Mushaf digital mudahkan proses hafal al-Quran - Utusan Malaysia

Mushaf digital mudahkan proses hafal al-Quran

Ismail Salleh menunjukkan aplikasi Smart Al-Q yang membantu pelajar menghafal dengan lebih mudah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seiring dengan perkembangan teknologi tanpa sempadan pelbagai kaedah baharu dapat dibangunkan bagi memudahkan aktiviti seharian.

Terutamanya dalam bidang pendidikan bagi membentuk para pelajar yang lebih berdaya saing dan maju demi masa hadapan negara.

Seperti yang dilakukan oleh guru tahfiz Sekolah Menegah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Ismail Salleh yang membangunkan aplikasi Smart Al-Quran Memorization (Smart Al-Q) bagi merevolusi pendidikan hafazan di negara ini.

Menurutnya, idea berkenaan timbul daripada pengintegrasian kaedah hafazan secara tradisional yang hanya menggunakan mushaf bercetak kepada aplikasi multimedia menggunakan mushaf digital berteknologi serta pelbagai fungsi.

Berbanding kaedah konvensional, aplikasi ini membolehkan pelajar menggunakan mushaf al-Quran digital di dalam kelas ketika proses pengajaran dan pembelajaran.

“Aplikasi ini berfungsi ialah sebagai bahan bantu belajar berteknologi digital untuk membantu pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran hafazan di sekolah menengah Ulul Albab Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Ia dibangunkan menggunakan Teori Pembelajaran Hafazan Al-Qabisi (1955) yang menekankan proses hafazan menggunakan pancaindera iaitu visual, auditori dan kinestetik,” katanya.

Aplikasi Smart Al-Q yang dibangunkan pada 2019 oleh Ismail menggunakan Model ADDIE.

Aplikasi yang dibangunkan sejak 2019 dengan modal RM1,000 itu menggunakan Model ADDIE dengan software Adobe Flash CS6 dengan Action Script 3.0 .

Ia juga seiring dengan transformasi Pendidikan oleh KPM untuk proses pembelajaran abad ke-21.

Di bawah program Pelan Transformasi ICT dan revolusi industri 4.0, kerajaan menggalakkan penggunaan teknologi yang baharu dan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran (PdPC) di dalam kelas.

Lebih interaktif

Lebih menarik, aplikasi tersebut juga berlainan dengan aplikasi lain di pasaran kerana melalui kaedah auditori, pelajar boleh mendengar setiap ayat yang ingin dihafal berulang kali.

Selain itu, pelajar juga boleh menghafal secara kumpulan ayat tanpa berpindah kepada ayat hafazan yang lain.

Proses ini mengadaptasi kaedah tradisional kepada kaedah inovasi hafazan berteraskan aplikasi mushaf digital yang lebih interaktif.

Tambah Ismail, inovasi ini turut mendapat reaksi positif daripada pelajar yang sememangnya sudah sedia terdedah kepada teknologi masa kini.

“Pelajar lebih bermotivasi untuk meneruskan pembelajaran khususnya ketika pandemik.

“Aplikasi interaktif ini bertindak sebagai bahan bantu belajar yang mesra pengguna, efektif dan lebih bermotivasi untuk pembelajaran kendiri.

“Ibu-bapa turut teruja dengan inovasi baru yang membantu dan bertindak sebagai bahan bantu belajar berteknologi. Ia seiring dengan revolusi industri 4.0 yang menekankan pembelajaran berasaskan digital,” jelasnya.

Rangkul lapan pingat emas

Dalam pada itu, aplikasi tersebut berjaya merangkul lapan pingat emas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

ISMAIL Salleh (kanan) bersama para pelajar SKMA Kedah selepas memenangi Top 5 pertandingan International University Carnival on e-learning (IUCEL2021), baru-baru ini.

Terbaharu, pasukan inovasi dari SMKA Kedah turut memenangi Top 5 dalam kalangan peserta kategori sekolah menengah dalam Pertandingan International University Carnival on e-learning (IUCEL2021), anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Kerjasama Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) dan Majlis E-Pembelajaran Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia.

“Saya berasa amat amat gembira kerana idea untuk membangunkan inovasi hafazan digital ini diterima oleh pelajar guru dan Jabatan Pendidikan Negeri.

“Saya mengharapkan komen yang membina daripada pihak-pihak seperti Majlis reka bentuk dan KPM bagi proses penambahbaikan supaya ia dapat dijadikan bahan bantu belajar berteknologi untuk kegunaan sekolah-sekolah KPM,” kata Ismail..

Guru berusia 37 tahun ini juga mengharapkan inovasi-inovasi baharu seperti ini dapat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan terbaik di dunia.

Setakat ini, aplikasi yang sedang dalam peringkat prototaip ini telah pun digunakan di SMKA Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN