Ketika negara sedang giat menjalankan pemberian vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh negara, timbul pula pelbagai isu mengenai mutasi virus yang menghasilkan varian baharu.
Lebih menakutkan, pelbagai spekulasi berlegar-legar di media sosial mengatakan varian baharu ini lebih berbahaya dan membawa risiko maut lebih tinggi berbanding sebelumnya.
Benarkah proses mutasi virus yang menyebabkan varian baharu sangat berbahaya seperti yang diperkatakan? Adakah itu juga bermakna makin sukar untuk kita melawan pandemik ini?
Menjawab persoalan itu, Pakar Virologi, International Medical University (IMU), Dr. Kenny Voon berkata, tujuan utama virus bermutasi adalah untuk kelangsungan hidup dan bukan untuk membunuh manusia.
Hal ini katanya, kerana manusia merupakan perumah untuk virus terus merebak. Tanpa manusia atau perumah virus tidak dapat terus merebak.
“Ia menggunakan manusia hanya semata-mata sebagai medium untuk terus tersebar atau aktif dan bukan untuk menambah kekuatan menjadi lebih kuat atau sebagainya.
“Sebenarnya, mutasi virus berlaku apabila virus mencari peluang untuk kewujudan bersama tubuh manusia. Virus bermutasi untuk kelangsungan hidup, bukan untuk membunuh. Ia cuba menyesuaikan diri dengan tubuh manusia,” katanya.
Manusia adalah hos atau perumah untuk virus dan manusia membantu virus untuk terus merebak.
Virus tidak mahu membunuh manusia, iaitu perumahnya. Jika perumahnya mati, maka kewujudan bersama akan berakhir. Oleh itu, sebab utama mutasi virus bukan untuk menambah
kekuatannya.
Bagaimanapun, jelas Dr. Kenny, kadar kematian yang tinggi pada peringkat awal ketika sesuatu virus merebak daripada satu spesies ke spesies yang lain adalah kerana virus tersebut masih belum menyesuaikan diri dengan perumah baharu.
Antara contoh yang dapat dilihat ialah virus selesema. Virus berkenaan mungkin satu virus yang menjangkiti dan mengancam manusia pada satu masa dahulu, tetapi kini ia hanya berlaku sebagai satu virus biasa serta tidak berbahaya.
“Hasil kajian makmal menggunakan tikus Syria yang membandingkan kadar kebolehjangkitan dan keperitan varian SARS-CoV-2 1 menunjukkan bahawa walaupun virus COVID-19 lebih mudah dijangkiti, ia tidak menjadi lebih membahayakan.
“Walau bagaimanapun, hasil kajian ini mungkin kurang tepat kerana ianya hasil daripada ujikaji makmal. Cara virus berinteraksi dengan manusia di dalam dunia realiti mungkin berbeza.
“Contohnya varian Delta (India). Varian itu dikatakan lebih berbahaya kerana terdapat peningkatan dalam kes kematian. Meskipun begitu, melalui ujian makmal, varian itu didapati tidak menjadi lebih berbahaya. Keputusan yang lebih tepat hanya boleh diketahui setelah kita
mendapat lebih maklumat daripada sampel masyarakat umum,” tambahnya.
Kesan varian
Biarpun berlainan varian yang wujud pada ketika ini namun situasi pencegahan masih kekal sama seperti yang sebelumnya.
Dr. Kenny berkata, prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, penjarakan sosial dan mencuci tangan dapat memberikan perlindungan.
“SOP yang ditetapkan masih perlu dipatuhi. Mencuci tangan, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial masih dapat memberikan perlindungan seperti sebelum ini.
Tiada perubahan dalam perkara ini. Virus mungkin merebak dengan lebih pantas, tetapi pematuhan kepada SOP yang sama tetap dapat melindungi kita,” ujarnya lagi.
Namun tegasnya, maklumat baharu yang virus ini boleh tersebar melalui bawaan udara menggalakkan orang ramai untuk meningkatkan langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka dua lapis dan kerap membersihkan pendingin hawa.
“Virus boleh tersebar melalui bawaan udara kerana kedua-dua virus dan titisan air yang dilekap olehnya adalah tersangat halus. Jadi kedua-duanya dapat bercantum dengan partikel-
partikel dalam udara. Partikel- partikel ini berukuran kurang daripada 2.5 mikron, ini yang membuatkan ia boleh berlegar dalam udara,” jelasnya.
Tambahnya, virus pernah dijumpai dalam ujian calitan di atas penapis pendingin hawa. Oleh itu, pengguna disarankan untuk mencuci pendingin hawa dengan lebih kerap, sekurang-kurangnya seminggu sekali.










