Sajian tertentu seperti daging antara sering dielakkan kerana dipercayai tidak baik untuk kesihatan individu.
Namun Perunding Diatetik, Mary Easaw berkata itu semuanya hanyalah tanggapan.
Katanya tidak ada istilah makanan baik atau buruk pada tubuh, asalkan ia diambil secara sederhana dan berpada-pada.
“Panduan makanan Malaysia menerusi konsep suku-suku separuh sudah ada untuk dipatuhi bagi mengukur sama ada pengambilan makan seharian kita adalah sihat atau sebaliknya.
“Pelbagaikan makanan kita ambil dengan warna dan jenis kerana setiap satu memiliki khasiat berbeza pada tubuh badan. Ini termasuklah juga sajian daging merah, putih dan sayur-sayuran,” katanya.
Memperbetulkan tanggapan itu, katanya daging merah seperti lembu merupakan sumber protein, zat besi, zink dan pelbagai lagi nutrisi yang baik untuk tubuh.
“Kesemua khasiat ini amat mustahak peranannya pada manusia antaranya, ia berperanan membantu otak berfungsi dengan baik dan membantu meningkatkan imuniti tubuh. Malah zink daripada daging juga mudah diserap badan. Sebanyak 100 gram daging anggaran nilainya, sama dengan makan setengah kilogram bayam,” katanya pada taklimat media daging Australia secara maya Terokai Rasa Daging Australia Sebenar baru-baru ini.
Turut serta Kaunselor Pertanian Australia, Suruhanjaya Tinggi Australia, Sanjay Boothalingam dan Chef Victor Chow.
Easaw yang juga Pensyarah Kanan International Medical University (IMU), turut menegaskan pemakanan sihat seharusnya disertai dengan gaya hidup yang sihat juga, termasuk minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari dan melakukan senaman tiga kali seminggu.
“Jangan salahkan makanan sebaliknya nikmati ia secara sederhana,” katanya.
Sementara itu, Sanjay berkata daging lembu Australia, di jenamakan dengan daging lembu True Aussie Beef, adalah daging berkualiti sepadan harga ditawarkan.
Katanya produk berkenaan, menawarkan industri halal daging lembu terbesar di dunia.
“Sebilangan besar lembu Australia dipelihara di padang rumput terbuka, dan daging lembu rumput Australia secara semula jadi rendah lemak dan kolesterol selain kadar asid lemak Omega 3 yang lebih tinggi.
“Standard ini sejajar dengan peranan dimainkan Australia sebagai pembekal produk bersih, selamat dan semula jadi. Ia disokong dengan status bebas penyakitnya dan sistem keselamatan serta integriti pada peringkat global,” katanya.
Selain itu, Malaysia juga satu-satunya negara yang mempunyai pegawai atase di Australia, yang akan melakukan auditnya sendiri setiap tahun.
Meat & Livestock Australia (MLA) Global Consumer Tracker Malaysia, 2020 mendedahkan Malaysia mempunyai penggunaan daging lembu per kapita yang tinggi sekitar tujuh kilogram (kg) per orang setahun, berbanding 5.4 kg di rantau Asia.
Ia menjadi sajian kegemaran keluarga berpendapatan sederhana hingga tinggi.
KHASIAT DAGING
*Mengurangkan keletihan dan membantu tubuh bertenaga.
*Membantu fungsi kognitif dengan normal.
*Menjaga kesihatan dan membantu pertumbuhan tulang.
*Mengawal selia fungsi saraf.
*Mengekalkan kesihatan sistem imun.










