Salixium ambil masa 15 minit kesan Covid-19 - Utusan Malaysia

Salixium ambil masa 15 minit kesan Covid-19

Kakitangan makmal menguruskan proses pembungkusan Salixium dengan teliti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dengan angka jangkitan harian Covid -19 yang semakin meningkat, perlu satu pendekatan sampingan bagi merungkai masalah tersebut. Ini selain mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) serta penggunaan vaksin bagi tujuan perlindungan.

Antara yang diperkenalkan adalah ujian pengesanan peringkat awal bagi mengetahui seseorang itu telah dijangkiti atau sebaliknya.

Menyedari pentingnya pengesanan peringkat awal, sebuah syarikat tempatan MeDKAD boleh berbangga dengan kejayaan membangun­kan kit mengesan yang dinamakan Salixium Covid-19 Rapid Antigen Test untuk sampel calitan air liur atau hidung.

Salixium adalah produk buatan Malaysia pertama dari jenisnya dan diluluskan untuk penjualan di negara ini oleh Kementerian Kesihatan.

Ia memberikan hak kepada syarikat berkenaan untuk memasarkan dan menjual Salixium.

Salixium menggunakan teknologi immunoassay aliran lateral untuk mengesan
antigen SARS-CoV-2 dalam spesimen calitan air liur dan dinding bahagian dalam hidung.

Ia boleh digunakan oleh makmal perubatan atau pekerja kesihatan bagi ujian tempat rawatan dan ujian kendiri di rumah.

Menurut Pengurus Projek, Syahriah Razak, di bawah MeDKAD, Salixium mengguna pakai teknologi imunokromatografi untuk mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 di dalam spesimen calitan air liur dan hidung.

Katanya, ujian mudah ini mengambil masa dari 10 hingga 15 minit untuk keseluruhan proses dan hasil ujian dilihat daripada kawasan garis ujian yang mengesahkan kehadiran antigen.

SYAHRIAH RAZAK

“Apabila spesimen yang mengandungi antigen SARS-CoV-2 ditambahkan kepada pad sampel, ia akan bertindak balas terhadap conjugate (Covid-19 antibodi-gold conjugate) untuk membentuk kompleks, bergerak di sepanjang membran nitroselulosa atas prinsip kapilari dan melekat pada Covid-19 antibodi yang ditetapkan di kawasan garis ujian.

“Kehadiran atau ketidakhadiran antigen SARS-CoV-2 ditentukan dengan kemunculan garis merah jambu-ungu di kawasan tersebut. Jika spesimen tidak mengandungi antigen SARS-CoV-2, tiada jalur warna akan muncul dan ini menandakan ujian adalah negatif,” katanya.

Untuk berfungsi sebagai kawalan prosedur, jalur warna akan muncul di kawasan kawalan produk tanpa mengira kehadiran atau ketiadaan antigen SARS-CoV-2 dalam sampel.

Menurut Syahriah, sebanyak 242 sampel calitan air liur/hidung diuji dengan Salixium dan hasil kajian dibandingkan dengan spesimen yang diuji menggunakan real-time RT-PCR yang diluluskan oleh Penggunaan Kecemasan Pihak Berkuasa Kawalan Ubat-Ubatan (FDA Emergency Use).

Hasil ujian

Berdasarkan perbandingan tersebut, hasil ujian menunjukkan ukuran sensitiviti Salixium adalah 91.23 peratus dan ukuran spesifikasi adalah 100 peratus- iaitu hasil yang amat mengagumkan bagi kit ujian kendiri.

Kit ujian ini telah melepasi penilaian berdasarkan hasil ujian makmal yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kajian turut dijalankan untuk menilai tahap pemahaman untuk menjalankan ujian menggunakan kit ujian kendiri di rumah.

Hasil kajian responden menunjukkan tahap pemahaman adalah baik dan para responden juga bersetuju bahawa arahan penggunaan adalah jelas dan mudah difahami. Calitan air liur dan hidung untuk sampel juga boleh diambil dengan mudah dan interpretasi hasil ujian adalah jelas.

MeDKAD ditubuhkan pada 2016 dengan misi memperkasa sebuah ekosistem kesihatan yang adil dan berfaedah (Empower a Fairer Health Benefits Ecosystem).

Sebagai sebuah syarikat yang berinovatif, kredibiliti dan prestasi MeDKAD meningkat dari tahun ke tahun dalam usaha membantu tiga pihak berkepentingan yang utama iaitu – majikan, pekerja dan panel (klinik, hospital, pusat rawatan pergigian, pusat optikal dan farmasi).

Ia bagi mengurus secara efisien dan efektif proses tuntutan faedah kesihatan pihak-pihak yang berkaitan.

Bahagian makmal dan kilang bersedia meningkatkan pengeluaran volum Salixium bagi memenuhi permintaan tinggi dari dalam dan luar negara.

Syahriah berkata, penyelidikan itu bermula 2020 bertujuan membangunkan satu inovasi yang membantu usaha mengekang penularan Covid -19.

Katanya, memandangkan ketika ini hanya ada dua kaedah bagi mengesan virus berkenaan iaitu RTK Antigen dan RT-PCR di mana hanya klinik dan hospital boleh menjalankan ujian saringan tersebut.

Dalam masa sama, adalah penting bagi sektor pekerjaan menjalankan ujian Covid-19 dalam kalangan pekerja dan komuniti dan ini memerlikam kos yang tinggi bagi mendapatkan ujian berkenaan.

“Justeru inisiatif ini dihasilkan bagi memudahkan pelbagai pihak dalam mengesan virus Covid-19 dengan melakukan ujian kendiri dengan mudah dan tepat,” ujarnya.

Ditanya apakah yang mendorong syarikat menjalankan penyelidikan tersebut, Syahriah berkata, sebagai rakyat Malaysia, pihaknya berasa perlu menonjolkan inovasi tempatan bertaraf tinggi setanding dengan pengeluar dari negara lain.

Tambahan pula, apabila menghasilkan kit ini di negara sendiri, mudah menjaga tahap kualiti produk serta kawal pengeluaran kit dengan lancar. Ini termasuk juga dengan harga kit dipasarkan yang semestinya harga mampu milik kepada seluruh rakyat.

“Selain itu, dengan adanya kit ini ia mampu meningkatkan tahap kesedaran orang ramai untuk sentiasa bersedia menyemak diri serta ahli keluarga sendiri dengan mudah.
“Ini merupakan antara sebab tercetusnya idea untuk membuat kit ujian kendiri Salixium Covid-19 Rapid Antigen Test,“ ujarnya sambil memberitahu syarikat bekerjasama dengan pengilang tempatan yang berdaftar bagi pengeluaran kit berkenaan.

Perluaskan pasaran Salixium

Sejajar dengan aspirasi menjadi pembekal kepada keperluan kesihatan dan meluaskan pasaran perniagaan kepada perniagaan (B2B) kepada perniagaan kepada pengguna (B2C) MeDKAD memperoleh kepakaran untuk membangunkan, menghasilkan bersama rakan strategik memasarkan Salixium di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob berkata, pihaknya mempunyai saintis dan pakar perubatan yang bukan sahaja mempunyai rangkaian yang tepat serta kebolehan untuk menjalankan ujian mereka sendiri.

Katanya, pihaknya boleh bekerjasama dengan institusi kajian sama ada dalam atau luar negara untuk memastikan keberkesanan produk.

EZUAN YAACOB

Selain Malaysia, MeDKAD merancang menembusi negara lain di Asia, Eropah dan Timur Tengah. Salixium juga digunakan dengan meluas di Perancis, Indonesia dan Emiriyah Arab Bersatu terutamanya di Dubai.

“Salixium telah berada di pasaran pada 19 Julai lalu. Ia adalah objektif utama kami untuk memastikan agar kit ujian kendiri ini boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia.

“Ia efektif dari segi kos dan dipercayai untuk mendapatkan hasil ujian pantas tentang jangkitan virus SARS-CoV-2. Kami masih dalam proses mendapatkan pensijilan Halal bagi Salixium,” ujarnya.

Kit ujian ini juga disahkan bebas daripada kandungan babi dan tidak mengandungi sebarang DNA haiwan oleh Halvec Laboratories Sdn. Bhd.

Ia adalah pertahanan peringkat pertama dalam usaha memerangi ancaman pandemik yang berlarutan.

“Walaupun impak negatif pandemik ini sangat besar, ia memberi peluang kepada syarikat tempatan seperti MeDKAD berinovasi dalam membantu kerajaan dalam inisiatif mengawal penularan pandemik,” katanya.

“Ia juga dapat memacu ekonomi negara dan memberi inspirasi kepada bakat-bakat baru membangunkan lebih banyak produk inovasi yang berkaitan selari dengan polisi negara dalam Revolusi Industri 4.0”, kata Ezuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×