Kulit lembu ada peminat tersendiri - Utusan Malaysia

Kulit lembu ada peminat tersendiri

Proses menjemur perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan keseluruhan kulit cepat kering. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila disebut kulit lembu pasti ramai yang terkejut dan tercengang bila dikatakan bahagian terbesar di tubuh haiwan ruminan tersebut boleh dijadikan makanan yang lazat.

Namun proses menjadikan kulit lembu sebagai makanan bukanlah semudah ABC kerana beberapa proses yang perlu disempurnakan.

Menurut pemilik syarikat Azmi Ijok Farm, Azmi Mohd.Toha, 54, dari Batu 8 Ijok, Selangor, proses menjadikan kulit lembu sebagai makanan memerlukan beberapa langkah tertentu yang mengambil masa tiga hari.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Langkah pertama, kulit lembu yang dikumpul dari ladang ternakan ini akan saya potong-potong sebelum dijemur sehingga kering.

“Proses mengeringkan kulit lembu perlu dilakukan secara tersusun supaya semua kulit tersebut bebas daripada sebarang kotoran,” katanya.

Azmi yang mengusahakan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sejak lebih 10 tahun lalu berkata, kesemua kulit lembu yang dikeringkan itu akan dibakar untuk membunuh kuman yang masih ada.

Katanya, proses membakar perlu dilakukan secara menyeluruh bagi menjamin kualiti kebersihan kulit lembu tersebut.

“Proses membakar kulit lembu boleh memakan masa empat hingga lima jam melibatkan 50 hingga 100 kilogram (kg).

“Bila kita membakar perlu fokus, supaya kulit lembu yang dibakar tidak rentung hingga hilang rasanya,” katanya.

Kulit lembu siap dipotong berbentuk kiub dan dimasukkan dalam peti sejuk beku.

Azmi yang juga penternak lembu dan kambing berkata, selepas proses membakar kulit lembu beliau dibantu isteri, Mashitah Mohd. Aribi, 55, dan beberapa pekerja akan mengikis kulit lembu untuk membersihkan kesan pembakaran.

Katanya, selepas dikikis kulit tersebut proses seterusnya adalah merendam air dalam besen besar.

“Ini bagi membersihkan kulit lembu atau belulang secara menyeluruh.

“Boleh dikatakan semua proses bermula dari menjemur, membakar kulit lembu, mengikis dan merendam dilakukan dengan tujuan untuk membersihkannya secara total,” katanya.

Azmi memberitahu, kesemua kulit lembu yang sudah kembang dan menebal akan direbus dan diracik dalam bentuk kiub oleh pekerja sebelum dibungkus dalam paket 500 gram dan 1kg.

Katanya, kulit lembu yang sudah dibungkus akan disimpan dalam peti sejuk beku sebelum dipasarkan.

Mengulas mengenai kaedah pemasaran, Azmi berkata, buat masa ini tiada restoran khusus yang membuat pesanan harian mahupun bulanan.

“Kebanyakan yang membeli adalah pelanggan setia dari sekitar Kuala Selangor yang terus datang ke rumah saya.

“Selepas ada perkhidmatan grab makanan kebanyakan yang datang membeli, memesan melalui perkhidmatan tersebut,” katanya.

Harga borong kulit lembu tersebut adalah sekitar RM18 hingga RM20 bagi 1kg dan harga jualan runcit boleh mencecah RM37 bergantung kepada lokasi dan siapa yang membeli.

Azmi tidak menyangka usaha secara sambilan yang beliau dan isterinya jalankan itu mampu menghasilkan jualan yang memberang­sangkan.

“Dulu kulit lembu yang ada hasil proses sembelihan dibuang begitu sahaja. Selepas saya memprosesnya tidak sangka usaha saya kini diiktiraf pihak berkuasa seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan agensi pertanian yang lain.

“Lebih-lebih lagi di kawasan Kuala Selangor dan Tanjong Karang termasuk saya cuma ada tiga hingga empat pengusaha sahaja,” katanya.

Mereka yang ingin menyediakan hidangan unik kulit lembu boleh menghubungi Azmi di 012-2793719 atau datang ke rumahnya di Azmi Ijok Farm, Lot 283 Jalan Pakat 1, Rizab 3, Batu 8 Ijok 45600 Bestari Jaya.

Kulit lembu sedap dimasak gulai lemak cili api

Seekor lembu kata orang semuanya boleh dimakan kecuali tanduk dan tapak kakinya sahaja. Dagingnya boleh dimasak rendang, daging dendeng dan masak lemak.

Begitu juga organ seperti peparu, limpa, perut yang boleh dimasak mengikut selera masing-masing.

Sementara itu, Mashitah Mohd. Aribi berkata, kulit lembu paling popular dimasak gulai lemak cili api.

Gulai lemak cili api kulit lembu yang enak.

“Kebiasaan peminat masakan gulai lemak cili api akan membeli kulit lembu yang sudah siap diproses untuk sedia dimasak, ini jika ada jamuan khas.

“Misalnya bila keluarga berkumpul hujung minggu seperti bulan Ramadan atau ada majlis seperti doa selamat mahupun kenduri kahwin,” katanya.

Jelas Mashitah, selain masak lemak cili api, kulit lembu juga sedap dimasak secara goreng dengan cili kering.

Katanya kulit lembu boleh dianggap seperti sotong darat kerana tekstur dan rupa fizikalnya.

“Boleh dikatakan ada yang menganggap kulit lembu adalah sotong jika pertama kali memakannya.

“Apa yang penting kita telah menghasilkan kulit lembu yang bersih dan terhindar daripada kuman dan kotoran,” katanya.

Beliau menambah, ada kalangan pelanggannya yang menghasilkan sup dari kulit lembu dan ternyata rasanya juga sedap.

Paling penting, jelasnya lagi, tepuk dada tanya selera kerana setiap orang lain cita rasanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini