Isolasi sosial diharungi, akibat pandemik Covid-19, boleh menyebabkan individu mengalami stres secara berlebihan.
Lembaga Penasihat Nutrisi Herbalife, Gary Small, berkata sekiranya tidak dirawat individu cenderung mengalami stres tahap kronik yang mana ia boleh menjejaskan kesihatan, pada masa sama melemahkan sistem imun tubuh melawan penyakit.
“Kenali stres yang dialami dan pelajarilah teknik menanganinya. Tidak ada jenis khusus kerana penerimaannya bergantung kepada individu. Kalau tidak sesuai cara A, pilih kaedah B. Yang penting berusaha redakan tekanan dialami,” katanya.
Berikut antara tips tangani stres:
• Kenal pasti gejala stres. Kenaikan berat badan; sakit kepala; perubahan mood; sakit belakang dan leher; serta gangguan tidur pada waktu malam merupakan gejala stres. Dengan mengenal pasti gejala ini, anda dapat mengetahui bila strategi tertentu boleh diamalkan untuk menangani stres yang sedang dialami.

• Kenali pencetus stres anda. Ketika anda bekerja di rumah atau sedang menonton berita, lalu anda mula berasa cemas, jengkel atau mengalami sakit kepala atau sakit pada bahagian leher, maka anda perlu bergerak dan asingkan diri daripada sumber stres. Rehatkan minda dengan menghirup udara segar melalui jendela atau balkoni di rumah anda, mendengar muzik atau meluangkan masa di ruang yang senyap buat seketika untuk memperbetulkan semula keadaan mental anda dan kembali menjalankan tugas.
• Asingkan diri daripada sumber media. Ketegangan mental dan kegelisahan akan bertunas jika anda berdamping dengan mana-mana outlet media 24 jam sehari. Ambil masa rehat dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat menghilangkan rasa jemu dalam rutin harian. Hubungan yang dijalin dengan individu yang anda percayai untuk berkongsi tentang perasaan, dapat membantu memperbaiki mood.
• Temui outlet kreatif anda. Luangkan masa untuk menemukan semula hobi lama yang anda gemari, atau cari aktiviti baharu untuk dilakukan. Dengan mengalih fokus kepada sesuatu yang baharu, ia dapat membantu anda berasa lebih tenang dan bertenaga.
• Bernafas dengan betul. Proses pernafasan natural melibatkan anatomi diafragma. Bila kita bernafas menggunakan diafragma, perut kita akan mengembang ketika menarik nafas dan mengecut ketika menghembuskan nafas. Kita sering lupa betapa pentingnya amalan pernafasan yang betul dan cenderung untuk melibatkan dada dan bahu dalam proses pernafasan, yang boleh menjurus kepada nafas pendek lalu meningkatkan stres dan kegelisahan. Inilah waktu terbaik untuk anda memperbaiki cara bernafas. Sebagai permulaan, cari ruang yang senyap untuk anda berbaring. Letakkan satu tangan di atas dada dan satu tangan di atas perut anda. Apabila anda bersedia, tarik nafas secara perlahan-lahan. Ketika proses ini, perut anda akan mengembang, dan bila anda menghembus nafas, paras dada anda akan menurun. Kaedah pernafasan ini yang diamalkan setiap hari selama 20 hingga 30 minit dapat mengurangkan kegelisahan dan menggalakkan ketenangan.
• Amalkan gaya hidup aktif. Cari aktiviti rekreasi anda gemari. Senaman dapat memperbaiki kesihatan secara menyeluruh dan ia merupakan kaedah efektif menangani stres. Bila bersenam, tubuh akan membebaskan endorfin, iaitu hormon di dalam otak yang membantu mengurangkan persepsi kesakitan serta memperbaiki mood. Senaman berkala dapat menaik taraf kualiti tidur, lalu mengurangkan stres dan keletihan. Jika anda memiliki peranti kecergasan, terapkan aktiviti berjalan dengan menyasarkan 10,000 langkah setiap hari. Matlamat yang disasarkan dapat memberikan anda motivasi serta merasai kepuasan.
• Jaga hubungan sosial. Hubungan sosial yang dipelihara dengan ahli keluarga dan rakan taulan adalah mustahak. Cuba hubungi insan yang anda hargai setiap hari menggunakan kemudahan seperti media sosial, sidang video atau panggilan telefon.
• Pelihara rutin anda. Kekalkan konsistensi dengan aktiviti yang anda boleh kawal. Jika anda bekerja dari rumah, maka anda boleh membentuk sebuah rutin harian. Bertindak seolah-olah anda akan pergi bekerja seperti sedia kala. Bangun pada waktu yang biasa dan bersiap. Tidak perlu memakai sut profesional, pakaian kasual sudah memadai. Sediakan ruang pejabat khas yang bebas dari gangguan supaya anda fokus. Amalkan waktu rehat secara berkala untuk mengurangkan tekanan. Kebanyakan individu yang kerja dari rumah biasanya terpacak di meja kerja masing-masing dalam tempoh yang lama dan tidak bergerak aktif. Waktu-waktu rehat yang diambil sepanjang hari seperti yang anda lazimnya buat di tempat kerja berupaya untuk membuat aktiviti harian anda berasa lebih terkawal dan normal.










