Hubungan harmoni antara rakyat dengan kerajaan merupakan suatu bentuk simbiosis yang menjadi teras utama kepada kesejahteraan yang dinikmati oleh sesebuah negara. Pentadbiran yang utuh memerlukan sokongan dan kepercayaan daripada rakyat bagi membolehkan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan secara berkesan. Tanpa keyakinan rakyat, sesebuah pentadbiran akan kehilangan arah tuju. Aspek saling melengkapi ini membuktikan bahawa kedua-dua pihak memegang peranan yang sama penting demi memastikan kelangsungan sesebuah negara.
Apabila pentadbiran berada dalam keadaan stabil, pemimpin negara dapat memberi fokus terhadap usaha merangka polisi jangka panjang yang menarik pelaburan, menyediakan peluang pekerjaan dan memperkasa infrastruktur awam.
Keadaan ini membolehkan rakyat membina kehidupan yang lebih baik, meningkatkan taraf hidup serta menyumbang semula kepada negara menerusi percukaian. Pulangan hasil inilah yang akan disalurkan kembali oleh kerajaan dalam bentuk perkhidmatan kesihatan, pendidikan berkualiti, dan bantuan sosial yang komprehensif.
Perkaitan yang saling menguntungkan ini akhirnya mewujudkan kitaran kemajuan yang mengukuhkan lagi daya tahan negara menghadapi pelbagai cabaran global.
Kekuatan hubungan antara rakyat dan kerajaan dapat dilihat melalui kemampuan Malaysia untuk terus bertahan dan berkembang dalam suasana global yang penuh ketidaktentuan. Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua 2026, satu pencapaian yang memberangsangkan.
Begitu juga dengan perkembangan perdagangan Malaysia pada Julai 2026, jumlah dagangan negara meningkat sebanyak 37.3 peratus kepada RM364.7 bilion berbanding RM265.7 bilion pada tahun sebelumnya.
Selain itu, program penyasaran subsidi secara berperingkat kian menunjukkan keberkesanannya apabila langkah yang diambil ini mengurangkan ketirisan dan menjana penjimatan berbilion ringgit.
Namun, ukuran kemakmuran sesebuah negara tidak seharusnya berhenti pada angka pertumbuhan ekonomi. Kemajuan yang sebenar adalah apabila pertumbuhan itu sampai kepada denyut jantung kehidupan rakyat.
Usaha meneruskan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan penambahbaikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menjadi antara manifestasi kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat untuk membantu golongan yang memerlukan dalam mendapatkan barangan keperluan asas serta meringankan beban kehidupan.
Dalam perumpaan yang mudah difahami, rakyat dan kerajaan ibarat akar dan pohon. Kerajaan ialah pohon yang menaungi kehidupan rakyat, menyediakan ruang untuk rakyat tumbuh, berlindung dan membina masa depan.
Rakyat pula merupakan akar yang mencengkam bumi, memberikan kekuatan agar pohon itu terus teguh berdiri. Begitulah simboliknya hubungan antara kedua-duanya yang saling memerlukan, saling menguatkan dan saling menentukan arah masa depan.
Dalam ikatan tersebut, nilai kepercayaan menjadi air yang menyuburkan akar kesetiaan. Rakyat perlu percaya bahawa negara dan kepimpinan akan terus menjaga kesejahteraan, keselamatan dan keamanan mereka.
Konteks ini selari dengan Prinsip Kedua Rukun Negara, Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Prinsip ini bukan sekadar untuk dilafazkan dalam upacara rasmi, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan dalam kehidupan seharian.
Kesetiaan kepada Raja dan Negara menjadi salah satu tiang yang menyokong kestabilan Malaysia, khususnya dalam sebuah negara yang dihuni masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan latar kehidupan.
Kesetiaan juga tidak bermaksud menutup ruang kepada pandangan dan teguran.
Sebaliknya, rakyat yang mencintai negara akan berani memberikan pandangan yang membina demi memperbaiki keadaan. Cinta kepada tanah air menuntut kita untuk melihat kepentingan yang lebih besar daripada kepentingan diri atau kelompok.
Di sinilah kita melihat makna sebenar sebuah negara yang menjaga rakyatnya. Apabila rakyat merasakan mereka tidak dilupakan, kepercayaan akan tumbuh, lantas kesetiaan akan berakar.
Negara menjaga rakyat, rakyat menguatkan negara. Selagi akar kesetiaan terus mencengkam bumi dan pohon kepercayaan terus tumbuh subur, Malaysia akan terus berdiri teguh. Rakyat dan kerajaan akan terus melangkah ke arah yang sama bagi menjaga kesejahteraan, mempertahankan keharmonian dan membina masa depan yang gemilang untuk generasi yang akan datang.-UTUSAN











