Filem Firasat karya pelajar semester lima Diploma Pengajian Video dan Filem, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis berjaya membangkitkan rasa tanda tanya sewaktu menontonnya.
Filem pendek bergenre seram itu hasil arahan Nik Ameerul Uwais Rostam Afendi.
Ia mengisahkan seorang wanita bekerjaya yang keluar daripada kampung halaman bagi mencari rezeki di bandar.
Setelah agak lama tidak pulang ke kampung akibat kesibukan kerja, dia dikejutkan dengan berita kematian ibunya secara tiba-tiba apabila dimaklumkan oleh adik perempuannya.
Misteri mula menyelubungi dirinya apabila acap kali mendapat bayangan dan mendengar suaranya ibunya meminta pertolongan.
Pertengahan cerita menjadi lebih menarik apabila wanita yang kebingungan itu mula merungkai misteri kematian ibunya dan dalam masa yang sama berasa curiga dengan adiknya. Plot berkenaan membuatkan penonton turut berfikir-fikir apakah yang berlaku sebenarnya.

Filem yang diterbitkan oleh kumpulan Sonique Production itu telah ditayangkan di laman rasmi YouTube JRKV PTSS. Hingga kini ia mencatatkan lebih 3,500 tontotan.
Ia membuktikan hasil karya pelapis industri filem tidak boleh dipandang sepi kerana mempunyai kualiti dan mampu menyemarakkan lagi industri pada masa hadapan.










