fbpx

20 Mei 2022, 3:41 am

  TERKINI

Durian bantu ibu hamil tidur lena, kurang stress

Bahaya durian kepada wanita hamil hanyalah suatu kepercayaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Musim durian kembali lagi. Media sosial juga kembali dibanjiri dengan gambar-gambar raja buah berkenaan yang kelihatan lemak berkrim.

Bagaimanapun, tinjauan penulis di beberapa kumpulan ibu hamil di Facebook juga mendapati masih ramai lagi yang tertanya-tanya dan meminta pendapat adakah durian selamat dimakan oleh ibu mengandung.

Antara kekhuatiran diutarakan ialah mengenai adalah buah itu boleh menyebabkan keguguran atau kelahiran bayi pramatang.

Bercakap kepada Utusan, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital KPJ Ampang Puteri, Dr. Nurul Khairiyah Khairuddin, berkata ia hanyalah mitos yang dibawa dari mulut ke mulut sejak dahulu.

Dr. Nurul Khairiyah Khairuddin.

Malah tidak pernah ada kajian dilakukan membuktikan sejauh mana kebenaran tanggapan berkenaan.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan komplikasi kepada kehamilan sekiranya dimakan secara keterlaluan.

“Sama saja untuk pengambilan apa sahaja makanan lain selain durian. Semua perlu diambil dengan kadar yang disarankan dan dibenarkan sahaja.

“Sajian yang ideal disarankan adalah dua ulas sahaja dan ia sudah cukup untuk membekalkan khasiat dan nutrien kepada tubuh. Tetapi jika menghidapi diabetes, pengambilan perlu lebih dikurangkan,” ujarnya.

Raja buah itu penuh dengan kandungan gizi dan nutrisi yang baik seperti Serat, Kalsium, Protein, Kalium, Vitamin C dan Folat untuk kebaikan wanita hamil.

“Kenapa saya kata begitu? Dalam durian terkandung pelbagai bahan yang boleh membantu ibu hamil. Ada kalium atau nama lainnya potasium yang lebih tinggi berbanding pisang.

“Kandungan ini membantu menyeimbangkan aliran darah ibu hamil di samping membantu mengawal pengumpulan air dalam sel. Kita tahu ibu mengandung selalu kena edema atau keadaan kaki tangan bengkak akibat pengumpulan air waktu mengandung. Makan sedikit durian dapat membantu mengurangkan edema ini.

“Ia turut diperkaya Vitamin C dan organo-sulfur bagi membantu mengurangkan jangkitan kuman dan kulat. Vitamin E serta Beta Caroten pula dapat meningkatkan imunisasi tubuh.
Ini membantu menaikkan sistem imuniti ibu hamil yang mudah terkena jangkitan kulat dan kuman,” tambahnya.

Selain itu, durian juga mengandungi serat yang boleh membantu melancarkan pembuangan najis lebih-lebih lagi dalam kalangan wanita hamil mereka kerap berdepan sembelit akibat pengambilan tablet zat besi atau akibat kesan hormon mengandung yang bertindak secara tidak langsung pada aktiviti usus.

Kandungan serat yang tinggi membantu sistem pencernaan dengan meningkatkan pergerakan peristaltik usus dan membantu pengeluaran enzim pencernaan serta jus gastrik bagi melancarkan sistem penghadaman.

Perlu diketahui juga, buah yang enak ini mengandungi asid amino tryptophan yang membantu meningkatkan penghasilan hormon serotonin dan melatonin bagi membantu menguruskan fungsi tidur dan mengurangkan stress.

Hormon tryptophan juga membantu untuk seseorang itu tidur lena terutamanya bagi ibu hamil yang sukar untuk tidur pada waktu malam.

POPULAR

KOSMO! TERKINI