Sejak Mac 2020 hingga Jun lalu, sebanyak 3,396 kes Covid-19 dilaporkan berlaku dalam kalangan wanita hamil.
Sehingga 9 Ogos lalu, sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19 telah dilaporkan berbanding tiada kes kematian ibu hamil yang disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan pada tahun 2020.
Bagi tahun 2021, purata kes Covid-19 bagi bulan Januari 2021 sehingga bulan Mei 2021 adalah sebanyak dua kes pada setiap bulan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Pantai Hospital Sungai Petani, Dr. Norhayati Kasim, berkata jangkitan lebih teruk biasanya berlaku pada wanita yang berada pada tahap kehamilan trimester kedua dan ketiga.
Katanya ia berikutan mereka tidak bergejala atau justeru tidak menunjukkan tanda jangkitan yang teruk.
“Ibu hamil yang mempunyai simptom Covid-19 perlu menghubungi unit bersalin mereka dan unit bersalin akan menguruskan tempat dan masa yang tepat untuk sesi pemeriksaan. Mereka tidak perlu menghadiri rutin klinik antenatal kerana bimbang hal ini akan menyebarkan virus tersebut jika dia bertukar menjadi positif Covid-19,” katanya.
Sementara itu, peratus menerima penjagaan rawatan rapi juga meningkat daripada tiga peratus pada 10 Julai ke 5.3 peratus pada 7 Ogos lalu.
Analisis terperinci menunjukkan nisbah kes ibu hamil dijangkiti Covid-19 yang menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit Covid-19 kritikal ialah satu dalam 20.
Nisbah ini jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu satu dalam 220.
Peningkatan kes kematian mendadak dilaporkan sejak bulan Jun 2021 iaitu sebanyak 17 kes kematian dengan data menunjukkan dua kes daripada jumlah tersebut telah menerima dos pertama vaksin, manakala sebanyak 15 kes yang lain tidak menerima vaksin Covid-19.
Dr. Norhayati berkata, berdasarkan maklumat sedia ada, sebanyak 47 peratus dari kes kematian yang dilaporkan mempunyai komorbid.
“Sekiranya mempunyai gejala seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak beritahulah pihak klinik ibu dan anak supaya pemeriksaan dapat ditangguhkan sehingga tempoh pengasingan tamat,” katanya.
JAGA SOP
Dr. Norhayati menegaskan disebabkan kurang bergejala, wanita hamil perlu lebih prihatin dalam mengamalkan penjarakan sosial dan mengurangkan kontak dengan orang lain dan mengambil vaksin.
“Ada pakar menyarankan wanita hamil untuk mengambil dua dos lengkap sebelum melahirkan atau sebelum masuk trimester ketiga kerana ini adalah peringkat yang paling genting.
“Walaupun tempoh pengambilan vaksin bagi wanita hamil adalah selepas 14 minggu sehingga 33 minggu kehamilan, akibat Covid-19 yang amat mengganas ketika ini, wanita hamil perlu divaksinasi segera tanpa mengira trimester bagi mereka yang berisiko tinggi,” katanya.
WAKTU SESUAI
Dr. Norhayati ‘timing’ sesuai bagi vaksinasi untuk ibu ialah pada awal semester iaitu sehingga 13 minggu.
“Kehamilan ialah peringkat ‘organogenesis’ di mana pembentukan organ-organ bayi sedang berjalan. Oleh itu, doktor sangat berhati-hati dalam memberi ubat-ubatan pada fasa ini agar tidak mengganggu pembentukan bayi.
“Jangkitan Covid-19 yang teruk pula sering terjadi pada pertengahan ke hujung trimester kedua dan tiga. Jika kita berada pada situasi di mana Covid masih aman, seseorang wanita itu boleh memilih untuk vaksin selepas usia kehamilan melebihi 12 minggu. Namun, jika wanita berada di negeri yang jangkitan Covid-19 berada pada tahap kritikal, mereka boleh memilih dan berhak untuk diberikan vaksin secepat mungkin,” katanya.
Tegasnya, wanita hamil yang sudah lengkap dua dos vaksin masih terdedah untuk dijangkiti Covid-19, namun pengambilan vaksin semestinya dapat mengurangkan jangkitan apabila terkena wabak tersebut.
BAYI & JANGKITAN
Dalam kebanyakan kes, ibu mengandung yang menghidap Covid-19 tidak semestinya memberi kesan kepada bayi yang bakal dilahirkan berikutan risiko penularan atau penyebaran Covid-19 daripada ibu mengandung kepada bayi semasa mengandung atau melahirkan yang dikenali sebagai ‘vertical transmission’ itu masih samar.
“Bayi yang baru lahir dan mendapat Covid-19 tidak dipengaruhi oleh cara kelahiran, pilihan makanan atau sama ada wanita dan bayi tinggal bersama.
“Ada banyak faktor yang menyebabkan wanita mengandung terpaksa mengeluarkan bayi secara pembedahan sekiranya berada dalam keadaan kritikal untuk menyelamatkan ibu dan bayi.
“Jika kategori empat dan lima, selalunya oksigen kurang pada ibu dan ini akan memberi kesan pada kandungan dan bayi mungkin ada masalah selepas itu.
“Sekiranya bayi tidak cukup bulan dan keadaan ibu tidak mengizinkan, kami terpaksa keluarkan juga bayi untuk memudahkan proses ‘intubation’ atau bantuan pernafasan (CPR) ke atas ibu. Kami akan utamakan ibu dahulu dan membuat pemantauan terhadap bayi selepas itu,” jelasnya.
DITIDURKAN UNTUK SELAMAT
Mengulas kes pesakit Covid-19 perlu ditidurkan, Dr. Norhayati berkata, ia dilakukan berikutan masalah paras oksigen yang terlalu rendah dan membahayakan nyawa pesakit, oleh itu pesakit perlu ‘ditidurkan’ dalam rawatan intubasi dengan dibantu oleh mesin pernafasan.
“Maksud tidurkan pesakit adalah prosedur intubasi kerana pesakit Covid-19 berada di peringkat akhir rawatan yang memerlukan bantuan alat pernafasan untuk bernafas,” katanya.
INFO:
• Penjarakan sosial yang ketat. Wanita hamil yang tidak divaksinasi atau tidak diberi vaksin sepenuhnya boleh memilih untuk membatasi hubungan rapat mereka dengan orang lain untuk mengurangkan risiko mendapat Covid-19 atau menyebarkannya terutamanya jika mereka berada di trimester ketiga dan ketika tahap penyakit Covid-19 tinggi pada komuniti setempat.
• Kekal aktif dan hidrasi yang baik. Tetap bergerak banyak untuk mengurangkan risiko pembekuan darah pada kehamilan.
• Senaman biasa dan pengambilan makanan sihat dan seimbang serta suplemen. Obesiti adalah salah satu faktor risiko yang tinggi untuk Covid-19, dengan senaman dan diet seimbang serta suplemen asid folik dan vitamin D akan membantu menyokong kehamilan yang sihat.
• Mematuhi SOP umum yang telah disarankan oleh kerajaan dengan sebaiknya • Menepati janji temu yang telah disarankan oleh doktor: Menghadiri semua imbasan kehamilan dan janji temu melainkan anda dinasihatkan untuk kekal di rumah demi keselamatan.
• Dapatkan nasihat perubatan jika anda mempunyai gejala Covid-19 atau kebimbangan mengenai kesejahteraan diri dan bayi anda yang bakal lahir.
Sumber: Royal College of Obstetricians & Gynaecologist (RCOG)
AMBIL VAKSIN SEBAGAI PERLINDUNGAN
Ibu hamil, Rusydiana Roslam, 36 yang kini hamil 37 minggu berkata beliau mengambil vaksin bertujuan melindungi bayi dalam kandungan, mengurangkan risiko Covid-19, melindungi keluarga dan anak-anak supaya tidak dijangkiti Covid-19.
Mengakui takut jarum, namun dia tidak boleh mementingkan diri sendiri. Malah ketika ini sudahpun lengkap divaksinasi.
“Sejujurnya, saya sangat takut jarum. Kalau boleh elak ambil darah, derma darah dan sebagainya. Tapi vaksin ni, saya tak sabar nak ambil. Tiap- tiap hari sejak daftar Februari lepas, saya akan semak Mysejahtera. Bila tak dapat dapat juga tarikh, saya ikhtiar hubungi orang membantu saya,” katanya.
Berkongsi pengalaman katanya, dos pertama menyebabkan dia mengalami lenguh pada bahagian lengan saja. Justeru masih dapat melakukan kerja rumah seperti memasak dan mengemas rumah.
Namun pada suntikan dos kedua, dia mengalami demam pada hari kedua selepas disuntik.
“Badan rasa lesu sangat. Saya terpaksa makan ubat untuk kurangkan gigil sejuk. Tapi alhamdulillah, hari ketiga saya sudah sudah sembuh,” katanya.
Memperlihatkan kes Covid-19 dalam kalangan wanita hamil kian meningkat, Rusydiana menasihatkan agar mereka tidak berlengah-lengah mendapatkan vaksin.
“Kita mungkin rasa mengandung dan tidak keluar rumah, tetapi kita tidak tahu orang sekeliling kita. Ambillah vaksin, InsyaAllah tidak ada kesan mudarat untuk bayi malah membantu kita lagi kuat untuk bayi,” ujarnya.










