Hikmah nasihat Nabi Yaakub - Utusan Malaysia

Hikmah nasihat Nabi Yaakub

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AR-RAUDHAH

“Jangan kau ceritakan mimpimu”. Demikianlah kata-kata Nabi Yaakub a.s kepada puteranya, Nabi Yusuf a.s dalam al-Quran.

Al-Quran wahyu dari Allah SWT sebagai bimbingan dan petunjuk dalam segala aspek kehidupan baik dalam kehidupan bersama keluarga atau bermasyarakat.

Dalam kisah itu diceritakan pesanan seorang ayah kepada anaknya supaya tidak menceritakan mimpinya kepada saudara-saudaranya. Sebabnya, dikhuatiri cemburu, sehingga akan melakukan kejahatan terhadapnya.

Pesanan ini diucapkan oleh Nabi Yaakub setelah mendengarkan mimpi Nabi Yusuf yang ketika masih kecil. Nabi Yusuf bermimpi melihat 11 planet berikut matahari dan bulan sujud kepadanya. Ini disebut dalam firman Allah yang bermaksud: Bapanya berkata: “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. (Yusuf: 5)

Mimpi yang baik adalah sebahagian daripada cabang wahyu dan menceritakannya juga dianjurkan jika tidak mengundang keburukan.

Namun yang menjadi pengajaran daripada pesanan ini adalah hendaklah tidak berbuat sesuatu yang kadang-kala ia baik namun apabila mengundang keburukan maka, kita perlu berhati-hati.

Serupa dengan sikap ini tindakan baginda SAW ketika berkata kepada Siti Aisyah akan hasratnya untuk membangunkan Kaabah seperti bangunan asal yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s.

Namun hasrat itu tidak dilaksanakan walaupun ia sesuatu yang sangat baik. Sebabnya, ia akan mengundang keburukan dan keresahan atau salah faham yang lebih buruk maka, Rasulullah tidak melakukannya.

Baginda bersabda ketika ditanya oleh Siti Aisyah r.a mengenai Hijir Ismail adalah sebahagian daripada Kaabah atau tidak. Ini kerana Siti Aisyah ingin solat dalam Kaabah dan nabi memerintahkannya untuk solat dalam Hijir Ismail.

Lalu Rasulullah bersabda: Kalau bukan oleh kerana bangsa kamu masih baru berjinak dengan Islam aku akan bangunkan Kaabah seperti bangunan Nabi Ibrahim a.s (iaitu tembok Hijir Ismail akan ditinggikan sama rata dengan ketinggian Kaabah). (Riwayat Bukhari)

Di sini wujud satu kaedah iaitu menolak berlakunya kejahatan lebih utama daripada pada melakukan kemaslahatan (yang bukan kewajipan).

Dalam kegairahan melakukan kebaikan pastikan ia tidak membawa padah yang buruk.

Nabi Yaakub a.s berpesan agar anaknya (Nabi Yusuf a.s) tidak menceritakan mimpi tersebut bukan sebab tidak baik menceritakan mimpi atau dilarang berkongsi informasi dengan orang lain.

Namun, disebabkan bimbang perkongsian itu boleh membawa kekacauan dan kekeliruan bahkan perbuatan jenayah yang akan terjadi oleh pihak yang kita kongsikan informasi itu.

Zaman ini penggunaan media sosial menjadi medium umum bagi berekspresi dan berbicara dengan kebebasan tanpa sempadan. Sehinggakan masing-masing berbicara sesuka hati tanpa memikirkan akibat daripada perkataannya.

Saidina Umar r.a pernah berkata: Barang siapa banyak bercakap maka akan banyak silap, siapa yang banyak silap akan kurang malu. Siapa yang kurang malu maka kurang warak. Siapa yang kurang warak matilah hatinya.

Siti Maryam lebih memilih berdiam dan tidak menjawab kepada kaumnya ketika berhadapan dengan situasi yang tidak dapat diselesaikan dengan perkataan. Sehingga beliau bernazar untuk tidak berbicara menjawab tuduhan-tuduhan terhadap dirinya.

Ia tercatat dalam al-Quran: Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapa pun dari kalangan manusia pada hari ini. (Maryam: 26)

Ketika Nabi Zakaria a.s meminta tanda daripada Allah SWT ketika menginginkan zuriat, diberi tanda oleh Allah tidak dapat bercakap selama tiga hari melainkan zikir saja yang ia boleh gunakan lidahnya.

Ini memberi petunjuk diam itu boleh menjadi ibadah dan satu bahagian daripada Iman. Sabda Rasulullah SAW: Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat maka berkata yang baik atau diam. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam ilmu tasauf, lidah itu mempunyai kekurangan iaitu bercakap bukan pada tempatnya. Berkata Saidina Ali r.a: “Tiada kebaikan dalam berdiam dari menyampaikan ilmu, sepertimana tiada kebaikan pada berbicara dengan kejahilan”.

Dalam surah al-Nur, Allah SWT menjelaskan bagaimana satu peristiwa terjadi yang menghebohkan kota penduduk kota Madinah disebabkan tidak dapat mendiamkan diri dari memberi komentar atau tuduhan tanpa bukti.

Firman Allah: Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya. (al-Nur: 15)

Dalam ayat ini, Allah melarang berbicara ke atas sesuatu kejadian yang kita tidak tahu hakikatnya.

Lanjutan firman Allah mengajak kita untuk tidak ikut campur dalam kejadian yang tiada kaitan dengannya: Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah ini tuduhan mencemarkan keluarga Rasulullah) adalah satu dusta besar yang mengejutkan. (al-Nur: 16)

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Di antara kebaikan Islam seseorang adalah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat. (Riwayat Tirmidzi)

 

  • Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN