Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Segala puji kepada Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Mencipta jin dan manusia untuk beribadat kepada-Nya.
Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW yang menjadi rasul terakhir yang diutuskan untuk rahmat sekalian alam.
Hari ini, 10 Zulhijah adalah hari raya bagi umat Islam. Semalam, 9 Zulhijah satu perkumpulan umat Islam yang terbesar diadakan di Arafah. Mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah bagi menunaikan ibadat haji berwukuf di satu padang luas yang dipanggil Arafah bagi menyempurnakan rukun haji.
Mereka berihram dengan memakai pakaian yang sama dan sama-sama mengucap talbiah: Ya wahai tuhanku, Ya wahai Tuhanku, Ya wahai Tuhanku tidak ada syirik kepada Mu, Ya wahai Tuhanku, sesungguhnya segala pujian, nikmat adalah bagi Mu dan seluruh kerajaan dan kekuasaan, tidak ada syirik bagi Mu.
Seterusnya mereka akan bergerak ke Muzdalifah bermabit sebahagian malam dan kemudian pergi ke Mina untuk melontar di Jamrah dan bermabit.
Bagi yang tidak mengerjakan haji disunatkan berpuasa pada 9 Zulhijah iaitu Hari Arafah. Rasulullah SAW bersabda: Berpuasa pada hari Arafah, aku memohon kepada Allah supaya dihapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya. (Riwayat Muslim)
Sebenarnya hari Arafah meninggalkan kesan yang terpahat di hati umat Islam kerana pengiktirafan Allah terhadap kesempurnaan agama Islam. Satu ketika Umar Ibn al-Khattab r.a mendengar seorang Yahudi berkata akan menjadikan hari raya jika pengakuan sebegini untuk agamanya.
Lantas Umar Ibn al-Khattab bertanya apakah ayat yang dimaksudkan? Yahudi tersebut menjawab ia adalah: Pada hari ini aku sempurnakan agama kamu, Aku sempurnakan nikmat-Ku kepadamu dan Aku reda bahawa Islam adalah agama kamu. (al-Maidah: 3)
Umar Ibn al-Khattab r.a berkata: sesungguhnya aku tahu hari bila ia diturunkan dan tempat ia diturunkan kepada Nabi SAW. Ia diturunkan pada petang hari Arafah, hari Jumaat. (Riwayat Bukhari)
IBADAT KORBAN
Pada 10 Zulhijah dan tiga hari selepasnya yang dikenali dengan hari tasyrik, umat Islam disunatkan melakukan ibadat korban. Sejarah korban ini merujuk kepada mimpi Nabi Ibrahim a.s yang menyembelih anaknya, Ismail a.s. Baginda mendapatkan pandangan Ismail AS dan bersetuju untuk mematuhi perintah Allah SWT.
Kisah pengorbanan tersebut dirakam dalam al-Quran. Firman Allah SWT: Maka ketika anaknya itu telah sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengan Nabi Ibrahim dalam mencari keperluan hidup, Nabi Ibrahim berkata kepadanya, “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu, maka apakah pendapatmu?” Anaknya menjawab, “wahai ayah, laksanakan apa yang diperintahkan kepadamu; dengan izin Allah, ayah akan mendapati aku termasuk dalam golongan orang yang sabar”. (al-Saffat: 102)
Kedua-duanya menerima arahan Allah dan melakukan arahan tersebut. Semasa Nabi Ibrahim membaringkan anaknya Nabi Ismail dengan mengiringkan wajah anaknya, ada seruan yang menyatakan, “Wahai Ibrahim sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu. Demikianlah Kami membalas orang yang sentiasa mengerjakan kebajikan. Sesungguhnya perintah ini benar-benar satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar”. (al-Saffat: 105-107)
Ibadat korban amat dituntut bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sheikh al-Ghazali berkata, terdapat peraturan umat terdahulu apabila mereka hendak bertaubat, mereka membayarnya dengan darah sendiri.
Namun rahmat Allah yang luas kepada umat Nabi Muhammad SAW di mana disyariatkan berkorban dengan haiwan ternakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Hukum berkorban adalah sunat muakkad iaitu yang sangat dituntut. Nabi SAW bersabda: Tidak ada amalan anak adam pada hari raya korban yang lebih Allah SWT suka dari menumpah darah iaitu korban. Ia datang pada hari akhirat dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya darah korban yang disembelih akan diterima oleh Allah sebelum ia jatuh ke tanah. Maka hendaklah kamu lakukan dengan diri yang baik tanpa dipaksa. (Riwayat Tirmidzi)
Nabi SAW melakukan korban dengan dua ekor kibas. Baginda SAW menyembelih sendiri sambil membaca basmalah, bertakbir dan meletakkan kakinya di belikat kibasy tersebut. (Riwayat Bukhari)
MAQASID KORBAN
Maqasid atau tujuan ibadah korban utama adalah mentauhidkan Allah SWT dan ikhlas dalam beribadat kepada-Nya. Ia diterjemahkan dengan melaungkan takbir iaitu membesarkan Allah SWT semasa melakukan ibadat korban.
Firman Allah SWT tentang ibadat korban: Demikianlah Kami jadikan unta itu mudah untuk kamu kendalikan agar kamu bertakbir mengagungkan Allah sebagai tanda syukur atas hidayah yang diberikan-Nya. (al-Hajj: 37)
Ibadat korban adalah antara yang Allah SWT arahkan untuk dilakukan dengan ikhlas. Menyebut nama-Nya semasa menyembelih tanpa menyebut yang lain. Allah SWT mengarah nabi-Nya dengan firman: Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku, semuanya adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. (al-‘Araf: 162)
Terdapat beberapa makna kalimah ibadatku dalam ayat di atas. Ada yang menafsirkan sebagai haji dan ada juga yang mentafsirkan sebagai sembelihanku iaitu korbanku.
Kehendak ayat tersebut adalah buat ibadah termasuk sembelihan hanya kerana Allah. Jika dilakukan bukan kerana Allah ia boleh mengeluarkan manusia daripada daerah keimanan kepada kekufuran.
Allah SWT melarang menyembelih selain kerana Allah melalui firman-Nya: Diharamkan kepada kamu memakan bankai, darah, daging babi, daging haiwan yang disembelih bukan dengan nama Allah… (al-Maidah: 3)
Rasulullah SAW melaknat orang yang menyembelih bukan kerana Allah SWT.
Maqasid korban juga ialah bersyukur kepada Allah SWT terhadap nikmat yang dikurniakan dan ihsan Allah terhadap makhluk. Firman Allah SWT: Demikianlah Kami jadikan unta ini mudah untuk kamu kendali agar kamu bersyukur kepada Kami. (al-Hajj: 36).
Dengan ibadat korban ia menggambarkan pengorbanan hamba terhadap sedikit nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya. Syukur atau berterima kasih kepada pemberi nikmat.
Hari raya korban dan hari tasyrik adalah hari-hari yang perlu dipenuhkan dengan beribadat kepada Allah. Banyak ibadat yang dituntut untuk dilakukan pada hari tersebut tetapi yang utamanya adalah ibadat korban.
Menumpahkan darah binatang ternakan dengan syarat tertentu. Ia juga menggambarkan bahawa perlu ada pengorbanan dalam kehidupan lebih-lebih lagi ketika negara dilanda wabak Covid-19 ini.
Sama-samalah kita berganding bahu membantu mangsa dan orang yang memerlukan dengan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan.
- PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM









