HUJAN lebat lebih enam jam menyebabkan kira-kira 24 kawasan di Melaka Tengah, Melaka dilanda banjir, sehingga beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) terpaksa dibuka untuk menempatkan mangsa yang terjejas berikutan kediaman ditenggelami air hingga paras pinggang.
Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Taman Melawis, Taman Kerjasama, Taman Bukit Beruang Utama dan Kampung Sungai Putat di Bukit Beruang.
Selain itu, turut dinaiki air adalah Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Indah dan dua kampung di Durian Tunggal iaitu Kampung Padang Keladi dan Kampung Bukit Balai.
Tidak terkecuali menjadi mangsa banjir pada 17 Mei lalu adalah kakitangan dan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Menyedari perkara itu, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UTeM menubuhkan tabung membantu mangsa banjir.
Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat UTeM, Prof. Madya Ir. Dr. Md. Nazri Othman berkata, usaha itu mendapat kerjasama daripada alumni universiti, Pejabat Pendaftar, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
“Dalam tempoh yang singkat kita dapat mengumpul sejumlah dana bagi membeli barang makanan untuk diberikan bukan sahaja kepada kakitangan dan pelajar UTeM tetapi juga masyarakat setempat.
“Usaha ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang mereka tanggung apabila rumah dimasuki air tidak terkecuali ada yang terpaksa dipindahkan ke PPS,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Md. Nazri menambah, sebanyak 100 keluarga bukan sahaja menerima bantuan makanan tetapi juga peralatan pembersihan.
Ujarnya, mereka yang menerima bantuan itu adalah mangsa banjir di Durian Tunggal, Sungai Putat, Bukit Katil, Ayer Molek serta beberapa kawasan lain.
Menurutnya lagi, sumbangan yang diterima adalah daripada kakitangan, pelajar dan alumni UTeM, individu serta beberapa syarikat swasta yang sering berurusan dengan universiti tersebut.
“Program ini juga selaras dengan konsep T.U.N.A.I iaitu Technology @ University Advancing Industry and Society dan menyahut semangat slogan, ‘UTeM adalah Melaka, Melaka adalah UTeM’ diharapkan dapat membantu masyarakat setempat dan mangsa banjir terbabit,” jelasnya.










