Kepelbagaian kain sari - Utusan Malaysia

Kepelbagaian kain sari

Kain sari menjadi elemen utama Ann Khan Exclusive.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Warna, motif dan material ditawarkan dalam sepersalinan kain sari benar-benar menambat hati Noorain Asarulah Khan, 32.

Baginya fabrik itu tidak sekadar menawan digayakan sebaliknya menawarkan kepelbagaian dalam rekaan.

Ia seterusnya menjadi ilham untuk mengkomersialkan produk sari kepada pakaian sedia pakai menerusi jenama Ann Khan Exclusive.

Antara ada dalam label itu ialah kaftan, baju kurung dan baju kurung moden.

“Dahulu, saya bermula sebagai penjual kain sari dan sering menerima permintaan untuk menjahit fabrik itu.

“Bermula dari situ, saya mengambil langkah untuk mengembangkan perniagaan dengan menyediakan baju siap dijahit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Gadis berusia 32 tahun ini mula meniaga kain sari lima tahun lalu. Kini dia berbangga apabila berupaya menghasilkan lebih 20 koleksi pakaian untuk wanita pelbagai latar bangsa.

Mengenai kelebihan produk ditawarkan, katanya, fabrik sarinya eksklusif kerana dia mempunyai rakan niaga di India yang mampu menghasilkan corak dan motif diinginkannya.

“Reka corak sari ini penting kerana ia menentukan kemampuan untuk menghasilkan gaya pakaian yang ingin dicipta oleh kita sebagai usahawan fesyen. Justeru, memiliki reka corak peribadi memberi kelebihan,” katanya.

PANDEMIK

Pemegang Diploma Perniagaan dari Universiti Limkokwing, Cyberjaya ini berkata, seperti mana usahawan fesyen yang lain, perniagaannya turut terkesan dek pandemik Covid-19.

Koleksi pakaian yang dihasilkan sepenuhnya di India tiba lewat ekoran masalah operasi berikutan Covid-19 yang teruk di negara berkenaan.

Begitupun beliau tidak mengalah, sebaliknya bijak membaca selera pengguna.

“Melihat kepada keadaan semasa apabila terdapat ramai wanita mengandung ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya mula menghasilkan pakaian dalam segmen kaftan.

“Ternyata ia satu strategi yang baik apabila kaftan keluaran saya mendapat sambutan mengalakkan. Dalam tempoh kurang tiga bulan dihasilkan, lebih 1,000 helaian berjaya dijual,” katanya.

Memilih material moss crepe yang tidak panas dan tidak perlu digosok. Kaftan ini datang dengan set topeng muka dan ada zip penyusuan ibu.

Kaftan selesa digayakan wanita pelbagai peringkat umur.

 

Tips menggayakan kaftan agar kelihatan lebih langsing

* Warna – Memakai pakaian berwarna gelap seperti hitam boleh membuat seseorang itu nampak lebih kurus.
Ini kerana warna ini mempunyai keupayaan untuk menyorokkan visual atau bentuk badan yang berisi.

* Corak – Motif bergaris menegak menciptakan efek bergaris vertikal yang signifikan nampak kurus dan tinggi dari atas hingga ke bawah. Garisan rapat memberi ilusi kurus kepada gadis gempal. Jika anda memilih corak, pilih corak yang kecil untuk mengelakkan si pemakai nampak lebih besar.

* Teknik – Menggunakan teknik layering atau berlapis.
Contohnya, mungkin boleh gunakan jaket atau blazer sebagai luaran atau lapisan kaftan yang kita gunakan.
Teknik ini dapat membantu ‘memecah’ fokus orang lain pada bentuk tubuh kita daripada atas hingga bawah dan akan memberi kesan tubuh yang lebih ramping.

* Aksesori – Elakkan mengayakan aksesori sarat seperti rantai besar terutama jika kita memilih kaftan bercorak. Jika memakai kaftan polis, pilih aksesori ringkas seperti anting-anting atau tali pinggang kecil.

* Beg – Pilih padanan beg kecil atau clutch untuk gaya yang lebih seimbang dan elegan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya