MASJID adalah institusi yang amat penting dalam pembangunan Islam dan umatnya. Ini bertepatan dengan sejarah Nabi Muhamad SAW.
Tugas pertama yang dilakukan oleh baginda selepas berhijrah dari Mekah ke Madinah adalah membina sebuah masjid iaitu Masjid Quba.
Sehingga kini, masjid dibina di serata tempat seluruh dunia dan menjadi pusat ibadah bukan sahaja aktiviti solat malahan menjadi pusat penyebaran dakwah, ilmu Islam serta perhimpunan keagamaan bagi seluruh umat Islam.
Masjid menjadi simbol kehebatan Islam dibina di tengah kawasan kependudukan dan ia menjadi mercu tanda bagi sesuatu kawasan.
Bagi ahli kariah tiga penempatan di Lipis, Pahang iaitu Kampung Tanjong Gahai, Kampung Dusun dan Kampung Binjai sudah tentu bertuah dan bersyukur kerana sebuah keluarga dermawan yang menginfakkan sejumlah dana untuk membina masjid baharu di situ.
Projek infak itu adalah antara usaha beberapa individu di Lipis mencari serta mengumpul dana untuk membina rumah ibadat baharu bagi menggantikan masjid di kampung tradisional daerah tersebut.
Ini kerana kebanyakan masjid di situ sudahpun uzur melepasi tempoh usia lebih setengah abad. Binaannya menggunakan kayu hutan, papan dan zink mulai reput serta kapasiti jemaah terhad. Malahan kerap terdedah dengan ancaman banjir.
Lagipun usaha membina premis ibadat baharu juga berasaskan bilangan ahli kariah semakin ramai di tiga kampung tersebut.
Ini supaya mereka tidak perlu lagi ke tempat yang jauh untuk menunaikan solat dan menyertai program keagamaan.
Penyelaras projek infak masjid baharu Lipis, Datuk Abu Jimi Samat berkata, ketiga-tiga projek itu adalah amal jariah sebuah keluarga dermawan dari luar Lipis.
“Projek infak dermawan berkenaan iaitu masjid Kampung Dusun dibina dengan kos bernilai RM780,000, Masjid Kampung Tanjong Gahai (RM833,762) masing-masing sudah siap dan digunakan sejak setahun lalu.
“Sebuah lagi projek infak iaitu masjid di Kampung Binjai berdekatan bandar Kuala Lipis yang pembinaannya terpaksa ditangguhkan buat sementara berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pada awalnya ia melibatkan kos RM700,000 tetapi sehingga ini ditaksirkan menjangkau hampir RM1.5 juta berikutan kenaikan kos barang binaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Lipis, Pahang.

Abu Jimi yang juga Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Satu, Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, masjid baharu Kampung Dusun, Kampung Tanjung Gahai dan Kampung Binjai (yang masih belum siap) boleh memuatkan 400 jemaah dalam satu-satu masa.
Selain itu, ia dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan ahli kariah di situ termasuk musafir beribadah.
“Jawatankuasa penyelaras projek infak memfokus pembinaan masjid baharu bagi menggantikan premis lama setelah mengenal pasti kampung tersebut dengan kerjasama serta persetujuan pemimpin setempat dan Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK),” katanya.

Mengulas lanjut projek infak itu, Abu Jimi berkata, lebih istimewa, salah sebuah masjid baharu iaitu pembinaannya di Kampung Tanjung Gahai adalah tempat asal (kelahiran) Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Semoga keikhlasan keluarga berkenaan menerusi amal jariah, iaitu menyumbangkan derma bagi projek ketiga buah masjid ini diberi ganjaran yang besar oleh Allah SWT,” jelasnya.
Bagi Ketua Kampung Dusun, Ibrahim Aziz, 67, masjid baharu itu dibina untuk menggantikan masjid asal yang dibina pada 1970 yang sudah uzur dan tidak mampu menampung jemaah yang semakin ramai.
“Kami amat bersyukur kerana projek pembinaan masjid baharu yang siap sepenuhnya ini dibiayai oleh sebuah keluarga penderma dari luar menerusi bantuan usaha mencari dana oleh kepimpinan setempat dan individu tertentu.

“Ahli kariah di sini mula mengimarahkan masjid baharu ini pada penghujung Ramadan dua tahun lalu.
“Lebih bermakna lagi kami boleh menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Sementara itu, Imam Satu Masjid Kampung Dusun, Ahmad Sabri Abdullah, 50, bersyukur kerana premis ibadat baharu itu direalisasikan setelah menunggu sekian lama.
Ia sekali gus memberi keselesaan penduduk menunaikan solat lima waktu, solat Jumaat dan usaha pembangunan syiar Islam.
“Saya amat berharap masjid baharu ini menjadi medan penyatuan ummah serta memupuk perpaduan ahli kariah di sini menerusi program pendidikan dan keagamaan.
“Semoga Allah SWT memberkati amal jariah dermawan berkenaan dan hal ini bertepatan dengan sebuah hadis riwayat Muslim bermaksud: Sesiapa yang membina masjid kerana Allah, Allah membina baginya rumah di syurga kelak (binaan) seumpamanya,” ujarnya.











