Ibadat korban berpotensi kayakan fakir - Utusan Malaysia

Ibadat korban berpotensi kayakan fakir

Mengkhususkan daging korban kepada seorang fakir miskin boleh membantu mengeluarkan mereka daripada kumpulan asnaf apabila mereka dapat hasil daripada menjual daging tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saban tahun umat Islam akan merayakan Hari Raya Aidiladha dengan melaksanakan ibadah korban. Pastinya binatang korban yang dipersembahkan kepada Allah SWT sangat mengujakan para peserta ibadah korban dan juga golongan fakir miskin yang berada di dalam kawasan tersebut.

Pensyariatan ibadah korban adalah satu pelajaran yang ingin disampaikan oleh agama Islam agar umat Islam hidup secara harmoni dan saling bantu-membantu sesama muslim.

Berkorban Ibadah Yang Dituntut

Menyembelih binatang korban pada Hari Raya Aidiladha atau pada mana-mana hari Tasyrik (11 sehingga 13 Zulhijah) adalah ibadah sunat yang sangat dituntut. Ini berdalilkan firman Allah SWT yang bermaksud: Maka anda bersolatlah untuk tuhanmu dan bersembelihlah. (al-Kauthar: 2)

Menurut pandangan yang paling masyhur ayat ini meminta kita untuk mendirikan solat sunat Aidiladha dan meminta kita menyembelih binatang korban.

Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada seorang anak (keturunan Nabi) Adam pun yang telah melakukan satu amalan pada siang (hari raya) korban yang lebih dicintai oleh Allah daripada penumpahan darah (binatang korban). Sesungguhnya binatang korban akan datang pada hari kiamat dengan [keadaan sempurna yang lengkap] dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan tapak-tapak kakinya (untuk Allah mengganjari orang yang mengorbankannya dengan pahala yang sempurna). Sesungguhnya darah (binatang korban) benar-benar akan jatuh di tempat penerimaan daripada Allah sebelum ia jatuh (di tempat) daripada bumi. Maka perelokkanlah jiwa (kamu semua) dengan (menyukai ibadah) korban. (Riwayat Tirmidzi)

Maka seseorang muslim apabila telah baligh dan seorang yang berakal sangat-sangat dituntut untuk berkorban jika dia memiliki kemampuan kewangan selepas ditolak perbelanjaan hariannya serta tanggungannya untuk hari raya korban dan tiga hari Tasyrik.

Sekiranya seseorang yang sudah berkemampuan tidak pula melakukan ibadah korban, dia sebenarnya telah melakukan satu perbuatan yang makruh iaitu meninggalkan ibadah korban pada tahun tersebut.

Sesuatu penyembelihan akan dianggap sebagai ibadah korban apabila memiliki tiga perkara berikut; binatang yang disembelih adalah binatang ternakan iaitu kambing, lembu, kerbau atau unta; binatang itu disembelih pada Hari Raya Aidiladha atau pada mana-mana hari Tasyrik dan penyembelihan tersebut dibuat dengan tujuan ingin mendekatkan diri kepada Allah. Bukannya untuk tujuan makan daging atau menjual daging tersebut.

Bagi yang berniat untuk berkorban, dia disunatkan untuk tidak memotong rambutnya, bulu-bulu di seluruh tubuhnya dan kuku tangan serta kuku kakinya bermula 1 Zulhijah sehingga dia selesai berkorban.

Ini berdalilkan hadis: Barang siapa yang telah memiliki binatang korban yang akan disembelihnya, maka apabila anak bulan Zulhijah telah muncul, maka dia janganlah mengambil sesuatupun daripada bulunya (yang tumbuh di tubuh dan juga rambut kepalanya untuk dipotong) dan (janganlah juga dia mengambil sesuatupun) daripada kuku-kukunya (untuk dikerat) sehinggalah dia berkorban. (Riwayat Muslim)

Pengorbanan Adalah Penyucian Hati

Berkorban bukanlah melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya adalah satu penyerahan binatang korban yang sempurna demi mencari keredaan Allah SWT.

Maka dengan sebab itu binatang yang bermasalah tidak sah dijadikan sebagai binatang korban kerana kekurangan yang ada padanya yang tidak sesuai dijadikan manifesto pengorbanan untuk mencari kecintaan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: Empat (jenis keaiban) yang tidak boleh (ada) pada binatang korban; binatang yang matanya buta sebelah yang jelas butanya, binatang yang sakit yang jelas sakitnya, binatang yang tempang yang jelas tempangnya dan binatang yang patah (kakinya) yang tidak mempunyai sumsum (di dalam tulangnya kerana terlalu kurus).

Mereka yang ingin melakukan ibadat korban disunatkan mencari ternakan yang sihat, gemuk dan cukup sifat. UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK

Malah, jika keaiban pada binatang korban hanyalah sebahagian telinganya yang terputus atau sebahagian ekornya yang terputus atau binatang tersebut memang dilahirkan tidak bertelinga, binatang itu sudah tidak lagi boleh dijadikan binatang korban.

Ini kerana sebahagian unsur yang boleh dimakan daripada binatang ini sudah tidak ada. Lalu ini dianggap sebagai kekurangan pada bahagian yang boleh dimakan daripada binatang korban.

Orang yang berkorban juga diwajibkan menghadiahkan daging korban secara mentah kepada golongan fakir miskin sekalipun jumlah daging yang dihadiahkan adalah sedikit namun tidak melampau sedikitnya.

Al-Imam al-Bajuriyy berkata, jumlah yang sedikit yang masih dibenarkan oleh syariat seumpama setengah Ritl iaitu menyamai 191.25 gram.

Sekiranya dia menyembelih tetapi tidak menghadiahkan daging korban kepada fakir miskin atau dia memberikan daging korban kepada fakir miskin dengan kadar yang terlalu sedikit, ibadah korbannya tidak sah. Lalu dia hanyalah sekadar seorang yang menyembelih tanpa diganjari dengan pahala berkorban.

Sekalipun yang diwajibkan dalam ibadah korban adalah pemberian daging mentah kepada golongan fakir miskin walaupun hanya sedikit, namun yang paling banyak pahalanya adalah orang yang berkorban mengambil sedikit sahaja daging korbannya untuk dimakan olehnya dan ahli keluarganya atas dasar merasai keberkatan daging korban. Seterusnya dia menghadiahkan seluruh daging yang berbaki kepada golongan fakir miskin.

Hanya Fakir Miskin Boleh jual Daging Korban

Selain daripada daging korban disedekahkan kepada orang miskin, ia juga boleh dihadiahkan kepada orang kaya. Walaupun orang kaya boleh menerima hadiah daging korban, mereka diharamkan untuk menjualnya kepada orang lain.

Ini berbeza dengan orang miskin yang dibenarkan menjual daging korban yang diterimanya sekiranya mereka mahu. Maka apabila syariat membenarkan golongan miskin menjual daging korban kepada orang lain, ini adalah satu peluang untuk kita mengeluarkan orang miskin daripada kemiskinan.

Contohnya, katakan jumlah binatang korban yang disembelih dalam satu kampung adalah 10 ekor lembu. Lalu para peserta korban bersetuju menyerahkan kebanyakan daging korban kepada seorang miskin sahaja untuk tahun itu.

Ini memberi satu peluang besar untuk orang miskin tersebut berubah menjadi orang yang berharta secara serta-merta. Bayangkan sekiranya daging seekor lembu yang disedekahkan itu berjumlah 100 kilogram, ini bermakna dia menerima sedekah sebanyak 1,000 kilogram.

Dengan harga pasaran RM35 untuk sekilogram daging segar, orang miskin tersebut akan dapat memiliki RM35,000 apabila seluruh daging itu terjual.

Bagi menjayakan projek ini, pihak masjid dan surau boleh membantu dengan menyediakan peti ais khusus untuk menyimpan daging-daging tersebut. Selain menjadi wakil untuk menjual daging segar tersebut kepada para jemaah.

Jika usaha ini berjaya dilaksanakan, saban tahun akan ada orang miskin yang dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan sehingga akhirnya kemiskinan akan dapat ‘dihilangkan’ dalam kampung tersebut.

Adapun cara pengagihan daging korban kepada ramai fakir miskin seperti yang dilakukan saban tahun, sekalipun tidak ada salahnya dari sudut syariat, cara ini hanya dapat menggembirakan hati sang fakir tanpa dapat mengubah status kemiskinannya.

  • PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×