Contohi patriotisme wanita pertama Azerbaijan - Utusan Malaysia

Contohi patriotisme wanita pertama Azerbaijan

MEHRIBAN Aliyeva bersama suaminya menziarahi Masjid Aghdam selepas tamat pertempuran Azerbaijan-Armenia pada November lalu. – AFP/PEJABAT AKHBAR PRESIDEN AZERBAIJAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH telah mencatatkan pelbagai pencapaian yang telah dilakukan oleh golongan wanita sejak dari dahulu lagi.

Dalam hal ini, wanita Azerbaijan tidak ketinggalan turut memainkan peranan penting dalam hampir kesemua bidang termasuk sosial, kebudayaan, politik, kesenian dan pendidikan.

Perkara ini bukanlah secara kebetulan kerana berbalik kepada sejarah, Republik Demokratik Azerbaijan (1918-1920) yang merupakan pendahulu Republik Azerbaijan pada hari ini telah pun memberi hak wanita untuk mengundi pada 1919, jauh lebih awal daripada Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah yang maju.

Hari ini, Mehriban Aliyeva, wanita pertama dan Naib Presiden Pertama Azerbaijan secara khususnya mewakili legasi pemerkasaan wanita Azerbaijan.

Kali ini, saya ingin berkongsi biografi ringkas tentang Mehriban untuk tatapan para pembaca dalam memahami Azerbaijan yang merupakan rakan akrab Malaysia di rantau Asia Barat.

Mehriban datang dari keluarga intelligentsia (cerdik pandai). Bapanya, Profesor Arif Pashayev merupakan seorang cendekiawan ternama, pedagogi dan ahli akademik di Akademi Sains Kebangsaan sementara datuk Mehriban, Profesor Mir Jalal Pashayev ialah seorang penulis, ahli fisiologi dan wartawan terulung.

Ibu Mehriban, Profesor Aida Imanguliyeva pula seorang orientalis, filologi, penterjemah dan merupakan doktor sains pertama sastera bahasa Arab, bahkan dikenali sebagai profesor wanita pertama di Azerbaijan.

Aida telah menerbitkan pelbagai karya ilmiah yang bermanfaat kepada dunia (tiga monograf dan lebih 70 makalah penyelidikan).

Setelah lulus sekolah menengah dengan meraih pingat emas pada 1981, Mehriban menyambung pengajian dalam bidang rawatan dan profilaksis di Universiti Kebangsaan Perubatan Azerbaijan N. Narimanov.

Dua tahun kemudian, Mehriban melangsungkan perkahwinan dengan Ilham Aliyev.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu, Leyla, Arzu dan Heydar. Pasangan bahagia ini terus dilimpahi rezeki dengan dikurniakan lima orang cucu.

UNESCO

Suaminya, Ilham merupakan anak kepada ahli politik Azerbaijan yang sangat terkenal iaitu Heydar Aliyev yang menjadi Presiden dan Pemimpin Kebangsaan Azerbaijan dari 1993 hingga 2003. Ibu Ilham, Zarifa Aliyeva pula ialah seorang doktor.

Sumbangan Mehriban terhadap Azerbaijan bermula sejak 1990-an lagi apabila Yayasan Kebudayaan Azerbaijan ditubuhkan atas inisiatifnya dan memimpin yayasan tersebut pada 1995.

Pada 1996, beliau menerbitkan majalah Azerbaijan – Irs yang memuatkan pelbagai artikel mempromosi budaya Azerbaijan dalam bahasa Azerbaijan, Inggeris dan Rusia.

Saya begitu kagum dengan usaha awal Mehriban yang begitu patriotik dalam mengangkat status negaranya supaya dikenali dan dihormati di mata dunia.

Apa yang lebih membanggakan, wanita pertama Azerbaijan ini turut dikurniakan anugerah Duta Muhibah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 13 Ogos 2004 melihatkan usaha kerasnya dalam mengembangkan sastera dan muzik warisan Azerbaijan.

Dalam kerjaya politik, Mehriban menganggotai Lembaga Politik Parti Azerbaijan Baharu sejak 2004.

Kepimpinan dan tauladannya membuatkan beliau sangat disayangi dan dihargai sehingga mendapat gelaran Wanita Terbaik menurut undian umum yang dijalankan pada 2005.

Kejayaannya dalam dunia politik terus rancak sewaktu pilihan raya Majlis Milli (Parlimen) Republik Azerbaijan pada 6 November 2005.

Pencalonannya oleh Parti Azerbaijan Baharu terpilih ke Parlimen dengan undian yang besar iaitu 23,106 undi atau 92.12 peratus.

Akhbar berpengaruh Pakistan, Daily Times dan Yayasan Sukarelawan Wanita pada 2013 mengisytiharkan Mehriban sebagai Simbol Kemanusiaan – Individu 2012.

Pada 21 Februari 2017, di bawah arahan Ilham, Mehriban dilantik sebagai Naib Presiden Pertama Azerbaijan.

Sejak perlantikan tersebut, lebih banyak gerak kerja yang dilaksanakannya bagi mengukuhkan kedudukan Azerbaijan di peringkat antarabangsa.

Pelantikannya sudah tentu dibuat di atas dasar kejayaan dan kemahirannya dalam pelbagai perkara.

Inisiatif-inisiatif Mehriban termasuk menubuhkan lebih banyak sekolah sebagai menyokong penuh usaha pendidikan, membina rumah anak-anak yatim dan sekolah berasrama penuh.

Penubuhan sekolah-sekolah baharu dalam memperbaharui Azerbaijan yang dilancarkan pada 2005 melihatkan sebanyak 500 buah sekolah siap dibina, dibaiki serta memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar.

Mehriban mendapat jolokan tokoh berorientasikan sosial politik Azerbaijan yang berjiwa rakyat. Beliau mendermakan gajinya kepada Dana Respons Koronavirus dalam membendung jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat.

Menerusi sokongan Yayasan Heydar Aliyev, beberapa hospital dibina untuk pesakit Covid-19 dan pelbagai alat perubatan dari luar negara turut dibekalkan.

Sebenarnya terdapat begitu banyak sumbangan, kejayaan dan kebaikan wanita pertama Azerbaijan ini yang perlu dicatat dan dikongsikan kepada pembaca.

Apa yang penting, suri teladan yang ditunjukkan Mehriban ini seharusnya dihadam dan diambil contoh kepada kita supaya sentiasa ikhlas dalam perjuangan dan menggalas tanggungjawab sebagai seorang pembela maruah bangsa dengan amanah.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×