Covid-19: Apa persiapan sebelum ditidurkan - Utusan Malaysia

Covid-19: Apa persiapan sebelum ditidurkan

APABILA pesakit Covid-19 hendak ditidurkan, umat Islam dianjur melakukan beberapa perkara termasuk banyakkan bertaubat dan mengucap dua kalimah syahadat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mutakhir, kita sering dikejutkan dengan berita pesakit-pesakit Covid-19 yang terpaksa ditidurkan akibat paras oksigen mereka tidak stabil. Proses yang bertujuan untuk meningkatkan kestabilan oksigen ini kadang-kala berakhir dengan kejayaan.

Namun tidak kurang juga para pesakit yang tidak berjaya diselamatkan.

Semestinya apabila doktor menasihatkan agar seseorang pesakit ditidurkan, ini akan menjadi satu situasi yang sangat berat dan kritikal bagi pesakit serta keluarga.

KETENTUAN ALLAH

Hidup dan mati adalah perkara yang tidak dapat dielakkan oleh makhluk. Walau sehebat manapun usaha untuk mengekalkan kesihatan, namun apabila tiba detik pengakhiran, nyawa yang merupakan pinjaman akan dikembalikan semula kepada al-Rahman.

Rasulullah SAW dalam hadisnya menyatakan ajal kita sebenarnya sudah ditulis oleh satu malaikat semasa kita telah melepasi tempoh 42 hari dalam perut ibu.

Rasulullah SAW bersabda: Apabila 42 malam telah melalui air mani (yang berada di dalam rahim seorang perempuan) Allah mengutus satu malaikat kepada air mani tersebut. Lalu malaikat tersebut telah menggambarkannya (dengan rupa seorang manusia), menciptakan pendengarannya, penglihatannya, kulitnya, dagingnya dan tulang-tulangnya.

Kemudian malaikat itu telah berkata: Wahai Tuhan. Adakah (dia) seorang lelaki atau seorang perempuan? Lalu tuhanmu akan menentukan apa sahaja yang Dia telah kehendaki dan malaikat itu akan menulis (apa yang Allah kehendaki dari sudut jantina janin).

Kemudian malaikat tersebut akan berkata: Wahai Tuhan, (bilakah berakhir) ajalnya? Maka tuhanmu akan berfirman apa sahaja yang Dia kehendaki dan malaikat tersebut akan menulis (tempoh ajal si janin yang telah ditetapkan oleh Allah).

Kemudian malaikat tersebut akan berkata: Wahai Tuhan, (bagaimana pula dengan) rezekinya? Maka tuhanmu akan menentukan apa sahaja yang Dia kehendaki dan malaikat tersebut akan menulis.
Kemudian malaikat tersebut akan keluar (meninggalkan janin) dengan lembaran (yang telah ditulis padanya akan takdir si janin) tersebut berada di tangannya.

Maka malaikat itu tidak akan menambah melebihi apa yang beliau telah diperintahkan (untuk menulisnya di lembaran tersebut) dan malaikat tersebut (juga) tidak akan mengurangi (sedikit pun apa yang beliau telah diperintahkan untuk menulisnya). (Riwayat Muslim)

Maka sama ada mahu atau tidak, setiap orang tidak dapat lari daripada ketentuan ajal yang sudah termaktub sejak dia berada di dalam rahim ibunya bahkan sejak azali lagi.

DITIDURKAN ADALAH IBADAH

Menjaga nyawa adalah satu amanah bahkan ia adalah salah satu maqasid syariah daripada lima tujuan utama pensyariatan segala hukum-hakam iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga kehormatan dan menjaga harta.

Apabila para doktor tidak mendapati cara lain untuk menyelamatkan nyawa seseorang pesakit melainkan dengan cara menidurkannya, maka menerima untuk ditidurkan adalah satu ibadah.

Ini kerana ia adalah satu usaha untuk menyelamatkan nyawa si pesakit.

Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Kalian semua berubatlah wahai hamba-hamba Allah kerana sesungguhnya Allah -Maha Suci Dia- tidak akan meletakkan penyakit melainkan Dia telah meletakkan bersama-samanya penawar (bagi penyakit tersebut) melainkan kelanjutan usia. (Riwayat Ibnu Majah)

TINDAKAN SEBELUM DITIDURKAN

Seseorang pesakit yang terpaksa ditidurkan sebagai usaha terakhir menyelamatkan nyawanya perlu menyedari tidak mustahil itulah pengakhiran hidupnya di alam yang fana ini.

Banyakkan berdoa: Pesakit yang bakal ditidurkan hendaklah memperbanyakkan doa kepada Allah agar memberikan kesembuhan kepadanya.

Dia juga hendaklah menyedari bahawa ujian yang sedang ditanggungnya adalah satu pengampunan dosa oleh Allah SWT.

Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: Tidak akan menimpa seorang muslim (apa sahaja) daripada kepenatan, kesakitan, kerunsingan (disebabkan musibah yang bakal berlaku), kesedihan (disebabkan musibah yang berlaku), kemudaratan dan penderitaan sehinggakan duri yang menusuknya pun melainkan Allah telah menutupi disebabkan musibah-musibah itu akan kesilapan-kesilapannya. (Riwayat Bukhari)

Bertaubat. Pesakit yang bakal ditidurkan hendaklah memperbanyakkan istighfar atas segala kesilapan dan dosanya yang lampau.

Dia hendaklah meyakini sebesar manapun dosanya, Allah tetap Maha Pengampun.

Inilah yang dinamakan bersangka baik dengan Allah SWT.

Kepentingan bersangka baik dengan Allah telah dinyatakan di dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: Allah SWT berfirman: Aku di sisi sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. (Riwayat Bukhari)

Dalam masa yang sama sekiranya si pesakit pernah menzalimi dan mengambil hak orang lain, hendaklah meminta ahli keluarganya memulangkan semula harta yang telah diambilnya secara zalim kepada pemilik asalnya.

Memohon maaf. Pesakit hendaklah memohon maaf daripada ahli keluarga dan mereka yang mempunyai hubungan dengannya.

Sekiranya peniduran itu adalah pengakhiran hidupnya, dia akan kembali kepada Allah Yang Maha Mengasihi dalam keadaan dia sudah dimaafkan oleh orang yang terdekat dengannya.

Zikrullah. Pesakit hendaklah sentiasa membasahkan lidahnya dengan menyebut nama Allah dan memperbanyak selawat ke atas Nabi SAW.

Ibadah berzikir adalah satu ibadah yang sangat mudah tetapi sangat besar pahalanya di sisi Allah SWT.

Bayangkan dengan hanya satu selawat, orang yang berselawat diampunkan oleh Allah akan 10 dosanya dan dia diberikan pula oleh Allah SWT 10 kebaikan.

Mengucap syahadah. Pesakit yang bakal ditidurkan hendaklah mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum ditidurkan.

Sekalipun dia bukan dalam keadaan nazak, namun tidak mustahil dia akan pergi selama-lamanya setelah ditidurkan.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa sahaja yang akhir kalamnya adalah La Ilaha Illallah (Tiada Tuhan Melainkan Allah), dia akan masuk syurga. (Riwayat Abu Daud)

STATUS SOLAT SELAMA DITIDURKAN

Apabila pesakit yang ditidurkan berjaya dirawat dan kembali terjaga daripada lenanya, dia tidak diwajibkan mengqada solat-solat yang tinggalkannya sepanjang tempoh ditidurkan.

Ini kerana statusnya adalah sama seperti status orang yang pengsan. Walau bagaimanapun dia disunatkan mengqada solat-solat yang ditinggalkan itu.

Sekiranya peniduran berlaku pada Ramadan, maka puasa yang ditinggalkan wajib diqada apabila individu berkenaan kembali sihat.

  • PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN