah wasiat ini lebih khusus kerana terfokus kepada elemen pemberian sumbangan sebanyak satu pertiga harta kepada selain waris.

Kedua-dua dimensi wasiat pada masa kini adalah sangat penting dalam mengurus harta keluarga. Kombinasi kedua-duanya membantu dalam penyediaan suatu dokumen pesanan urus harta keluarga yang menggabungkan perihal harta, bahagian waris, penerima bukan waris dan perlantikan wasi bagi keluarga tersebut.
Dengan dokumen wasiat tersebut menjadikan pengurusan harta pusaka yang berwasiat lebih mudah dalam proses tuntutan harta pusaka di kemudian hari. Proses yang mudah dapat dilihat daripada perkara berikut:
1. Wasi yang dinamakan dalam wasiat boleh membuat permohonan Geran Probet di Mahkamah Tinggi.
2. Wasi boleh memohon pengesahan wasiat di Mahkamah Syariah yang diberi kuasa mengesahkan sesuatu dokumen pewarisan seperti wasiat, hibah, deklarasi harta sepencarian, penyerahan amanah dan pengisytiharan wakaf.
3. Wasi boleh mencairkan harta pusaka tersebut dan menggunakannya untuk membayar hutang-hutang si mati selepas Geran Probet diperolehi.
4. Wasi boleh membahagikan harta pusaka mengikut wasiat yang ditinggalkan atau mengikut faraid dan memohon pindahmilik di institusi berkaitan.
Dalam ayat 180 surah al-Baqarah antara lain disebut diwajibkan berwasiat apabila ada tanda-tanda hampir kematian. Barangkali ini antara sebab ramai yang tak ambil berat tentang wasiat?
Kemelut pengurusan harta keluarga yang melibatkan harta pusaka sebenarnya bermula dengan pengetahuan ilmu pewarisan Islam yang masih kurang jelas. Selain itu, situasi ini dikaitkan dengan krisis antara ahli keluarga dalam menuntut harta pusaka tersebut.
Tidak hairanlah, kesedaran tentang pensyariatan hukum wasiat dan faraid masih rendah atau masih keliru antara kedua-dua hukum agihan harta pusaka tersebut.
Saranan untuk mempelajari ilmu pewarisan Islam bukanlah suatu yang baharu, bahkan pernah dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Baginda menyatakan perbalahan berkaitan harta pusaka sememangnya akan berlaku antara ahli keluarga si mati jika tiada ilmu yang jitu dalam persengketaan tersebut.
Nabi SAW bersabda: Belajarlah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada manusia kerana sesungguhnya aku ini manusia biasa yang pasti mati. Ilmu faraid juga akan diangkat (hilang) sehingga menjadikan dua orang akan berselisih dalam membahagikan harta pusaka, dan kedua-dua mereka itu tidak akan mendapat seorangpun untuk menyelesaikannya antara mereka berdua. (Al-Hakim, Muhammad ibn Abdillah. Al-Mustadrak Ala al-Sahīhayn. Kitab al-Faraid. Bab: Taallamu al-faraid. No: 8021)
Ada juga yang persoalkan dah ada faraid jadi apa perlu wasiat?
Pensyariatan hukum wasiat dan faraid dalam Islam mempunyai tujuan tersendiri. Ia menjadi satu mekanisme agihan harta keluarga yang dibentuk demi memenuhi kemaslahatan ahli keluarga.
Seterusnya menjaga kebajikan mereka dalam meneruskan kehidupan daripada harta yang ditinggalkan si mati.
Secara mudahnya, keduanya mempunyai persamaan iaitu peraturan yang ditetapkan dalam agihan harta si mati supaya setiap harta mempunyai ‘pemunya’ dan ‘bertuan’.
Jika harta masih menjadi pemilikan si mati, maka ia bersifat beku dan mungkin tidak dapat dimanfaatkan oleh ahli keluarga yang masih hidup.
Walau bagaimanapun, wasiat dan faraid mempunyai perbezaan yang unik bagi menyempurnakan agihan harta pusaka si mati. Ringkasan perbezaan utama tersebut adalah berdasarkan Jadual 1

Berdasarkan Jadual 1, hukum wasiat dan faraid mempunyai fungsi masing-masing dan tidak perlu menuding jari mengatakan hanya perlukan faraid tanpa wasiat atau sebaliknya.
Contohnya, melalui hukum faraid hanya menetapkan agihan kepada waris yang layak iaitu yang disebut sebagai waris ashab al-furud dan ‘asabah. Mereka yang bukan waris adalah tidak layak mendapat habuan secara faraid.
Oleh itu, keluarga yang tidak mempunyai waris yang layak seharusnya merancang harta masing-masing melalui agihan secara wasiat.
Dalam hal ini, pengetahuan tentang waris dalam ilmu pewarisan Islam adalah sangat penting. Sebabnya, tidak semua ahli keluarga si mati ialah waris, namun setiap waris sudah semestinya mempunyai hubungan kekeluargaan dan nasab.
Banyak berlaku harta peninggalan ibu bapa tidak sampai kepada waris terutama jika masih kecil. Apakah ancaman Allah terhadap orang yang terlibat menganiaya para waris begini?
Setiap harta merupakan hak eksklusif kepada pemiliknya. Islam menghormati pemilikan setiap harta dengan tidak dibenarkan orang lain untuk mengambil, mengurus, menggunakan harta yang bukan miliknya tanpa kebenaran.
Tegahan ini adalah asas pemilikan harta dalam Islam sama ada pemunya harta masih hidup atau sudah meninggal dunia.
Sandaran dalil ini ialah firman Allah SWT: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya) (al-Baqarah: 188)
Jika semasa hidup pun harta tidak boleh diganggu oleh pihak lain tanpa kebenaran, inikan pula apabila pemunya harta telah meninggal dunia. Pertukaran pemilik baharu seharusnya dilakukan dalam peraturan yang sistematik seperti hukum wasiat dan faraid.
Tujuan hukum tersebut adalah jelas iaitu memberi hak kepada yang berhak. Namun jika hak tidak sampai kepada yang berhak, maka perbuatan tersebut termasuk dalam perkara yang dilarang seperti ayat 188 surah al-Baqarah sebelum ini.
Selain itu, tegahan makan harta pusaka orang lain diperjelaskan oleh Allah SWT yang melarang secara keras makan harta anak yatim. Ini dapat dilihat apabila perbuatan tersebut dijanjikan dengan seksaan neraka.
Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala. (al-Nisa’: 10)
Ayat ini mengingatkan semua orang agar tidak menzalimi anak yatim dengan memakan harta mereka secara zalim berdasarkan ancaman hukuman yang berat di akhirat kelak.
Perlu diingat ayat ini datang lebih awal sebelum ayat-ayat pusaka (ayat 11, 12 dan 176) dalam surah al-Nisa’ sebagai peringatan penting supaya tidak berlaku penganiayaan kepada waris terutama anak-anak yatim.

Apakah harta yang boleh dibahagikan sebelum difaraid?
Harta pusaka si mati sama ada berbentuk harta alih, harta tidak alih dan hak-hak yang boleh diwarisi merupakan harta yang dimiliki semasa hidupnya dan pemilikan tersebut masih kekal sehingga berlaku kematian.
Pengagihan harta pusaka hanya dapat diagihkan melalui hukum faraid selepas didahului dengan menunaikan hak-hak utama yang berkaitan peninggalan si mati iaitu digunakan untuk urusan pengurusan jenazah, pembayaran hutang dan wasiat jika dibuat oleh si mati semasa hidupnya.
Waris yang hidup seharusnya akur dan mengetahui tanggungjawab ini terlebih dahulu sebelum menerima habuan faraid masing-masing.
Jangan terburu-buru untuk berebut harta sedangkan harta tersebut perlu digunakan untuk tiga urusan sebelumnya.
Paling tidak berdamailah dan bermuafakat antara keluarga untuk pengurusan hutang-hutang si mati yang masih belum diselesaikan seperti pembiayaan peribadi, kereta, rumah dan pendidikan.
Islam benarkan wasi atau pemegang amanah untuk mengambil sedikit daripada harta si mati sekadar keperluan. Bagaimana mahu menentukan kadar keperluan tersebut?
Perlantikan wasi atau pemegang amanah merupakan suatu saranan urus harta dalam Islam berdasarkan kepada akad al-wisayah.
Konsep ini melibatkan amalan pengamanahan oleh pemilik harta yang mana wasi perlu berperanan aktif dalam memenuhi hasrat pemilik harta (semasa hidup dan selepas mati).
Hukum pelantikan wasi ialah sunat dan digalakkan kerana membantu pihak yang tidak mampu urus harta dengan sendiri. Selain itu, pelantikan mereka amat signifikan kerana memudahkan pembuktian dokumen kematian pihak yang melantik wasi tersebut.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT: Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian daripada pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik. (al-Nisa’: 5)
Ayat ini menghuraikan beberapa bidang tugas pihak yang mempunyai tanggungjawab yang besar atas urusan menjaga pihak yang tidak boleh menguruskan harta seperti orang kelainan upaya, anak yatim dan lain-lain.
Ini menunjukkan tugas pengamanahan sebagai wasi memerlukan tenaga, kos mahupun masa untuk menjalankannya. Kebenaran untuk mengambil harta si mati dalam menjalankan amanah tersebut adalah dibenarkan mengikut konsep ujrah (upah) dalam Islam.
Dari sudut penentuan kadar yang dibenarkan pula adalah mengikut amalan adat setempat atau dikenali dengan uruf dalam sumber hukum Islam.
Frasa ‘makruf’ yang bermaksud mengikut kesesuaian digunakan bagi kebenaran untuk mengambil sedikit harta si mati untuk mereka yang diamanahkan bagi menjaga anak yatim.
Ia merujuk kepada firman Allah SWT: Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya. (al-Nisa’: 6)
Kearifan tempatan sangat diperlukan dalam menentukan kos-kos yang diperlukan dalam pengurusan harta si mati sehingga tugas mereka selesai. Dalam hal ini, upah akan berbeza-beza mengikut bidang tugas yang diamanahkan dalam sesebuah keluarga.
Mereka yang diamanahkan mengurus perbelanjaan orang yang tidak sempurna akal mungkin berbeza dengan mereka yang diamanahkan mengurus kanak-kanak.
Ini kerana, kanak-kanak berkemungkinan boleh mengurus harta sendiri selepas baligh berbeza dengan orang yang tidak sempurna akal yang memerlukan tempoh masa yang lama atau tiada tempoh untuk dipulihkan.
Apakah saranan kepada umat Islam supaya mengambil berat tentang bab wasiat?
Pandemik Covid-19 yang melanda seantero dunia hampir dua tahun yang lalu memberi pelbagai kesan terutama kepada umat Islam.
Dari sisi positif, banyak pengajaran yang perlu diteladani seperti dalam mengurus harta keluarga yang melibatkan wasiat mahupun faraid. Kembali kepada keluarga masing-masing atau ‘keluarga diutamakan’ adalah saranan penting yang perlu diperhatikan. Setiap keluarga berbeza keadaannya antara satu dengan yang lain.
Contoh yang paling mudah ialah hanya kita sahaja yang tahu siapa bakal menjadi waris dalam keluarga sendiri jika berlaku kematian dalam keluarga. Waris-waris boleh terdiri daripada pasangan, anak-anak, ibu bapa dan adik-beradik.
Namun dalam sistem pewarisan Islam, senarai waris mungkin melebihi apa yang kita tahu kerana penelitian perlu dibuat terhadap waris-waris yang layak tetapi tidak diketahui statusnya.
Kesedaran tentang ilmu pewarisan Islam perlu difahami secara menyeluruh. Tidak memadai hanya mengatakan wasiat sahaja penting atau faraid sahaja penting, akan tetapi kita akur tentang keduanya disyariatkan untuk tujuan dan fungsi yang saling melengkapi.
Sudah sampai masanya setiap ahli keluarga mempunyai wakil yang berusaha untuk memahami ilmu pewarisan ini yang meliputi bab wasiat. Kempen ‘1 keluarga, 1 wakil celik pewarisan’ sudah boleh diuar-uarkan bermula hari ini bagi mencapai tahap kesedaran tersebut.









