Berupaya membuka 13 klinik termasuk dua di India dan Rusia dalam tempoh 11 tahun beroperasi, membuktikan jenama Klinik SP Care diyakini ramai.
Pemilik tunggal Kumpulan SPCare, Dr. N. Sathia Prakash turut membuktikan pengorbanan dan keputusan berhenti makan gaji di sebuah hospital, bukanlah sia-sia.
“Pada peringkat awal, ibu bapa kurang bersetuju dengan hasrat berhenti kerana waktu itu saya berada di zon selesa dengan pendapatan tetap. Lagipun waktu itu kedudukan kewangan belum kukuh.
“Namun saya yakin kejayaan mampu diraih kerana sejak awal lagi saya memasang niat menabur bakti bakti kepada penduduk sekitar kediaman saya di Rawang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menangani kekangan itu, beliau bergerak secara solo bagi membuktikan keupayaan mengharungi dunia perniagaan dan kesihatan.
Tahun 2009 menyaksikan klinik sulungnya dibuka di Rawang Mutiara Business Centre.
“Saya tak sangka banyak permintaan daripada penduduk setempat sehingga tidak cukup tangan melayan pesakit. Justeru saya memanjangkan operasi klinik ke 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dalam memastikan penduduk mendapat rawatan kesihatan yang baik,” katanya.
KLINIK JADI RUMAH
Menjayakan operasi klinik 24 jam, selama tiga tahun Dr. Sathia Prakash menjadikan klinik sebagai ‘rumahnya’.
“Saya tiada pilihan kerana ketika itu ada kekangan untuk menggaji pekerja,” katanya mengimbau kenangan. Hari ini operasi klinik lebih lancar dengan kekuatan kira-kira 150 tenaga kerja.
Mengimbau detik itu, beliau tidak sangka akan berjaya sehingga tahap ini. Baginya ia adalah satu kerja gila, namun sesekali tidak akan mengalah dan melakukannya separuh jalan.
Dr. Sathia Prakash adalah anak seorang posmen dan membesar dalam keluarga yang susah. Namun itu bukan halangan untuknya menggapai cita-cita dan melakukan yang terbaik dalam kerjayanya.
Lulusan perubatan dari Kursk State Medical University, Rusia ini kemudian menyambung pengajian peringkat sarjana di Crimea State Medical University pada 2002.
Beliau menyambung pengajian dalam bidang Traumatologi dan Ortopedik di Rusia sekaligus menjadi rakyat Malaysia pertama yang mendaftar bidang itu.
Setelah beberapa tahun berkhidmat di hospital di sana, beliau pulang ke Malaysia pada 2003 dan bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama lima tahun sebelum ke Hospital Universiti Kebangsaan (kini Hospital Canselor Tuanku Muhriz).
Beliau kemudian ditawarkan jawatan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang terlibat dengan pembuatan vaksin halal sebelum berhenti dan membuka kliniknya yang pertama di Rawang.
COVID-19
Pertama kali mendengar mengenai penularan Covid-19 dalam negara, beliau tidak menunggu lama untuk mengubah suai restoran miliknya yang terletak sebaris dengan klinik dan farmasi untuk dijadikan pusat saringan ujian Covid-19.
“Pada ketika itu, para pekerja bertanya mengapa saya menutup restoran seolah-olah perkara buruk berlaku.

“Saya terangkan kepada mereka tentang tugas baharu yang harus dipikul.
“Usaha ini akan memudahkan orang ramai mengetahui tentang status kesihatan mereka memandangkan Covid-19 adalah pandemik yang berbahaya dan boleh meragut banyak nyawa,” katanya.
Satu lot kedai turut dijadikan pusat vaksinasi dengan kadar penerimaan vaksin untuk 60 orang sehari ekoran patuhi prosedur operasi standard (SOP).
PELUANG PEKERJAAN
Mengenangkan ramai terjejas akibat Covid-19, Dr. Sathia Pakash mempelawa insan memerlukan datang ke klinik mengambil stok makanan ataupun tawaran peluang pekerjaan.
“Sebelum ini saya menerima seorang pramugari hilang pekerjaan untuk bekerja. Saya lebih suka mereka jumpa saya dan bertanyakan peluang pekerjaan.
“Percayalah, saya akan bantu sedaya upaya berdasarkan kebolehan mereka. Cara ini jauh lebih baik untuk mereka mengubah nasib,” katanya.











