KOTA BHARU: Pelbagai cara dilakukan bakal pengantin baharu untuk mendapatkan khidmat jurunikah dari Thailand, biarpun pintu sempadan negara masih ditutup bagi menghalang penularan pandemik Covid-19.
Gara-gara terdesak mahu disatukan secara sah, ada pasangan terbabit dikatakan sanggup menyeberangi Sungai Golok secara diam-diam menghampiri tebing sebelah Thailand untuk diijabkabulkan walaupun di dalam perahu.
Lebih mengejutkan, kos nikah ‘dalam perahu’ terbabit didakwa jauh lebih murah iaitu sekitar RM800 berbanding pakej nikah sempadan yang ditawarkan sebelum ini yang mencecah antara RM2,000 hingga RM5,000.
Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, ejen nikah Siam yang enggan namanya disiarkan berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), prosedur itu bertambah rumit kerana pintu sempadan negara dikawal ketat.
Sebagai pemudah cara yang menemukan pasangan bakal pengantin dari negara ini dengan jurunikah di Thailand, dia terpaksa memikirkan kaedah baharu bagi membolehkan ‘pelanggannya’ selamat disatukan.
“Salah satu cara, mereka perlu sanggup naik perahu dari pengkalan haram di Rantau Panjang atau di Pengkalan Kubor untuk menyeberang Sungai Golok dan bertemu tok kadi yang sudah siap sedia menunggu di tebing sebelah Thailand.
“Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa terutama dari Malaysia yang sekarang agak tegas termasuk berkawal sepanjang masa, urusan itu dilakukan pada waktu maghrib,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Jelas ejen itu, setakat ini, hanya beberapa pasangan sanggup meredah Sungai Golok dengan cara demikian manakala kebanyakan bakal pengantin baharu lain menolak kaedah itu walaupun kosnya murah.
Rata-rata mereka katanya, menolak ‘membuktikan’ cinta masing-masing di dalam perahu kerana enggan berdepan risiko ditangkap pihak berkuasa, biarpun dipujuk dan diberitahu kaedah itu sah di sisi Islam.
Seorang lagi ejen nikah sempadan yang mahu dikenali sebagai Kak Ros, 50-an, berkata, dia ada mendengar kaedah terbaharu ‘nikah dalam perahu’ itu, namun menolak rayuan pelanggan yang meminta bantuannya kerana enggan bersubahat.
Menurutnya, larangan merentas sempadan negara ketika pandemik tidak wajar dilanggar atas apa jua alasan, lebih-lebih lagi dalam keadaan kes jangkitan Covid-19 masih serius di Malaysia ketika ini.
“Orang luar sudah tidak boleh merentas negeri ketika ini, maka hanya orang Kelantan yang masih lagi memujuk saya supaya mengaturkan urusan untuk mereka bernikah di Thailand atas pelbagai alasan.
“Paling kerap, mahu tambah isteri tetapi terhalang, sama ada sebab isteri tua, atau keluarga pihak perempuan yang tidak mahu anak mereka bermadu. Selain itu, ada juga pasangan terlanjur sehingga mengandung. Semuanya saya tolak,” katanya. – UTUSAN ONLINE










