Isteri taat ketua bidadari syurga - Utusan Malaysia

Isteri taat ketua bidadari syurga

PERKAHWINAN sikapnya saling melengkapi di mana suami dan isteri sama-sama cuba menjadi yang terbaik selaras dengan panduan yang ditetapkan oleh Islam. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Balasan bagi orang beriman di akhirat adalah syurga yang mengandungi pelbagai nikmat. Selain Allah perkenankan apa sahaja hajat yang terlintas di hati, golongan lelaki soleh juga dikurniakan bidadari sebagai teman.

Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan dan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin. Maka nikmat Tuhan mana lagi yang hendak kamu dustakan? Seakan-akan bidadari itu permata yakut dan marjan. (ar-Rahman: 56-58)

Justeru, timbul pertanyaan, apakah status para isteri semasa di dunia. Adakah mereka akan dapat hidup bersama mengecapi kebahagiaan abadi dengan suami masing-masing di syurga?

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemubual Ketua Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya DR. SHARIFAH HAYAATI SYED ISMAIL AL-QUDSY bagi mengupas isu ini.

 

DR. SHARIFAH HAYAATI SYED ISMAIL AL-QUDSY

UTUSAN: Wanita solehah sentiasa diidamkan oleh lelaki untuk disunting sebagai isteri. Apakah ciri-ciri wanita solehah itu?

DR. SYARIFAH HAYAATI: Empat perkara yang menjadi kebahagiaan seseorang lelaki sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Wanita (isteri) yang solehah, tempat tinggal yang luas atau lapang, jiran yang soleh dan kenderaan yang selesa. (Riwayat Ahmad)

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, wanita solehah dengan ciri utama berpegang kepada agama adalah satu dalam empat ciri wanita yang dipilih untuk dinikahi.

Ini kerana ciri lain iaitu kecantikan, pangkat dan keturunan boleh hilang dek usia dan keadaan semasa serta tidak menjanjikan kebahagiaan abadi. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Pilihlah perempuan yang beragama nescaya beruntunglah kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibn Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari, 9/164 menjelaskan hadis di atas membawa maksud berusahalah untuk memilih seorang yang berpegang kepada panduan ajaran agama, memelihara maruah dan adab dalam setiap perkara. Ini termasuklah pergaulan yang baik dengan suaminya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sebab itu maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada. (an-Nisa’: 34).

Gambaran bentuk pergaulan yang baik isteri kepada suami juga dinyatakan dalam hadis yang lain iaitu menggembirakan hati, taat dan menjaga maruah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya. (Riwayat Abu Daud)

Jadi, ciri-ciri wanita solehah itu secara umumnya adalah:
1. Melaksanakan perintah Allah yang wajib seperti solat, puasa, zakat dan haji;
2. Taat pada suami pada perkara yang tidak dilarang oleh Allah;
3. Baik akhlak & menyenangkan perilakunya;
4. Menjaga maruah diri.

Jika selain beragama, wanita itu juga cantik, berketurunan dan berpangkat ia adalah yang terbaik dan bonus baginya.

Kaum lelaki memang mahukan isteri yang baik dan solehah tetapi adakalanya perangainya, nauzubillah. Ada harapankah golongan lelaki begini dapatkan isteri solehah?

Bukan wanita sahaja wajib menjaga agamanya, tetapi juga lelaki. Apatah lagi dibahunya ada amanah untuk memimpin ahli keluarga. Isteri yang berperangai buruk boleh dilentur oleh suami yang baik.

Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu… (al-Tahrim: 6)

Lumrahnya, jika kita nak siapapun berbuat baik kepada kita, kita perlulah juga berbuat baik kepadanya. Jika kita perangai buruk atau tidak menjaga akhlak, bukan sahaja kita tidak akan disayangi malah jika berkahwin dengan wanita solehah pun kebahagiaan tidak akan bertahan lama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi. Perangai itu akhlak dan akhlak itu salah satu sendi atau tiang agama.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: …wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). (al-Nur: 26)

Oleh itu, janganlah mudah menuding jari kepada isteri yang dikatakan tidak solehah kerana ibarat tepuk air didulang, terpercik ke muka sendiri. Kecualilah segala usaha telah dilakukan tapi tidak juga berhasil.

Sebab itu, jika mahukan wanita solehah, elokkanlah perilaku kita. Besarlah nanti harapan mendapatkan yang solehah kerana wanita juga berhak memilih lelaki yang soleh sebagai suaminya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jika datang kepada kamu sesiapa yang kamu reda akan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah dia. Jika kamu tidak melakukannya maka ia akan menjadi fitnah di bumi dan juga akan berlaku keburukan. (Riwayat al-Tabarani)

Nabi SAW juga bersabda: Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa Ramadan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya; nescaya akan dikatakan padanya: Masuklah ke dalam surga dari pintu mana pun yang kau mahu. (Riwayat Ahmad).
Apakah amalan-amalan yang membolehkan golongan isteri termasuk dalam golongan ini seterusnya menjadi ketua bidadari di syurga?

Ya, hadis ini menunjukkan sayangnya Allah SWT kepada wanita solehah dengan ganjaran dan dimudahkan bagi mereka masuk syurga iaitu dengan empat perkara iaitu solat, puasa, taat suami dan menjaga maruah diri.

Mereka tidak diwajibkan berperang menentang musuh dan mencari nafkah untuk keluarga asalkan amalan mereka dilakukan dengan benar, betul dan ikhlas.

Dalam satu riwayat mengisahkan hadis daripada Ummu Salamah r.ha. Di hujung pertanyaannya yang panjang kepada Rasulullah SAW, Ummu Salamah bertanya: Siapakah yang lebih utama, wanita dunia atau bidadari syurga?

Rasulullah bersabda: Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari seperti kelebihan apa yang nampak dengan apa yang tidak nampak. Kerana apa wanita dunia lebih utama dari mereka? Baginda menjawab, Kerana, solat, puasa dan ibadah mereka. (Riwayat Imam al-Tabarani)

Imam Ibnu Utsaimin menjelaskan, wanita solehah di dunia iaitu para isteri lebih baik daripada bidadari di akhirat. Mereka lebih baik dan lebih dicintai oleh suaminya.

Ramai yang teruja dan terharu melihat video Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin yang tahap menghormati suaminya sehingga memakaikan kasut.
Layanan bagaimanakah yang sepatutnya atau yang boleh dijadikan kayu ukur taat dan menghormati suami?

Alhamdulillah benarlah bahawa contoh yang baik akan menjadi inspirasi dan motivasi. Taat kepada suami adalah salah satu ciri wanita solehah selagi apa yang diminta oleh suami itu tidak bertentangan dengan perintah Allah SWT seperti tidak berpuasa Ramadan.

Selain daripada taat, wanita solehah juga menyenang dan mententeramkan hati suaminya. Sesuai dengan naluri manusiawi yang ingin disayangi, dimanjai, dipuji, maka perbuatan yang baik dan disenangi oleh suami jika dilakukan menjadikan isteri itu seorang yang solehah.

Contohnya, menguruskan rumah tangga dan anak-anak, menyediakan makan pakai, memasak masakan yang digemari, memanjakan suami, menjaga tutur kata yang sopan, menjaga penampilan dan kebersihan diri.

Dengan kata lain, berilah layanan sesuai dengan apa yang disenangi oleh suami. Selagi mana ia tidak memudaratkan diri dan tidak bertentangan ajaran Islam.

Dalam satu hadis ditanya kepada Rasulullah SAW: Apakah amalan yang paling baik ya Rasulullah?, Jawab baginda: Memasukkan kegembiraan dalam hati orang Islam.

Jika menggembirakan hati sesiapa sahaja dalam kalangan orang islam itu amalan terbaik, apatah lagi jika menggembirakan hati suami.

LELAKI yang ingin beristerikan wanita solehah mestilah berusaha menjadi orang yang beriman. – GAMBAR HIASAN

Ada wanita solehah ditakdirkan bernikah dengan lelaki yang culas solat dan melakukan ibadat-ibadat lain. Dalam keadaan begini, apa lagi ikhtiar yang patut dibuat?

Suami adalah ketua keluarga yang mengasihi, memimpin, melindungi dan menunjukkan contoh teladan yang baik. Terutama dalam melaksanakan perintah Allah. Kebahagiaan dan solehahnya seorang isteri juga ditentukan oleh sifat pasangan hidupnya.

Namun, pasangan ini selain memberi kebahagian juga adalah ujian kepada kita. Khasnya apabila meninggalkan perintah Allah SWT. Ia bukan sahaja hilangkan kebahagiaan bahkan keberkatan rumah tangga.

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Lautan mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tidak ditimpa hujan.

Ini boleh berlaku dalam rumah tangga. Cuma bagaimana kita melalui dan mengatasi.

Bagi isteri yang diuji dengan suami yang culas mengerjakan solat, beberapa ikhtiar tanpa henti adalah;
1. Ajakan secara langsung secara berhikmah;
2. Ajakan secara tidak sedar seperti: “awak tolong kejutkan saya subuh esok ya; awak nak solat nanti jangan lupa tolong panggil, saya nak berjemaah”;
3. Menggunakan khidmat anak secara tidak langsung- “Nak bentang sejadah dan ajak abah solat berjemaah”;
4. Kongsi ceramah online, ucapan berunsur ingatan agama dan doa supaya ada makanan dan aura rohani;
5. Berdoa agar suami diberi hidayah untuk mengerjakan solat secara istiqamah
6. Ajak anak-anak sama-sama berdoa untuk diri dan ahli keluarga dengan doa solat Nabi Ibrahim, ayat 40
7. Kenalkan suami dengan kenalan daripada kalangan jemaah masjid
8. Isteri yang solat akan menjadi sebab hidayah kepada suaminya. Insya-Allah.

Ada yang kata, dalam rumah tangga kalau suaminya baik, aman damailah rumah tangga tersebut. Betulkah andaian ini?

Ya, kerana suami itu ibarat nakhoda kapal. Jika betul kompasnya, pandai ia menentukan arah tujunya, pandai membaca laluan angin, mengatasi badai dan ombaknya sampailah dia dan anak kapalnya ke destinasi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sebaik-baik kamu adalah yang baik kepada ahli keluarganya dan aku merupakan yang terbaik dalam melayan ahli keluargaku. (Riwayat Ibn Majah)

Namun, sebagai manusia biasa suami juga tidak lari daripada salah, silap dan kekurangan. Sebab itulah perkahwinan sifatnya saling melengkapi, menutup keaiban dan memperbaiki antara satu sama lain.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dia (Isteri) pakaian bagi kamu, dan kamu (suami) adalah pakaian bagi mereka (isteri-isteri)…(al-Baqarah: 187)

Perkahwinan bertujuan menyempurnakan agama. Justeru, suami dan isteri perlu hidup saling membahu.

Belajarlah daripada contoh teladan pada Rasulullah SAW dan para isteri baginda.

Berusaha dan berdoalah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (al-Furqan: 74)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×