Arwah ayah dahulu sentiasa sibuk. Maka peluang bercuti adalah saat yang sering kami nanti-nantikan untuk menghabiskan waktu bersama-samanya.
Kami suka bermain di pantai. Namun, tinggal di ibu kota tidak memungkinkan untuk kami kerap ke pantai. Maka jika ayah memberitahu akan ke pantai, kami akan bersorak kegembiraan. Mulalah kami sibuk menyediakan senarai barang untuk dibawa sambil bercerita tentang apa yang akan kami lakukan di sana nanti.
Pantai Batu Buruk dan Pantai Batu Ferringhi adalah dua pantai yang banyak menyimpan kenangan manis kami sekeluarga. Di Pantai Batu Ferringhi, kami boleh mandi-manda, menaiki bot dan luncur jet, namun di Pantai Batu Buruk berlainan sama sekali.
Disebabkan arus yang kuat, kita perlu lebih berwaspada, jarang dapat bermain air apatah lagi mandi yang langsung tidak dibenarkan oleh ayah. Selain bermain layang-layang serta mengutip kulit kerang dan siput di persisiran pantai, kami adik-beradik gemar membina istana pasir.
ROTI JALA
Lazimnya, kami meminjam pelbagai alatan plastik daripada nenek dan atuk untuk dibawa ke pantai termasuk acuan roti jala. Kami mendirikan istana pasir dengan menara paling tinggi dan megah, namun sering kali runtuh kerana asasnya tidak kuat.
Selain sebagai hiasan pada istana pasir, kami akan membawa pulang kulit-kulit kerang yang kami kumpulkan. Sehingga kini, saya masih menyimpan kulit-kulit kerang tersebut.
Namun sayangnya pada kali terakhir ke sana, pantainya semakin dicemari oleh sampah-sarap yang dibuang merata tempat. Pernah juga saya lihat bungkusan makanan serta beg plastik dibuang oleh pengunjung tanpa rasa bersalah. Bukan sahaja menyakitkan mata, malah lebih parah, sampah yang hanyut boleh membunuh hidupan laut.
Selain itu, hakisan menyebabkan kawasan pantainya semakin lama semakin mengecil dimakan air laut. Malah kini pantainya sudah tidak selandai dahulu, begitu juga pasirnya yang tidak lagi putih.
Hal ini terjadi akibat pembangunan pesat di sepanjang persisiran pantai tanpa mengambil kira kesannya terhadap alam semula jadi. Tanpa tindakan yang tuntas daripada pihak berwajib, masalah pencemaran dan hakisan pantai akan menjadi bertambah parah. Akibatnya kita akan kehilangan khazanah alam semula jadi yang tidak ternilai harganya untuk selama-lamanya.
PENULIS ialah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.










